Connect with us

Kolumnis

Al-syahid Yahya Sinwar dari kaca mata rakan karibnya (Siri 1)

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Dari kiri Dr. Ma’mun Abu Amer & al-Syahid Yahya Sinwar

Artikel ini diterjemahkan dan disunting penyelidik Dunia Palestin, Anas Bad Latif dari sesi audio siar Arabi Post rakan universiti al-Syahid Yahya Sinwar, Dr. Ma’mun Abu Amer yang juga pakar penganalisis politik Israel.

 

PERTAMA sekali, aku ingin ucapkan takziah kepada kita sendiri dan seluruh umat Islam atas kesyahidan Yahya Sinwar.

Kemudian ingin aku tekankan di sini bahawa kesyahidan beliau ini sebenarnya bagaikan ditakdirkan sebagaimana cara beliau hidup.

Gambar dimaksudkan oleh ramai orang itu telah diketik pada tanggal 15 November 1980. Sungguh gambar ini sememangnya ada dalam simpanan arkib gambar ku.

Aku mula berkenalan dengan Yahya Sinwar secara umum ketika masih di bangku sekolah, cuma tiada hubungan akrab ketika itu.

Awal perkenalan yang lebih dekat hanya berlaku ketika mana dibukanya Universiti Islam Gaza (UIG) di mana kami merupakan generasi pertama universiti itu.

Seramai 15 pelajar mendaftarkan diri dari seluruh Gaza untuk melanjutkan pelajaran di UIG. Maka, memang kami mengenali antara satu sama lain, apatah lagi aku dan Sinwar datang dari tempat sama iaitu Khan Younis.

Pada waktu itu, atau tepatnya pada peralihan antara era 70-an ke era 80-an, Arus Islam baru dan sedang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di Gaza. Aku dan Sinwar tidak terlepas untuk ikut bersama dengan arus ini.

Tetapi Sinwar dilihat lebih kehadapan kerana beliau mempunyai hubungan rapat dengan beberapa syeikh yang berasal dari kampung kami iaitu Dr. Mahmud Siyam dan al-Syeikh Said al-Zughrub. Mereka merupakan generasi awal al-Ikhwan al-Muslimun di Gaza.

Selepas beberapa tahun dari Perang 1967 (Naksah), boleh dikatakan ekonomi di Gaza beransur pulih dan berkembang baik. Tidak keberatan untuk aku katakan, pada hujung era 70-an, komuniti di Gaza kecenderungan mereka terhadap Islam tidaklah begitu kuat.

Namun, Sinwar yang masih remaja lagi pada ketika itu, sudah mempunyai keazaman dan semangat yang kuat terhadap isu keagamaan.

Berbeza denganku kerana sejak berumur 10 tahun, aku mempunyai kecenderungan yang lebih terhadap isu politik.

Walaupun Sinwar masih berumur 18 tahun, tetapi aku sudah boleh lihat dengan jelas bahawa beliau merupakan seorang Ideolog Islam, kerana sejak awal lagi Sinwar sudah aktif mengajak kami untuk berkumpul dan beramal.

Apabila kami berkumpul dan duduk bersama, bacaan al-Quran dan Hadis menjadi intipati utama perbincangan kami. Aku masih ingat lagi, di dalam beberapa ‘jilsah’ yang awal bersama Sinwar, beliau sarankan untuk membaca dan mentadabbur Surah al-Hasyr.

Sungguh ketika mendengar saranan dari Sinwar ini, kami berasa pelik dan taajub. Kerana kebiasaan kami yang kebanyakan mempunyai latar belakang dalam menghafal al-Quran adalah bermula dengan menghafal surah-surah pendek, khususnya Juzu’ Amma.

Tapi tidak bagi Sinwar, beliau secara spesifik memilih Surah al-Hasyr (Juzu’ 28), perkara ini membuatkan aku secara peribadi berasa amat taajub. Beliau sering membincangkan isi yang terdapat dalam Surah al-Hasyr bersama kami.

