Connect with us

Terkini

Lesen dibatalkan, Network School tinggalkan Malaysia dan beralih ke Kazakhstan

Published

on

  • Pengasasnya, Balaji Srinivasan yang juga bekas Ketua Pegawai Teknologi Coinbase mengumumkan pemindahan berkenaan tidak lama selepas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) memutuskan untuk membatalkan lesen perniagaan dan menghentikan semua aktiviti syarikat itu berkuat kuasa 22 Julai 2026.
  • Balaji dilaporkan menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan Kazakhstan bagi membangunkan kampus baharu untuk usahawan, pembangun perisian, penyelidik kecerdasan buatan dan komuniti mata wang kripto.

KUALA LUMPUR – Network School dilaporkan bakal memindahkan operasinya dari Forest City, Johor ke Kazakhstan selepas lesen perniagaan komuniti teknologi kontroversi itu dibatalkan pihak berkuasa tempatan.

Pengasasnya, Balaji Srinivasan yang juga bekas Ketua Pegawai Teknologi Coinbase mengumumkan pemindahan berkenaan tidak lama selepas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) memutuskan untuk membatalkan lesen perniagaan dan menghentikan semua aktiviti syarikat itu berkuat kuasa 22 Julai 2026. 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan pemeriksaan, hasil penguatkuasaan dan representasi dikemukakan syarikat berkenaan.

Sebelum itu, pihak berkuasa mendapati satu premis Network School beroperasi tanpa lesen perniagaan sah, manakala sebuah lagi premis yang dilesenkan sebagai pejabat digunakan untuk aktiviti kelas dan promosi perniagaan tanpa kelulusan terperinci. 

Kontroversi Network School tercetus selepas dakwaan di media sosial bahawa komuniti berkenaan membantu kemasukan warga Israel ke Malaysia menggunakan pasport negara lain.

Bagaimanapun, Jabatan Imigresen sebelum ini memaklumkan bahawa kesemua 266 warga asing dari 40 negara yang diperiksa memiliki dokumen perjalanan sah, sementara semakan lanjut berkaitan pematuhan syarat kemasukan dan undang-undang lain masih dijalankan. 

Sebelum lesen itu dibatalkan, Network School telah membekukan rancangan pengembangan bernilai lebih RM500 juta di Malaysia.

Balaji mendakwa organisasi tersebut sudah melabur lebih RM100 juta tanpa pembiayaan kerajaan, selain menggaji rakyat tempatan serta menyokong syarikat pemula dan perniagaan teknologi di negara ini.

Selepas penutupan operasi di Forest City, Balaji dilaporkan menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan Kazakhstan bagi membangunkan kampus baharu untuk usahawan, pembangun perisian, penyelidik kecerdasan buatan dan komuniti mata wang kripto. 

Network School dibangunkan berasaskan konsep “network state”, iaitu usaha membentuk komuniti digital yang kemudiannya berkumpul secara fizikal untuk tinggal, belajar dan membangunkan perniagaan bersama.

Pemindahan itu menamatkan cita-cita Network School untuk menjadikan Forest City sebagai pangkalan komuniti teknologi antarabangsa berhampiran Singapura, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kesan kontroversi tersebut terhadap usaha Malaysia menarik pelaburan dan bakat teknologi global.

Kerajaan Johor bagaimanapun menegaskan pelaburan berkualiti sentiasa dialu-alukan, tetapi tiada pelabur, syarikat atau organisasi boleh diletakkan mengatasi kedaulatan dan undang-undang negara.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author