Ekonomi
(VIDEO) Prestasi ekonomi baik, PMX hanyalah bernasib baik?
KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sangat bernasib baik apabila menjadi Perdana Menteri ke-10 pada waktu yang sangat strategik di mana ekonomi berada pada tahap prestasi amat baik selepas negara keluar daripada kegawatan ekonomi.
Dekan Institut Pengajian Siswazah, Malaysia University of Science and Technology (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata situasi itu berbeza dengan tiga Perdana Menteri sebelum ini, terutamanya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terpaksa melalui kegawatan ekonomi.
Barjoyai berkata semua perkara itu adalah berkait dengan pusingan ekonomi yang tidak pernah gagal daripada berlaku pada setiap 10 tahun.
“Kebetulannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula pada tahun 2023 selepas kita keluar daripada kegawatan (ekonomi).
“Ekonomi sedang memacak naik dan dia akan terus memuncak pada tahun 2026.
“Jadi maksudnya, kalau Datuk Seri Anwar berjaya kekal menjadi Perdana Menteri sampai 2026, dia akan menunjukkan prestasi yang amat baik dalam ekonomi ini… Ini berasal daripada pusingan ekonomi.
“Selepas 2026, kalau pilihan raya diadakan, siapa pun jadi Perdana Menteri selepas itu tak kira lah berapa baik dia, ekonomi akan menurun dan dia mungkin akan dilabel sebagai Perdana Menteri yang kurang cekap, misalnya,” katanya menerusi program Analisis bersama Finaz Yunus bertajuk ‘Prestasi 2 tahun Kerajaan Madani, corot @ cemerlang?’ yang bersiaran di Youtube The Merdeka Times di sini malam tadi.
Program terbitan Studio Merdeka itu turut menampilkan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad dan Ketua Penerangan Pemuda MCA Nasional, Neow Choo Seong .
Barjoyai berkata Anwar juga telah melakukan banyak perkara dalam masa dua tahun ini, termasuk tindakan yang disifatkan sebagai berani seperti menyelaraskan subsidi yang dibincangkan lebih 15 tahun lalu.
“Tahun demi tahun ditangguh dan dengan belanja, pelaburan membuat software dan sebagainya tapi akhirnya tidak juga berjaya dilakukan dan (kini) penyelarasan diesel kita telah lakukan dengan sangat berjaya… kini penyelarasan petrol pula akan dilakukan.
“Penurunan harga mungkin tidak begitu berjaya kerana ini merupakan satu isu yang besar… Kenaikan gaji, pengenalan gaji pada kakitangan awam dan juga pengenalan gaji mandatori merupakan satu yang sangat juga (menunjukkan) keberanian beliau (Anwar),” katanya. — The Merdeka Times