Terkini
Lelaki bunuh anak kecil kerana lamaran ditolak
- Menurut laporan media tempatan, suspek dikenali sebagai Jitendra Pathak atau Viraj dipercayai bertindak demikian selepas lamaran perkahwinannya ditolak oleh ibu kanak-kanak terbabit yang dikenali sebagai Rati.
- Dalam kejadian tersebut, Viraj dikatakan membawa kanak-kanak lelaki itu keluar dengan alasan mahu membelikannya gula-gula sebelum bertindak membunuh mangsa dengan menghentaknya berulang kali ke atas permukaan simen.
UTTAR PRADESH – Seorang lelaki di Firozabad, Uttar Pradesh, India ditahan polis selepas dipercayai membunuh anak lelaki berusia satu setengah tahun milik wanita yang ingin dikahwininya, sebelum terlibat dalam insiden berbalas tembakan dengan pihak berkuasa.
Menurut laporan media tempatan, suspek dikenali sebagai Jitendra Pathak atau Viraj dipercayai bertindak demikian selepas lamaran perkahwinannya ditolak oleh ibu kanak-kanak terbabit yang dikenali sebagai Rati.
Siasatan mendapati suspek menganggap kanak-kanak itu sebagai penghalang kepada hasratnya untuk mengahwini wanita berkenaan.
Dalam kejadian tersebut, Viraj dikatakan membawa kanak-kanak lelaki itu keluar dengan alasan mahu membelikannya gula-gula sebelum bertindak membunuh mangsa dengan menghentaknya berulang kali ke atas permukaan simen.
Ahli keluarga mangsa yang menyedari kejadian itu segera membawa kanak-kanak berkenaan ke hospital, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan. Suspek kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian.
Ibu mangsa memaklumkan kepada polis bahawa suspek telah lama mendesaknya untuk berkahwin, namun beliau menolak kerana sudah mempunyai seorang anak. Laporan polis berhubung kes bunuh kemudian dibuat terhadap suspek.
Polis kemudiannya menerima maklumat mengenai lokasi persembunyian suspek berhampiran persimpangan Bhudha Bharthara di Jalan Mainpuri sebelum satu operasi khas dijalankan untuk menahannya.
Menurut pihak berkuasa, suspek yang bersembunyi di kawasan semak dikatakan melepaskan tembakan ke arah anggota polis ketika operasi dijalankan, menyebabkan pihak polis membalas tembakan. Suspek cedera di bahagian kaki sebelum berjaya ditahan.
Polis turut merampas sepucuk pistol buatan sendiri, lima butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru daripada suspek. Dalam soal siasat, Viraj mengaku membunuh kanak-kanak itu kerana kecewa apabila hasratnya untuk mengahwini ibu mangsa berulang kali ditolak.
Superintendan Polis Bandar Firozabad, Ravi Shankar Prasad berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan dan mengumpul semua bukti bagi membolehkan kertas pertuduhan difailkan secepat mungkin di mahkamah.
Beliau turut menegaskan bahawa polis akan berusaha memastikan suspek menerima hukuman paling berat sekiranya disabitkan kesalahan. -The Merdeka Times