Terkini
PRN : Sedia kalah demi ‘pelaburan’ jangka masa panjang – Syed Saddiq
Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bertanding solo Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri adalah untuk bertindak sebagai medium semak dan imbang di dalam kerajaan sedia ada.
- Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bertanding solo Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri adalah untuk bertindak sebagai medium semak dan imbang di dalam kerajaan sedia ada.
- Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata ketika ini kerajaan terbelah kepada dua blok parti politik yang agak besar dan dilihat bersifat ‘toksik’.
- Katanya, strategi MUDA dalam PRN kali ini ialah memastikan peruntukan diberi sama rata tidak kira kawasan itu dimiliki pembangkang, fokus kepada isu rakyat, tiada lantikan politik berleluasa dan tiada pemusatan kuasa.
- “Bagaimanapun saya akui, bukan mudah untuk sebuah parti baharu untuk menang, namun bersedia kalah demi ‘pelaburan’ jangka masa panjang.” – Syed Saddiq
- Semalam, MUDA mengesahkan untuk menyertai PRN secara solo demi membawa suara rakyat dan memperkenalkan politik baru yang menjauhi amalan lapuk.
KUALA LUMPUR: Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bertanding solo Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri adalah untuk bertindak sebagai medium semak dan imbang di dalam kerajaan sedia ada.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata ketika ini kerajaan terbelah kepada dua blok parti politik yang agak besar dan dilihat bersifat ‘toksik’.
Katanya, rata-rata rakyat pula melihat prinsip perjuangan kerajaan berubah, tidak seperti dahulu yang mana semuanya tidak seperti apa yang diperkatakan dahulu.
“Justeru MUDA perlu fokus kepada idealisme asal untuk menyatukan dan memperjuangkan rakyat serta memberi keadilan kepada semua walaupun berada di pihak pembangkang.
“Tidak adil untuk kerajaan menghukum rakyat yang tidak mengundi mereka dengan anak tirikannya.
“Sebab itu, dari dulu sampai sekarang, MUDA amat konsisten dengan perjuangannya dan tidak pernah bersikap ‘u-turn’ sama sekali,” katanya ketika sesi Town Hall dalam talian pertama Parti MUDA, semalam.
Semalam, MUDA mengesahkan untuk menyertai PRN secara solo demi membawa suara rakyat dan memperkenalkan politik baru yang menjauhi amalan lapuk.
Keputusan itu membuatkan MUDA bakal bertembung dengan Pakatan Harapan (PH) yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh PAS, BERSATU dan GERAKAN.
Sementara itu, Syed Saddiq berkata, untuk strategi MUDA dalam PRN kali ini ialah memastikan peruntukan diberi sama rata tidak kira kawasan itu dimiliki pembangkang, fokus kepada isu rakyat, tiada lantikan politik berleluasa dan tiada pemusatan kuasa.
“Sampai bila kita nak tengok politik yang berpecah belah kerana akhirnya ia tidak akan menjadikan negara itu maju.
“Bagaimanapun saya akui, bukan mudah untuk sebuah parti baharu untuk menang, namun bersedia kalah demi ‘pelaburan’ jangka masa panjang.
“Rakyat adalah pemegang taruh terbesar dalam negara dan mereka akan lihat untuk tentukan.
“MUDA perlu ukur baju kerana dalam menyertai pesta demokrasi ini, kita realistik. Jika kalah, kita belajar kerana untuk berjaya ia akan mengambil masa yang lama,” katanya.
Sumber: Berita Harian