Terkini
Sarawak cadang perkenalkan semula pengajian Bible di sekolah rendah
- Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn berkata beliau memahami kebimbangan dibangkitkan ADUN Bukit Semuja, John Ilus semasa persidangan DUN pada Khamis lalu.
- “Berkenaan dengan pengenalan semula pengajian Bible, saya memahami kebimbangan anda dan kementerian saya akan membawa perkara ini kepada KPM untuk perbincangan lanjut,” katanya dipetik The Borneo Post ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri pada Isnin.
- Pada 14 November lalu, media melaporkan John Ilus menyatakan harapannya untuk melihat pengajian Bible diperkenalkan semula di sekolah rendah negeri Sarawak.
- John menggesa kerajaan negeri untuk menghidupkan semula apa disifatkannya sebagai asas sejarah pendidikan Sarawak, yang berakar pada toleransi dan rasa hormat, sambil menekankan peranan penting dimainkan mubaligh Kristian daripada aliran atau mazhab Roman Katolik, Anglikan dan Methodist.
KUALA LUMPUR — Sarawak akan mengemukakan cadangan untuk memperkenalkan semula pengajian Bible di sekolah rendah di seluruh negeri kepada Kementerian Pendidikan (KPM), kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn.
Sagah berkata beliau memahami kebimbangan dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis lalu.
“Berkenaan dengan pengenalan semula pengajian Bible, saya memahami kebimbangan anda dan kementerian saya akan membawa perkara ini kepada KPM untuk perbincangan lanjut,” katanya dipetik The Borneo Post ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri pada Isnin.
Pada 14 November lalu, media melaporkan John Ilus menyatakan harapannya untuk melihat pengajian Bible diperkenalkan semula di sekolah rendah negeri Sarawak.
John menggesa kerajaan negeri untuk menghidupkan semula apa disifatkannya sebagai asas sejarah pendidikan Sarawak, yang berakar pada toleransi dan rasa hormat, sambil menekankan peranan penting dimainkan mubaligh Kristian daripada aliran atau mazhab Roman Katolik, Anglikan dan Methodist.
Beliau turut menekankan bahawa semasa dan selepas era penjajahan, pengajian Bible adalah subjek teras yang dikaji dan dapat diakses semua pelajar tanpa mengira latar belakang agama mereka.
ADUN Bukit Semuja itu berharap Kementerian Pendidikan negeri mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula pengajian Bible sebagai subjek pilihan yang berstruktur dalam pendidikan rendah, membolehkan pelajar mempelajari tentang agama Kristian sebagaimana mereka mempelajari agama lain.
Sementara itu, John dipetik Suara Sarawak sebagai berkata cadangan itu disuarakan supaya anak-anak muda penganut Kristian menerima pendedahan awal subjek tersebut.
Cadangan itu mendapat sokongan penuh daripada Pengerusi Persatuan Kristian Evangelikal Sarawak, Pastor Gremang Ujang yang dilaporkan berkata seruan berkenaan wajar mendapat sokongan penuh kerana ia membawa kebaikan kepada masa depan rakyat Sarawak.
“Kami menyeru kerajaan negeri untuk meneliti perkara ini secepat mungkin,” katanya dipetik The Vibes pada Selasa lalu. — The Merdeka Times