Terkini
Kes Tamim Dahri: GARAH desak penguatkuasaan undang-undang tanpa ‘Double Standard’
- GARAH mempersoalkan sama ada undang-undang dilaksanakan secara sama rata apabila pihak berkuasa didakwa pantas menyiasat, menahan dan mendakwa individu tertentu, sedangkan pelbagai aduan berhubung pembinaan rumah anutan bukan Islam yang didakwa menyalahi undang-undang masih belum diselesaikan.
- Menurut pertubuhan itu, beratus-ratus laporan polis dan aduan kepada pelbagai agensi penguat kuasa berhubung dakwaan pembinaan rumah anutan tanpa kebenaran telah dibuat sejak beberapa tahun lalu.
- “Apakah tindakan menyeluruh yang telah diambil terhadap aduan-aduan tersebut? Mengapakah begitu banyak kes masih berlarutan sehingga hari ini tanpa penyelesaian yang jelas sekiranya benar berlaku pelanggaran undang-undang?” soal pertubuhan itu.
KUALA LUMPUR – Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) menegaskan pihaknya tidak mempertahankan sebarang pelanggaran undang-undang, namun mendesak supaya tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil, konsisten dan tanpa layanan berbeza terhadap mana-mana pihak.
Pengerusinya, Firdaus Wong berkata demikian susulan perkembangan kes Tamim Dahri Abdul Razak yang bakal didakwa di Mahkamah Langkawi.
Menurutnya, GARAH sejak awal penubuhannya tidak pernah mempertahankan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang negara.
“Pendirian GARAH sentiasa konsisten bahawa setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, kaum, fahaman politik atau kedudukan, hendaklah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Beliau berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan menerusi proses perundangan yang adil dan telus.
Bagaimanapun, GARAH mempersoalkan sama ada undang-undang dilaksanakan secara sama rata apabila pihak berkuasa didakwa pantas menyiasat, menahan dan mendakwa individu tertentu, sedangkan pelbagai aduan berhubung pembinaan rumah anutan bukan Islam yang didakwa menyalahi undang-undang masih belum diselesaikan.
Aduan berkenaan antaranya melibatkan dakwaan pembinaan tanpa kebenaran serta pencerobohan tanah kerajaan, tanah persendirian, hutan simpan dan kawasan awam.
GARAH menegaskan persoalan itu bukan bertujuan mempertikaikan tindakan terhadap Tamim Dahri, sebaliknya menuntut penjelasan mengapa tindakan penguatkuasaan dilihat tidak dilaksanakan secara setara terhadap semua pihak.
Menurut pertubuhan itu, beratus-ratus laporan polis dan aduan kepada pelbagai agensi penguat kuasa berhubung dakwaan pembinaan rumah anutan tanpa kebenaran telah dibuat sejak beberapa tahun lalu.
GARAH turut merujuk titah Sultan Selangor yang menekankan kepentingan pematuhan terhadap undang-undang dan tatacara ditetapkan dalam pembinaan rumah ibadat.
“Apakah tindakan menyeluruh yang telah diambil terhadap aduan-aduan tersebut? Mengapakah begitu banyak kes masih berlarutan sehingga hari ini tanpa penyelesaian yang jelas sekiranya benar berlaku pelanggaran undang-undang?” soal pertubuhan itu.
GARAH berkata, pihaknya tidak meminta layanan istimewa untuk mana-mana individu atau kumpulan, sebaliknya menuntut supaya mereka yang melakukan kesalahan sama atau seumpamanya disiasat dan dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang yang sama.
Menurutnya, kegagalan bertindak secara konsisten boleh menimbulkan persepsi bahawa wujud layanan berbeza dalam pelaksanaan undang-undang, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara.
Dalam pada itu, GARAH berharap Tamim Dahri diberikan perbicaraan yang adil berdasarkan fakta, bukti dan undang-undang tanpa dipengaruhi tekanan mana-mana pihak.
Pertubuhan itu turut menyatakan kesediaan memberikan sokongan sewajarnya sekiranya beliau memerlukan bantuan yang dibenarkan di sisi undang-undang.
Firdaus berkata, GARAH akan terus mendesak kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan semua agensi penguat kuasa mengambil tindakan konsisten terhadap pembinaan rumah anutan yang terbukti melanggar undang-undang.
“Perjuangan kami bukan menentang mana-mana agama atau kaum, tetapi mempertahankan kedaulatan undang-undang, hak milik, kelestarian alam sekitar dan prinsip keadilan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“GARAH tidak mempertahankan pelanggaran undang-undang. GARAH mempertahankan keadilan dalam pelaksanaan undang-undang. Satu undang-undang, satu penguatkuasaan dan satu keadilan untuk semua,” katanya.-The Merdeka Times