Terkini
MUDA bidas cadangan pantau guru, kakitangan tidak sokong Kerajaan Perpaduan
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tidak mengambil kira cadangan PKR Johor agar kementerian itu membentuk jawatankuasa khas untuk memantau guru atau kakitangan yang tidak menyokong Kerajaan Perpaduan.
- Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tidak mengambil kira cadangan PKR Johor agar kementerian itu membentuk jawatankuasa khas untuk memantau guru atau kakitangan yang tidak menyokong Kerajaan Perpaduan.
- Membidas cadangan itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA, Teacher Thanusha berkata kementerian terbabit sepatutnya perlu fokus kepada isu yang lebih penting dan boleh memberi manfaat kepada institusi pendidikan negara.
- Katanya, tumpuan patut diberikan kementerian itu untuk meningkatkan kualiti pendidikan bagi generasi masa depan rakyat Malaysia, bukannya menjadi pemerhati terhadap guru yang tidak menyokong Kerajaan Perpaduan.
- “Selagi mereka menjalankan tugas dengan baik dan kualiti pendidikan diutamakan, tidak menjadi masalah bagi mereka menyokong mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
KUALA LUMPUR — Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tidak mengambil kira cadangan PKR Johor agar kementerian itu membentuk jawatankuasa khas untuk memantau guru atau kakitangan yang tidak menyokong Kerajaan Perpaduan.
Membidas cadangan itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA, Teacher Thanusha berkata kementerian terbabit sepatutnya perlu fokus kepada isu yang lebih penting dan boleh memberi manfaat kepada institusi pendidikan negara.
Katanya, tumpuan patut diberikan kementerian itu untuk meningkatkan kualiti pendidikan bagi generasi masa depan rakyat Malaysia, bukannya menjadi pemerhati terhadap guru yang tidak menyokong Kerajaan Perpaduan.
“Apa pun kecenderungan politik guru-guru, profesionalisme dan tugas mereka untuk mendidik anak bangsa perlu diutamakan.
“Selagi mereka menjalankan tugas dengan baik dan kualiti pendidikan diutamakan, tidak menjadi masalah bagi mereka menyokong mana-mana pihak.
“Sebagai sebuah negara membangun, kita seharusnya mengamalkan kebebasan untuk menyokong mana-mana parti politik atau ideologi.
“Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya tidak mengutamakan ideologi politik dan perlu bersikap tidak berat sebelah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Thanusha berkata cadangan PKR Johor itu juga bukan cara demokrasi berkuat kuasa.
Katanya, Malaysia merupakan negara demokratik dan sama ada seseorang itu penjawat awam ataupun tidak, mereka mempunyai hak untuk menyokong mana-mana parti politik yang diinginkan.
“Akhir sekali, ahli-ahli politik dan parti-parti politik tidak sepatutnya menggunakan kekerasan untuk mendapatkan sokongan tetapi seharusnya menjadi sumber inspirasi bagi orang ramai untuk menyokong ideologi mereka,” katanya.
Semalam, Perwakilan Johor, Haryati Abu Nasir yang juga Ketua Wanita PKR Cabang Kluang dilapor mengemukakan cadangan itu di Kongres Nasional PKR 2023 susulan fenomena kakitangan kerajaan tidak menyokong Kerajaan Perpaduan dilihat kian membimbangkan.
Haryati menjelaskan jawatankuasa yang dicadangkan adalah untuk memantau dan mengenal pasti isu menyebabkan kumpulan itu menentang kerajaan.
“Maksudnya secara keseluruhan kerana sebenarnya… kakitangan awam masih ada belum menyokong (Kerajaan Perpaduan). Kalau boleh, kita mahu mereka beri sokongan sewajarnya sebab mereka penjawat awam, sepatutnya kenalah sokong,” kata Haryati. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Parti MUDA Malaysia