Connect with us

Terkini

“Dosa bukan bahan lawak!” – tegas agamawan Islam

Tidak sewajarnya kesalahan merogol atau zina dijadikan bahan gurauan kerana kedua-duanya merupakan jenayah dan dianggap dosa besar dalam ajaran Islam.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

dosa bukan bahan lawak
Foto: Prof. Madya Dr. Rozaimi Ramle.
  • Isu rogol atau zina tidak sewajarnya dijadikan bahan gurauan kerana kedua-duanya jenayah dan dosa besar.
  • Masyarakat diminta lebih sensitif dengan isu melibatkan sexual grooming.
  • Teguran itu dibuat agamawan, Ustazah Asmak Husin dan Prof. Madya Dr. Rozaimi Ramle berhubung kes pengguna Facebook yang membuat jenaka tentang jenayah rogol melibatkan pendakwah bebas yang ditahan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tidak sewajarnya kesalahan merogol atau zina dijadikan bahan gurauan kerana kedua-duanya merupakan jenayah dan dianggap dosa besar dalam ajaran Islam.

Demikian teguran yang dilontarkan pendakwah bebas, Ustazah Asmak Husin berhubung isu pengguna Facebook yang menjadikan jenayah rogol sebagai bahan jenaka.

Antara petikan daripada  di Facebook individu tersebut adalah; “Ustaz Yg Hebat Atau Gadis 14 Tahun Tu Yg Hebat, Berkali-kali Pergi Nya???”

Berikutan hantaran jelek itu, pengguna Facebook tersebut dikritik dan dikecam warga maya serta ditegur oleh golongan agamawan.

Mengulas lanjut, Asmak yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Wanita Yadim (MAYA) menegaskan pendirian beliau yang tidak bersetuju dengan pandangan penulis tersebut. Hal ini kerana kedua-dua rogol dan zina adalah dosa yang sememangnya tidak boleh jadikan sebagai bahan jenaka.

“Rogol ke, zina ke, kedua-duanya bukan bahan lawak sebab benda itu adalah dosa. Dosa bukan bahan lawak.

“Kita sedia tahu rogol ini satu kesalahan jenayah jadi tidak kiralah apa pun faktornya kalau rogol ia tetap jenayah dan dalam Islam hukumnya haram. 

“Begitu juga dengan zina, walaupun berlaku tanpa paksaan ia tetap haram dan berdosa,” tegasnya ketika dihubungi The Merdeka Times pada Khamis.

Tambahnya lagi, kita sewajarnya menjadi lebih sensitif dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling terutamanya apabila ia melibatkan isu sexual grooming.

Seiring dengan itu, Prof. Madya Dr. Ustaz Rozaimi Ramle, ahli Majlis Fatwa Perlis turut menyifatkan hantaran jelek tersebut bukan satu perkara lucu. Sebaliknya jika benar pertuduhan terhadap pendakwah tersebut, sebagai umat Islam kita sewajarnya merasa sedih kerana ia melibatkan dosa besar.

“Saya tidak nampak di mana hebatnya dan tidak nampak di mana lucunya pertuduhan rogol@zina sehingga emoji (julur lidah) ini diberikan. 

“Jika benar ia berlaku, seorang Muslim sepatutnya merasa sedih kerana ia dosa besar,” tulisnya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Pada Isnin, media melaporkan seorang pendakwah bebas terkenal ditahan oleh pihak berkuasa atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang difahamkan sudah berulang kali melakukan hubungan intim di lokasi berbeza sejak mereka berkenalan pada Mei tahun lalu.

Suspek telah direman selama lima hari bermula 19 Julai hingga 23 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – The Merdeka Times

 

Author