Terkini
Sikap masyarakat yang ‘narrow mindset’ buat mangsa jenayah seksual pilih berdiam diri
Sikap masyarakat yang ‘narrow mindset’ membuatkan mangsa yang terlibat dengan jenayah seksual lebih memilih berdiam diri daripada melaporkan kepada pihak berwajib ekoran bimbang bakal berdepan dengan kecaman orang ramai.
- Mangsa terlibat jenayah seksual lebih pilih berdiam diri daripada lapor kepada pihak berwajib ekoran bimbang dikecam orang ramai.
- Pemikiran dan persepsi ramai antara faktor yang susah dipecahkan dalam norma masyarakat menyebabkan kes jenayah sukar diketengahkan.
- “Kadang kala ia adalah budaya kita yang ‘narrow mindset’ dan takut-takut dengan pandangan orang yang tidak wujud, kita baik bersopan santun pun tetap orang mengecam,” Pakar Psikologi.
KUALA LUMPUR – Sikap masyarakat yang ‘narrow mindset’ membuatkan mangsa yang terlibat dengan jenayah seksual lebih memilih berdiam diri daripada melaporkan kepada pihak berwajib ekoran bimbang bakal berdepan dengan kecaman orang ramai.
Pakar Psikologi CPC International Dr. Noor Aishah Rosli berkata pemikiran dan persepsi ramai dikatakan antara faktor rumit yang ingin dipecahkan dalam konteks norma masyarakat kini sehingga menyebabkan perkara-perkara melibatkan jenayah sukar untuk diketengahkan.
“Kadang kala ia adalah budaya kita yang ‘narrow mindset’ dan takut-takut dengan pandangan orang yang tidak wujud, kita baik bersopan santun pun tetap orang mengecam.
“Sepatutnya kita kena berani tampil, dapatkan pakar, makan ubat atau buat laporan berkenaan jenayah seksual, orang yang berani dedahkan dan tegakkan kebenaran melambangkan pemikiran seseorang itu lebih moden daripada malu dan takut,” katanya kepada The Merdeka Times.
Beliau berkata terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mangsa bertindak untuk tidak bersuara bagi menegakkan haknya.
“Dari sudut psikologi, mangsa bertindak sedemikian kerana malu perbuatan itu diketahui ramai. Malu adalah sifat lanjutan daripada persepsi orang terhadap mangsa.
“Malu disebabkan takut menjejaskan hubungan dengan suami, ipar lamai, keluarga mertua namun perkara paling menakutkan adalah penerimaan suami, dan ia boleh membawa kepada perceraian benda paling besar untuk orang yang berkahwin,” katanya.
Tambah beliau, isu kewangan antara faktor penyumbang mengapa mangsa lebih memilih berdiam diri.
“Lagi satu adalah faktor kewangan, sekiranya dibandingkan mangsa dengan pelaku memang kita (mangsa) akan sakit hati kepada pelaku yang mempunyai hak ekonomi yang lebih tinggi berbanding orang yang sederhana dan lebih rendah kewangannya jadi mangsa tidak ada kuasa untuk menanggung rasa malu lalu terpaksa tahan kerana tidak mampu pertahankan diri.
“Kerana lumrah kehidupan begitu, dari sudut psikologi kita beranggapan bahawa orang yang biasa-biasa ini tiada suara dan tidak mendapat kepercayaan umum berbanding daripada orang yang berduit, mereka akan lebih dipandang tinggi, dosa dan benda haram pun nampak halal, itu persepsi manusia yang buat perbandingan sedemikian sejak awal lagi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sifat berdiam diri mangsa itu adalah disebabkan takut daripada tekanan yang berpanjangan kerana dia sedar pelaku daripada seseorang yang berpengaruh dan akan mendapat perhatian apabila didedahkan jadi mangsa tidak sanggup berhadapan dengan risiko yang menjadi perhatian masyarakat.
“Manusia ini pelbagai, pemikiran kita tidak sama, pemikiran bergantung cara didikan kita, adakah kita rela kesilapan itu dilakukan atau kita berani menegakkan kebenaran, dan biasanya netizen yang mengecam tidak tahu perkara sebenar,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International), Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, dalam konteks psikologi, lumrah kehidupan setiap individu pasti mempunyai sifat takut sehingga menyebabkan rata-rata mangsa tidak berani tampil menegakkan kebenaran.
“Takut bukanlah disebabkan netizen semata-mata, tetapi ia melibatkan perasaan tidak yakin pada diri sendiri kerana sekiranya dilaporkan, sesetengah mangsa tidak mempunyai jaminan, barangkali dia bimbang kerana tidak mendapat sokongan dan takut lebih dicemuh oleh orang ramai.
“Sifat takut ini ada pada semua individu sama ada setiap orang mampu mengawalnya atau tidak, sesetengah orang dia ada keupayaan untuk menguruskan kebimbangannya kerana ada sokongan kuat dan yakin ia akan menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Beliau berkata, tindakan mangsa untuk membuat laporan turut dikaitkan dengan resilience (daya tahan) individu yang mempengaruhi tindakannya. Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa sesiapa menjadi mangsa jenayah yang menjejaskan kesejahteraan individu perlu membuat laporan polis.
Sebelum ini dilaporkan,mangsa kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal Ebit Lew mendakwa bahawa dia takut membuat laporan polis susulan bimbang perkara itu diketahui ramai.
Pengadu kes tersebut pada mulanya enggan membuat laporan polis kerana menganggap dirinya sebagai ‘orang kecil’ dan tertuduh pula sebagai ‘orang besar’, menurut perbicaraan kes gangguan seksual Ebit di Mahkamah Tenom baru-baru ini. -The Merdeka Times.