Terkini
GLC perlu ditekan guna BM, amat malang jika terus gunakan BI – Pakar sejarah
Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) perlu diberi tekanan supaya menggunakan Bahasa Melayu kerana amat malang sekali sekiranya membiarkan mereka terus-terusan menggunakan Bahasa Inggeris, kata Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh.
- Ia bagi memartabatkan Bahasa Melayu.
- Tekanan perlu diberi kepada GLC supaya menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan seharian terutamanya dalam minit-minit mesyuarat.
- “Kita melahirkan jurutera, pakar sains komputer dan pergi ke angkasa lepas semuanya adalah pendidikan dalam bahasa Melayu,” – Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh.
- Bahasa nasional bukan sekadar untuk jati diri atau penyatuan bagi negara-negara pelbagai etnik, sebaliknya berperanan bangunkan ekonomi dan industri negara.
KUALA LUMPUR – Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) perlu diberi tekanan supaya menggunakan Bahasa Melayu kerana amat malang sekali sekiranya membiarkan mereka terus-terusan menggunakan Bahasa Inggeris, kata Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh.
Tambahnya, tekanan perlu diberi kepada GLC supaya menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan seharian terutamanya dalam minit-minit mesyuarat, bagi memartabatkan Bahasa Melayu.
Beliau berkata demikian dalam Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada Rabu.
Dalam majlis sama, beliau mengatakan menerusi Bahasa Melayu juga kita melahirkan jurutera, pakar sains komputer dan pergi ke angkasa lepas semuanya adalah pendidikan dalam bahasa Melayu, tiada kelemahan yang kita dapati di kalangan generasi muda selepas tahun 1970-an.
Jelasnya, bahasa nasional bukan sekadar untuk jati diri atau penyatuan bagi negara-negara pelbagai etnik, sebaliknya turut berperanan membangunkan ekonomi dan industri negara.
Selain itu, beliau yang juga Profesor Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menyeru semua pihak meneruskan usaha-usaha lain untuk memartabatkan Bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan.
“(Ini termasuk) bagaimana kita nak mewujudkan pendidikan satu aliran.”
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencipta sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-77.
Dalam ramai berbangga dan memuji tindakan tersebut, terdapat juga segelintir netizen yang menganggapnya satu tindakan memalukan dan menyifatkan pemimpin tersebut tidak pandai berbahasa Inggeris sehingga terpaksa berbahasa Melayu di perhimpunan besar itu.
Sementara, pada 8 Jun lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan perkhidmatan awam Sarawak akan terus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi bersama dengan bahasa kebangsaan.
Bagaimanapun, jelasnya langkah itu tidak bermakna beliau menentang dasar kebangsaan, sekali gus berharap orang ramai tidak menganggap Kerajaan Sarawak pimpinannya tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.
Sebelum ini, pelbagai usaha diwujudkan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan Malaysia seperti surat-menyurat rasmi dalam dan luar negara oleh semua agensi Kerajaan sama ada untuk menghantar atau membalas hendaklah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.
Di samping itu, Pengerusi Jemaah Pengelola DBP Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata terdapat cadangan agar individu yang didapati tidak menghormati Bahasa Kebangsaan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dihukum penjara melalui pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959. – The Merdeka Times