Kisah ini diterjemah dan disunting Anas Bad Latif (Penyelidik Dunia Palestin) dari sesi podsiar Arabi Post bersama rakan universiti al-Syahid Yahya Sinwar di Universiti Islam Gaza (IUG) iaitu Dr. Ma’mun Abu Amer yang juga pakar penganalisis politik Israel.
Al-syahid Yahya Sinwar, pimpinan Mahasiswa Islam di Universiti Islam Gaza
Al-syahid Yahya Sinwar seorang individu yang mempunyai beberapa sifat yang unik.
Pertama sekali, Abu Ibrahim semangatnya di dalam semua perkara amat tinggi, khususnya semangat ke arah Islam.
Aku masih ingat lagi satu anekdot bersama beliau sewaktu di universiti.
Kami menaiki bas yang terdapat di dalamnya pelajar lelaki dan perempuan. Kami ketika itu masih mentah lagi, maka berlaku beberapa babak yang kebudak-budakan dan ternyata Abu Ibrahim amat tidak selesa. Itu jelas bahawa beliau punyai keazaman yang amat tinggi untuk menjaga agama.
Sinwar juga seorang yang punyai sifat ikhlas yang amat mendalam. Jika sahabat-sahabat memerlukan apa sahaja perkara, beliau akan segera menolong tanpa meminta sebarang balasan.
Selain itu, Sinwar seakan-akan tidak ada masa yang beliau habiskan dengan perkara sia-sia.
Oleh itu, beliau belajar seni pertahankan diri Karate dengan seorang sahabat dari Persatuan Mahasiswa Islam. Sebab itulah kita boleh lihat dari peribadi Sinwar yang seakan-akan seorang “individu keras” kerana beliau memang mahir dalam Karate.
Semasa sesi ‘usrah’ kami sering membincangkan perkara yang biasa bagi mana-mana sebuah persatuan Islam seperti tarbiah, penyucian diri dan sebagainya.
Tetapi Abu Ibrahim ternyata memiliki sisi yang amat unik, beliau begitu cakna dengan segala perkembangan yang berlaku pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Aku masih ingat lagi satu peristiwa yang berlaku pada 1983. Pendatang haram Israel menyerang penduduk Palestin di Tebing Barat dan telah membunuh seorang bayi yang tidak bersalah. Maka, Abu Ibrahim telah mengetuai satu gerakan khusus untuk pelajar IUG untuk membawa satu rombongan solidariti ke Baitul Maqdis.
Ketika itu, jalan Gaza-Baitul Maqdis-Tebing Barat masih lagi dibuka.
Yahya Sinwar telah berjaya mengumpulkan dua bas dan mengetuai rombongan itu. Beliau juga berjaya menggerakkan Persatuan Mahasiswa Islam yang terdapat di beberapa universiti di Tebing Barat seperti Universiri Beir Zeit dan Universiti Najah. Jelas kepimpinan Sinwar menyerlah sejak di universiti lagi.
Ketika mana, Beirut dan Tripoli di Lubnan di serang oleh Israel atas operasi membunuh pimpinan Fatah di sana. Abu Ibrahim juga menggerakkan demonstrasi solidariti bersama persatuan yang berlainan seperti Fatah dan Gerakan Sosialis.
Ini juga adalah sisi yang amat unik kerana walaupun Sinwar berlatar belakangkan aliran Islamis tetapi beliau dilihat rapat dengan aliran-aliran yang wujud bagi kemaslahatan Palestin.
Aku bersama-sama dengan Sinwar secara rapat bermula dari tahun 1980-1984. Pada fasa inilah, aku lihat beliau bersama rakan-rakan beliau berjaya membina Persatuan Mahasiswa Islam di IUG. Antara rakan-rakan utama beliau ketika berada di fasa awal perjuangan ialah; Abu al-Abid Ismail Haniyeh, Dr Atallah Abu al-Subha, Abu Usamah Dr. Khalil al-Hayya dan Muhamad Diyab al-Masri (Muhamad Deif).
Ketika fasa belajar di universiti hampir tamat, aku boleh lihat Sinwar bersama-sama sahabatnya ini sudah mula memikirkan kesinambungan perjuangan mereka di IUG dan membina platform yang baru selepas fasa universiti.
Oleh itu, aku masih ingat kami bersama Muhamad Deif, yang ketika itu memegang jawatan Ketua Unit Hiburan Islami, ingin mengadakan satu Haflah Islami peringkat nasional. Kami telah lakukan satu program hiburan berunsurkan Islam dan berjaya memperkenalkan kepada masyarakat tentang Aliran Islam.
Ketika di hujung fasa pengajian universiti, Sinwar banyak mengalihkan segala fokus dan tenaganya dalam membanteras al-Umala’ atau tali barut kepada Zionis. Anda bayangkan, Sinwar yang berada pada umur awal 20-an sudah memikirkan perkara sebesar ini.
Beliau bersama al-Syeikh Rawhi Musytaha telah mengasaskan satu badan sekuriti yang dinamakan sebagai ‘al-Majd’. Badan ini khusus bagi memerangi dan membanteras tali baru zionis yang berada di Gaza.
Badan al-Majd ini berjaya dikelola Sinwar dan Musytaha. Operasi mereka amat mendalam, bermula dengan perisikan dan pengumpulan maklumat, akhirnya dituruti dengan operasi ‘menculik’ tali barut. Jika didapati tali barut ini terlibat dalam pembunuhan rakyat Palestin, al-Majd akan jatuhkan pada mereka hukuman yang setimpal iaitu mati.
Boleh dikatakan apabila Sinwar memulakan operasi ini, ia merupakan sebuah projek yang amat sukar kerana pada era 80-an gerakan perjuangan bersenjata di Gaza masih lagi boleh dikatakan tiada, atau paling kurang, sangat lah sedikit.
Lemahnya tahap gerakan perjuangan bersenjata sehinggakan senjata yang mereka miliki hanyalah pistol biasa, itupun dengan jumlah yang amat terhad bahkan ada kalanya mereka perlu berkongsi. Di dalam beberapa situasi mereka perlu menyimpan pistol itu dengan cara menanamkan ia di dalam tanah.
Dengan keadaan yang daif itulah Yahya Sinwar bersama al-Syahid Syeikh Salah Shehadeh memulakan gerakan perjuangan bersenjata. — The Merdeka Times
Artikel asal rencana di portal Dunia Palestin.