Terkini
“Berhenti jadikan agama sebagai bahan jenaka” – NGO pelbagai agama
Seluruh rakyat diseru untuk berpegang kepada kerukunan hidup yang harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.
- Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai agama yang bergabung di bawah Friendship Group of Inter-Religious (FGIS) membantah tindakan sesetengah pihak yang menjadikan agama sebagai bahan jenaka.
- Mereka diminta agar berhenti menjadikan isu sensitif seperti agama sebagai bahan jenaka.
- Seluruh rakyat diseru untuk berpegang kepada kerukunan hidup yang harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.
- FGIS nyatakan pendirian untuk terus menyokong usaha semua pihak yang mahu membina dan mengukuhkan pertalian antara kaum dan agama ke arah mewujudkan Bangsa Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara.
KUALA LUMPUR – Satu kenyataan media telah dikeluarkan oleh Friendship Group of Inter-Religious Services (FGIS) bagi membantah tindakan menjadikan agama sebagai bahan jenaka. Hal ini kerana perbuatan mempersenda agama dalam berjenaka boleh membangkitkan ketegangan antara masyarakat di negara ini.
Kenyataan dari FGIS itu mendapat sokongan dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Buddhist Missionary Society Malaysia (BMSM), Malaysia Hindu Sangam, Council of Churches of Malaysia, Buddhist Maha Vihara, Gerakan Belia Sikh Malaysia (GBSM), dan Sathya Sai Baba International Organization Malaysia.
“Pihak FGIS menggesa agar pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab supaya menghentikan tindakan menjadikan isu sensitif seperti agama sebagai bahan jenaka.
“Dengan itu, seluruh rakyat digesa untuk berpegang kepada kerukunan hidup yang harmoni dengan saling hormat menghormati antara satu sama lain.
“FGIS yakin isu ini dapat diselesaikan sekiranya pihak berkenaan menyedari tanggungjawab masing-masing untuk menjaga tatasusila dan prinsip hidup secara damai dengan menjaga sensitiviti dan perasaan semua penganut agama di Malaysia,” katanya lagi.
Menyesali isu panas yang tular, pihak FGIS juga mengharapkan supaya situasi ini dapat diredakan tanpa wujudnya situasi yang lebih parah susulan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa atas lunas undang-undang.
Dalam masa sama, FGIS juga berpendirian tindakan sebegini harus dibendung segera dan berharap supaya perkara sebegini tidak kembali berulang.
FGIS turut menyatakan pendiriannya untuk terus menyokong usaha semua pihak yang mahu membina dan mengukuhkan talian persahabatan antara kaum dan agama sebagai medium untuk saling memahami antara satu sama lain serta menyemai perpaduan kaum ke arah mewujudkan Bangsa Malaysia berasaskan tunjang Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara.
Sumber: Kumpulan Persahabatan -Khidmat Antara Agama