Terkini
Sekatan kandungan media sosial kritik kerajaan meningkat 40 kali ganda – Syed Saddiq
Sekatan kandungan berunsur kritikan kepada kerajaan menerusi media sosial kini meningkat 40 kali ganda, dakwa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan 96 kandungan berkenaan kritikan kepada kerajaan di media sosial pada 2022.
- Bagaimanapun, jumlah sekatan itu meningkat mendadak pada 2023 di mana 4,000 kandungan melibatkan kritikan kepada kerajaan disekat.
- “Adakah ini taktik baru kerajaan? Apabila mereka tidak boleh menjawab isu mata wang lemah, kenaikan kos sara hidup, rasuah berleluasa, mereka tutup mulut rakyat, tutup mata rakyat, ugut mereka. Kita perlu lawan berhabis-habisan,” katanya menerusi klip video di TikTok, berlatarkan Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.
- Syed Saddiq berkata kerajaan yang mengarahkan syarikat sosial media untuk menyekat kritikan rakyat di mana MCMC merupakan sebuah agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia syarikat-syarikat media sosial.
- “Janganlah baling batu sembunyi tangan! Kalau TikTok atau Facebook tak ikut arahan kerajaan mereka kena ugut, kena banned. Mereka kena ugut tak ikut undang-undang negara walhal undang-undang ini adalah undang-undang yang zalim menyekat kebebasan.
KUALA LUMPUR — Sekatan kandungan berunsur kritikan kepada kerajaan menerusi media sosial kini meningkat 40 kali ganda, dakwa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq berkata kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan 96 kandungan berkenaan kritikan kepada kerajaan di media sosial pada 2022.
Katanya, jumlah sekatan itu meningkat mendadak pada 2023 di mana 4,000 kandungan melibatkan kritikan kepada kerajaan disekat.
“Tetapi hari ini terbukti jumlah censorship (penapisan), sekatan meningkat bukan sekali ganda, dua kali ganda, tiga kali ganda meningkat, (tapi) 40 kali ganda sampai apabila Yang Berhormat Putrajaya keluarkan video berasaskan fakta kritik berkenaan mata wang ringgit yang paling lemah lebih 26 tahun!
“Tetapi bila dah cecah 2 juta views dilenyapkan kerana laporan MCMC bawah Kerajaan MADANI.
“Adakah ini taktik baru kerajaan? Apabila mereka tidak boleh menjawab isu mata wang lemah, kenaikan kos sara hidup, rasuah berleluasa, mereka tutup mulut rakyat, tutup mata rakyat, ugut mereka. Kita perlu lawan berhabis-habisan,” katanya menerusi klip video di TikTok berlatarkan Persidangan Dewan Rakyat.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching semalam dilaporkan berkata penyedia platform media sosial akan membuat penilaian sendiri dan tidak menerima sebarang arahan daripada kerajaan untuk menurunkan mana-mana kandungan.
Mengikut prosedur, Nie Ching berkata MCMC akan mengemukakan permintaan kepada penyedia platform seperti Facebook, Tiktok dan X apabila menerima laporan berhubung kandungan sensitif di media sosial.
Bagaimanapun, menurutnya penyedia platform media sosial mempunyai garis panduan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan menurunkan kandungan.
Mengulas isu itu, Syed Saddiq berkata kerajaan yang mengarahkan syarikat sosial media untuk menyekat kritikan rakyat di mana MCMC merupakan sebuah agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia syarikat-syarikat media sosial.
“Janganlah baling batu sembunyi tangan! Kalau TikTok atau Facebook tak ikut arahan kerajaan mereka kena ugut, kena banned. Mereka kena ugut tak ikut undang-undang negara walhal undang-undang ini adalah undang-undang yang zalim menyekat kebebasan.
“Siapa yang label undang-undang ini zalim? Bukan saya seorang! Mereka yang dah melupakan janji mereka kepada rakyat dulu. Kata nak mansuhkan, tak buat juga! Hipokrit! Dulu kata nak mansuhkan kini siap perkuatkan dengan kenaikan hukuman kepada undang-undang zalim ini.
“Inilah solusi baru MADANI, bila rakyat marah, kos sara hidup meningkat, mata wang ringgit paling lemah, janji-janji ‘dicapatikan’. Solusi mereka? Tutup mata. Tutup mulut. Itu jawapannya,” kata Syed Saddiq. — The Merdeka Times
