Terkini
Papan iklan guna tulisan Cina sepenuhnya satu kesalahan, PBT berhak turunkan
- Peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor berkata Seksyen 3 (1) Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan 1982 memperuntukkan semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan dan boleh juga digunakan dalam apa-apa bahasa lain.
- Untuk penggunaan bahasa lain terdapat syarat yang perlu dipatuhi iaitu Seksyen 3 (2) menyatakan bahawa huruf-huruf bagi perkataan-perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan hendaklah mempunyai saiz lebih besar daripada huruf-huruf atau perkataan dalam bahasa lain.
- “Tetapi isu yang berlaku sekarang ini (dibangkitkan Tun Dr Mahathir) adalah tulisan dibuat dalam bahasa Cina dan penterjemahan di dalam bahasa Inggeris tanpa meletakkan apa-apa bahasa Melayu.
- “Maka jelas di bawah peruntukan undang-undang ini, kalau tulisan iklan tersebut dibuat di Kuala Lumpur, ianya menjadi satu kesalahan dan Pihak Berkuasa Tempatan berhak untuk menurunkan (papan iklan itu),” katanya kepada The Merdeka Times (TMT) hari ini.
- Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook kelmarin menyatakan beliau berasa seakan berada di China apabila melihat kebanyakan papan tanda di kompleks beli-belah di Kuala Lumpur menggunakan bahasa Cina dengan terjemahan bahasa Inggeris, tetapi tiada yang menggunakan bahasa Melayu iaitu bahasa Kebangsaan.
KUALA LUMPUR — Penggunaan tulisan Cina sepenuhnya di papan tanda perniagaan atau iklan tanpa meletakkan langsung tulisan bahasa Melayu menjadi satu kesalahan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhak untuk menurunkannya.
Peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor berkata Seksyen 3 (1) Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan 1982 memperuntukkan semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan dan boleh juga digunakan dalam apa-apa bahasa lain.
Zabetha berkata untuk penggunaan bahasa lain terdapat syarat yang perlu dipatuhi iaitu Seksyen 3 (2) menyatakan bahawa huruf-huruf bagi perkataan-perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan hendaklah mempunyai saiz lebih besar daripada huruf-huruf atau perkataan dalam bahasa lain.
“Contoh ada satu pengiklanan kita nak buat atas nama syarikat ABC menjual produk-produk kesihatan jadi penggunaan bahasa Melayu itu perlu ditulis dengan tulisan lebih besar dan lebih jelas.
“Tetapi penterjemahan di dalam bahasa Cina tersebut digunakan lebih kecil dan kena nampakkan bahawa bahasa Melayu tadi lebih jelas berbanding tulisan (Cina yang) kecil.
“Tetapi isu yang berlaku sekarang ini (dibangkitkan Tun Dr Mahathir) adalah tulisan dibuat dalam bahasa Cina dan penterjemahan di dalam bahasa Inggeris tanpa meletakkan apa-apa bahasa Melayu.
“Maka jelas di bawah peruntukan undang-undang ini, kalau tulisan iklan tersebut dibuat di Kuala Lumpur, ianya menjadi satu kesalahan dan Pihak Berkuasa Tempatan berhak untuk menurunkan (papan iklan itu),” katanya kepada The Merdeka Times (TMT) di sini hari ini.
Zabetha berkata demikian ketika ditanya adakah papan tanda perniagaan atau iklan di negara ini dibenarkan untuk menggunakan tulisan Bahasa Cina sepenuhnya.
Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook kelmarin menyatakan beliau berasa seakan berada di China apabila melihat kebanyakan papan tanda di kompleks beli-belah di Kuala Lumpur menggunakan bahasa Cina dengan terjemahan bahasa Inggeris, tetapi tiada yang menggunakan bahasa Melayu iaitu bahasa Kebangsaan.
Semakan TMT mendapati admin Facebook Dr Mahathir turut memuat naik beberapa gambar papan iklan tulisan Cina yang difahamkan diambil oleh bekas perdana menteri itu sendiri di Pavilion Bukit Jalil pada hujung minggu lalu.
Mengulas mengapa isu pelanggaran undang-undang itu terus berlaku hinggakan ia dilihat seolah-olah satu kebiasaan, Zabetha berkata beliau merasakan rata-rata masyarakat di sini tahu bahawa bahasa rasmi itu bahasa Melayu tetapi mereka tidak tahu tentang undang-undang yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
“… apabila Perlembagaan Persekutuan sendiri mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, nampak tak betapa pentingnya ia tetapi ramai orang tidak sedar.
“Seterusnya, saya kira kerana kurang usaha daripada kita sendiri, individu dan juga mungkin kepada kerajaan… sebelum ini apabila kurang menyuntik semangat nasionalis.
“Saya ambil contoh kalau kita pergi ke Indonesia, misalnya kita lihat segala papan tanda, penggunaan bahasa memang jelas mereka menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa utama dan kalaulah kita berkesempatan untuk melihat mereka yang berkaum Cina, India di Indonesia bagaimana penggunaan bahasa mereka begitu jelas sebutir-sebutir, tidak ada pelat.
“Sebab daripada kecil mereka ditanamkan rasa cintakan kepada negara dan bahasa,” katanya. — The Merdeka Times