Connect with us

Terkini

(VIDEO) Guan Eng persoal KPM sambut, mesra dengan delegasi Taliban

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR — Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menuntut penjelasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkenaan lawatan atau kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban ke kementeriannya pada awal bulan ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan mempersoalkan tujuan KPM membenarkan lawatan dari sebuah negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Guan Eng berkata apa lebih penting lagi adalah Afghanistan merupakan satu-satunya negara yang menyekat kelompok wanita daripada belajar di sekolah menengah dan universiti.

Katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah mengecam Afghanistan di bawah pimpinan Taliban bahawa tindakan sedemikian adalah sama seperti apartheid jantina.

Saya harap satu penjelasan boleh diberikan kepada rakyat Malaysia kerana kita amat prihatin… sebagai sebuah negara yang menyokong hak-hak golongan wanita, khususnya hak pendidikan dan (hak) belajar ke mana-mana peringkat yang tertinggi pun supaya mereka dapat memenuhi potensi mereka tanpa sebarang diskriminasi. 

“Tapi nampaknya kita mesra dengan kementerian pendidikan Afghanistan, pimpinan Taliban yang melarang wanita daripada belajar di sekolah menengah dan universiti… Ini saya rasa ditentang oleh semua rakyat Malaysia dan saya yakin seluruh dunia. 

“Kita nak tanya adakah perkara ini dibangkitkan oleh pihak kementerian tentang dasar diskriminasi dan pengharaman ini? Tapi yang lebih penting apakah manfaat kepada negara kita apabila kita menerima rombongan sedemikian? Dan tidak ada pun sebarang komen tentang larangan ke atas golongan wanita belajar di sekolah menengah dan juga di universiti yang telah dikecam oleh PBB sebagai satu tindakan apartheid jantina,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

 

Guan Eng berkata beliau telah mengusulkan perkara itu untuk pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada esok dan sekiranya tiada jawapan diterima, pertanyaan itu akan dibawa pada minggu depan.

Kita nak tahu apakah tujuan, apakah objektifnya. Kerana saya telah menerima banyak soalan tentang perkara ini. 

“Kita tidak mahu disalah tafsirkan oleh kerana lawatan sedemikian kita (dilihat seolah-olah) menerima ataupun tidak menentang larangan yang mereka laksanakan ke atas wanita daripada belajar di sekolah menengah dan universiti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Fadhlina mengesahkan kementeriannya menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban awal bulan ini.

Beliau berkata lawatan itu sudah berakhir dan kementeriannya berkongsi pandangan mereka mengenai pendidikan, selain delegasi berkenaan juga menyertai beberapa siri perbincangan mengenai pendidikan semasa mereka berada di sini.

Pada Rabu lalu, The Merdeka Times melaporkan seorang pengguna TikTok @oazizah berkongsikan video lawatan kerja delegasi dari Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya pada 8 November lalu.

Video berdurasi tiga minit itu, antaranya memaparkan sekumpulan individu dari delegasi Afghanistan melihat demonstrasi pembelajaran digital di sekolah berkenaan menggunakan Ipad dan mengunjungi bilik yang digunakan untuk mempelajari bahasa Arab.

TMT difahamkan @oazizah adalah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolah berkenaan menulis di ruangan komen video itu bahawa kehadiran delegasi Afghan terbabit antaranya bertujuan untuk berkongsi idea pendidikan. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *