Terkini
PRN Johor: Peluang cerah UMNO/BN pertahan kuasa
- Pensyarah kanan dan penganalisis politik dari UPM, Dr. Nur Ayuni Mohd Isa berkata, kelebihan awal tersebut didorong oleh faktor kekuatan jentera parti dan rangkaian akar umbi yang telah lama bertapak.\
- Selain itu, beliau berkata, faktor pengaruh kepimpinan Menteri Besar yang berjaya mengekalkan kestabilan pentadbiran negeri turut menjadi kelebihan strategik UMNO dan BN.
- “Dalam tempoh berkempen, naratif kestabilan politik dan kesinambungan dasar pembangunan dijangka menjadi kekuatan utama bagi UMNO/BN,” katanya.\
KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) diramal masih berada dalam kedudukan yang agak selesa serta mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan penguasaan mereka di Johor berdasarkan landskap politik semasa.
Bercakap kepada The Merdeka Times, pensyarah kanan dan penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nur Ayuni Mohd Isa berkata, kelebihan awal tersebut didorong oleh faktor kekuatan jentera parti dan rangkaian akar umbi yang telah lama bertapak.
Selain itu, beliau berkata, faktor pengaruh kepimpinan Menteri Besar yang berjaya mengekalkan kestabilan pentadbiran negeri turut menjadi kelebihan strategik UMNO dan BN.
“Dalam tempoh berkempen, naratif kestabilan politik dan kesinambungan dasar pembangunan dijangka menjadi kekuatan utama bagi UMNO/BN.
“Sehubungan itu, parti-parti lawan perlu menawarkan alternatif yang benar-benar meyakinkan sekiranya ingin menyaingi kelebihan gabungan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika mengumumkan pembubaran itu semalam berkata, perkara itu telah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim selepas beliau menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Mengulas lanjut, Nur Ayuni berpendapat, keputusan pilihan raya bagaimanapun tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang telah ditentukan lebih awal.
Jelasnya, corak pengundian pengundi muda, tahap peratusan keluar mengundi serta sentimen semasa berkaitan ekonomi dan kos sara hidup akan menjadi faktor penting yang boleh mempengaruhi keputusan akhir.
“Walaupun kelebihan awal dilihat memihak kepada UMNO/BN, medan kempen tetap akan menjadi penentu sejauh mana sokongan itu dapat diterjemahkan kepada kemenangan pada hari pengundian,” katanya. – The Merdeka Times