Paling utama ialah tentang ‘permasalahan Yahudi’ dan ‘peristiwa keluarnya Yahudi dari Madinah’. Apabila membaca surah ini, yang sering kali bermain di fikiran Sinwar ialah bagaimana untuk ‘menghalau’ Yahudi (Negara Haram Israel) yang berada di Palestin.

Jadi, menurut aku terdapat 2 sudut pemikiran yang penting yang wujud pada Sinwar ketika itu:

1. Kuatnya Pemikiran Islam pada diri Sinwar

2. Mendalamnya pandangan beliau tentang merealisasikan untuk menghalau Israel dari Palestin yang berakar umbi dari Surah al-Hasyr

Oleh itu, ketika meletusnya Operasi Taufan al-Aqsa, pemikiran dan kenangan ku melayang semula ke peristiwa ketika kami masih muda remaja dan adakah perbincangan serta Impian Sinwar pada ketika itu akan benar-benar akan menjadi realiti pada ketika ini?

Kerana ayat 2 dari Surah al-Hasyr seakan-akan selari dengan apa yang berlaku pada 7 Oktober, Israel sedang diserang dari tempat yang mereka tidak pernah akan sangka iaitu dari Gaza.

Namun, dari satu sudut, aku tanpa sedikit pun syak meyakini bahawa Sinwar yang menjadi watak utama di sebalik “Taufan al-Aqsa” yang agung ini.

Antara noktah yang penting juga yang aku dapati pada Abu Ibrahim, adalah peribadi beliau sejak dari kecil. Abu Ibrahim punyai dua sifat utama; semangat yang luar biasa dan bijaksana.

Aku masih ingat lagi ketika kami menuntut di UIG, Abu Ibrahim pada awalnya memilih Bidang Sains, tetapi beliau adalah pelajar yang sangat sibuk atas urusan tertentu dan kadangkala beliau terlepas dari memasuki kelas.

Beliau sering berpesan pada ku untuk mendengar syarahan pensyarah di dalam kelas dan beliau akan meminta ku untuk menerangkan semula. Ajaibnya, dengan hanya sekali penerangan, beliau mampu untuk menggarap keseluruhan pelajaran yang kami belajar di dalam kelas.

Dengan berlalunya masa, Abu Ibrahim sedar beliau adalah pelajar yang sibuk, maka beliau membuat keputusan untuk menukar bidang ke Bahasa Arab.

Ketika membuat keputusan itu, beliau amat yakin bahawa beliau akan dapat menguasai bidang itu dan mampu meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Sarjana.

Tanpa was-was, aku meyakini kemampuan Abu Ibrahim kerana sejak awal lagi aku sudah tahu pada usia muda beliau mampu meng-i’rab ayat-ayat al-Quran. Bahkan, beliau menghafal pelbagai Syair dan Prosa Arab.

Dengan kemampuan Abu Ibrahim yang luar biasa di dalam Bahasa Arab telah memberi peluang luas untuk beliau menggembleng tenaga yang optima dalam menggerakan Persatuan Pelajar Islam yang dipimpinnya.

Bahkan, bukan setakat massa pelajar sahaja yang beliau fokuskan, tetapi kerja-kerja amal kebajikan masyarakat turut diberi perhatian oleh Abu Ibrahim.

Sejak kami remaja, aku melihat Abu Ibrahim mempunyai pelbagai kemahiran antaranya, membina bangunan, berjual-beli, memotong rambut dan pelbagai lagi.

Yang menarik lagi, gambar kami yang tular itu sebenarnya kami sedang bergambar di hadapan sebuah bangunan kecil di UIG, tapi bangunan itu tidak lengkap, maka aku serta Abu Ibrahim telah membina sebuah bilik buat bangunan itu.

Pernah aku bersama Abu Ibrahim membina sebuah rumah rakyat Gaza yang dihancurkan rejim zionis. Abu Ibrahim membuat kerja-kerja amal ini dengan Ikhlas, tidak berharap pulangan duniawi. — The Merdeka Times

Pautan artikel asal di portal Dunia Palestin. 

Dapatkan perkembangan terkini di Palestin secara pantas dan eksklusif dengan sertai telegram Dunia Palestin: t.me/duniapalestin

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *