Connect with us

Agama

Asyarah Mubasyarah: Saidina Ali RA inspirasi belia masa kini

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan

“Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.” 

Inilah kenyataan Saidina Ali bin Abi Talib RA yang mengajak kita merenung, sejauh mana generasi muda hari ini bersedia menjadi tunjang negara di masa hadapan.

Ini ditambah dengan cabaran modernisasi, tekanan media sosial serta godaan budaya hedonisme yang semakin mempengaruhi pemikiran dan pembentukan sahsiah golongan belia. 

Jadi, semakin ramai belia terjerat dengan mentaliti dan trend seperti YOLO (You Only Live Once) atau FOMO (Fear of Missing Out) yang menjadikan anak muda kita hanya berfikir soal berhibur tanpa tujuan dek takut dilihat ketinggalan. 

Berdasarkan kajian, seawal usia 19 tahun, anak muda sudah berada dalam bebanan hutang yang serius.

Pada 2023 sahaja, seramai 419 belia telah diisytiharkan muflis akibat membuat pinjaman peribadi. 

Lebih merisaukan, angka yang tidak mengambil SPM sudah mencecah 10,000 individu dan lebih 300,000 orang tidak berminat untuk melanjutkan pelajaran kerana ingin menjadi influencer (pempengaruh).

Ini adalah situasi amat membimbangkan, malah kronik untuk masa depan negara. 

Mentaliti hedonisme menyebabkan anak muda hari ini semakin terperangkap dengan keseronokan sementara tanpa punyai kesedaran bahawa masa depan mereka mungkin akan tergadai. 

Saidina Ali RA: Inspirasi Pemuda Berkualiti  

Mentaliti belia kini yang berpaksikan hedonisme dan hiburan amat berbeza jauh dengan mentaliti sosok pemuda seperti Saidina Ali RA yang memiliki kecerdasan melangkaui usianya dalam mencari hala tuju kebenaran. 

Pada usia semuda 9 atau 10 tahun, Saidina Ali RA dikenali sebagai kanak-kanak pertama yang memeluk Islam atas kerelaannya sendiri. 

Keputusan beliau tidak didorong oleh budaya atau tekanan luaran, bahkan Islam pada ketika itu adalah sesuatu yang asing dan ditentang oleh masyarakat.  

Tetapi, keyakinannya terhadap kebenaran risalah dibawa Rasulullah SAW membuatkan anak muda sekecil ini berani mengambil keputusan yang berisiko.  

Ketika Rasulullah SAW mula menyampaikan dakwah, Ali dengan penuh keberanian bertanya, “Muhammad, apakah yang engkau lakukan itu?” 

Baginda menjelaskan, “Inilah agama Allah dan untuk itu Dia mengutus utusan-Nya. Aku menyerumu untuk masuk ke jalan Allah Yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagi-Nya, dan hendaklah engkau kafir kepada patung Latta dan ‘Uzza.”

Tanpa ragu, Ali memilih Islam sebagai jalannya. Walaupun pada awalnya, beliau menyembunyikan keislamannya dari bapanya, Abu Talib. 

Namun, apabila akhirnya diketahui,  Ali, yang hanya berusia 10 tahun ketika itu dengan tegas menyatakan, “Aku telah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan aku telah membenarkan apa yang dibawa oleh Baginda.” 

Keputusan besar yang diambil Saidina Ali RA pada usia muda ini sangat menginspirasikan.

Beliau menolak untuk mengikut arus kebatilan pada ketika itu sedangkan, beliau boleh menikmati segala kesenangan sebagai salah seorang anak pemimpin bangsa Quraisy.   

Amat sukar untuk membayangkan seorang kanak-kanak pada zaman kini mengambil langkah sedemikian serius dan sedewasa ini. 

Namun, Saidina Ali RA membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk seseorang membuat pilihan hidup yang besar dan bermakna. 

Keberanian dan keazaman sebegini jarang ditemui dalam kalangan anak muda kita hari ini. 

Ramai lebih cenderung mengejar keseronokan sementara tanpa memikirkan makna hidup yang sebenar. 

Saidina Ali RA sebaliknya menemui tujuan hidupnya pada usia muda dan berterusan memegang teguh prinsipnya hingga ke akhir hayatnya. 

Ali adalah ‘Harun kepada Musa’ buat Rasulullah SAW.

Beliau bukan sekadar seorang pemuda berani, tetapi seorang yang benar-benar memahami dan memperjuangkan kebenaran yang diyakininya. 

Keberanian Saidina Ali RA terbukti dalam setiap peperangan, dari awal hingga ke akhir hayat Rasulullah SAW. 

Salah satunya ialah dalam perang Badar, Rasulullah SAW pernah menyerahkan panji-panji kepada Ali RA. 

Ketika itu, Ali RA hanyalah seorang pemuda berusia sekitar 20 tahun tetapi beliau sudah menyandang tugas yang berat ketika di medan perang. 

Umum mengetahui, tugas pemegang panji bukanlah tugas mudah yang boleh digalas sembarangan orang. 

Panji merupakan simbol semangat dan kemuliaan yang mesti dipertahankan daripada jatuh ke tangan musuh kerana ia merupakan penanda kedudukan orang terpenting dalam peperangan. 

Ketika perang, musuh akan menjadikannya sebagai sasaran utama mereka. Jadi, boleh dikatakan menang kalah sesebuah pertarungan juga bergantung kepada panji-panji perang. 

Sekiranya panji mereka jatuh, ia seolah-olah menandakan kekalahan tentera mereka di medan perang. 

 Oleh sebab itu, hanya yang paling dipercayai dan paling berani akan dipilih untuk memikul amanah ini. 

Salah seorang yang dipercayai Rasulullah SAW adalah Saidina Ali bin Abi Talib RA untuk memegang panji Islam. 

Sekali lagi dalam Perang Khaybar membuktikan kepemimpinan dan kecekapan beliau sebagai seorang panglima perang muda. 

Rasulullah SAW bersabda: “Aku akan menyerahkan panji-panji esok (Perang Khaybar) kepada seorang lelaki yang amat mencintai Allah dan Allah serta Rasulnya amat mencintai beliau”.

Keesokan harinya, panji tersebut diberikan kepada Saidina Ali RA. Dalam peperangan itu, beliau memimpin umat Islam sehingga meraih kemenangan yang besar. 

Selain menjadi pejuang di medan perang, Ali RA turut diberi kepercayaan dalam tugas-tugas lain sehingga digambarkan sebagai ‘‘Harun kepada Musa’ oleh Rasulullah sendiri. 

Ketika Perang Tabuk, Baginda melantik Ali RA sebagai pemimpin di Madinah untuk menjaga ahli keluarga Baginda dan urusan kaum Muslimin sewaktu ketiadaaan Nabi. 

Walaupun golongan munafik cuba menyebarkan fitnah, mendakwa Ali RA ditinggalkan kerana menjadi beban. 

Rasulullah SAW segera menepis dakwaan itu dengan berkata, “Tidakkah engkau suka menjadi bagi diriku seperti Harun kepada Musa, melainkan tiada nabi selepas aku?” 

Ungkapan ini bukan sahaja menolak fitnah, tetapi juga menggambarkan kedudukan istimewa Ali RA di sisi Rasulullah SAW. 

Sama seperti Nabi Harun AS yang menjadi penyokong utama kepada Nabi Musa AS, Ali RA adalah penyokong setia Rasulullah SAW, yang sentiasa berada di sisi Baginda dalam mengukuhkan dakwah Islam.

Sepanjang hidup Ali RA tidak pernah dibazirkan dengan perkara remeh,nhatta hiburan, harta dan wanita yang menjanjikan keseronokan sementara. 

Hidupnya diisi dengan perjuangan menegakkan agama Allah, bermula sebagai pemuda pemberani hingga menjadi pemimpin yang bijaksana. 

Inilah pelajaran berharga daripada kisah Ali RA bahawa kehidupan adalah tentang memberikan sumbangan kepada masyarakat dan menegakkan prinsip kebenaran. 

Hidup bukan sekadar tentang “hidup untuk hari ini” (YOLO), tetapi tentang membina masa depan yang bermakna dan kekal, baik untuk diri sendiri, keluarga, mahupun ummah.

Jika sosok Saidina Ali RA hidup di zaman ini, beliau pasti menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk melawan tekanan sosial seperti FOMO dan YOLO. 

Kisah hidupnya tidak berpusar ke arah bagaimana hendak mengejar kehendak dunia yang bersifat sementara. 

Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip yang berlandaskan keimanan yang teguh kepada Allah SWT sehingga dijanjikan Allah SWT sebagai salah seorang sahabat Nabi SAW yang dijamin syurga. 

Sejak kecil, Ali RA telah membuktikan bahawa hidup bukanlah sekadar ikut-ikutan tetapi memegang teguh ke atas prinsip walaupun ramai yang menentang. 

Beliau tidak takut ketinggalan apa yang dianggap penting mahupun norma masyarakat ketika itu. 

Beliau memilih untuk mengejar redha Allah SWT, menyedari bahawa tujuan hidup yang sebenar adalah untuk sesuatu yang kekal dan jauh lebih bernilai daripada pengiktirafan dunia.

Ali RA mengisi hidupnya dengan perjuangan dan pengabdian kepada Allah. Segala tindakannya berpusat kepada matlamat yang lebih besar dan kekal. 

Sikap ini seharusnya dijadikan teladan bagaimana pemuda hari ini seharusnya hidup dengan prinsip dan keberanian, bukannya terikut-ikut trend yang melalaikan.

Rasulullah SAW bersabda: “Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allâh dibawah naungan ‘Arsynya pada hari tidak ada naungan selain naungan Allâh Azza wa Jalla (iaitu) :..Pemuda yang tumbuh dalam ibadah kepada Allâh Azza wa Jalla.” (Sahih Bukhari, No. 660) – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *