Antarabangsa
Banjir Pakistan: NGO IMARET salur bantuan fasa pertama bernilai USD20,000
Terkesan dengan bencana banjir dahsyat di Pakistan, Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) menyalurkan dana.
- IMARET hantar dana kecemasan USD20,000 (RM90,650) kepada mangsa banjir di Matiari, Sindh, Pakistan pada Jumaat (9 Sept 2022) lalu.
- Antara NGO Malaysia hantar bantuan ke Pakistan melalui kerjasama dengan NGO tempatan, Al-Khidmat Foundation Pakistan (AKFP).
- Bantuan disumbangkan rakyat Malaysia melalui Kempen Rayuan Kecemasan untuk Pakistan IMARET dilancarkan selama dua minggu sejak 31 Ogos lalu, digunakan untuk mengagihkan bantuan makanan kepada mangsa banjir di Matiari, Sindh, Pakistan.
- Sindh adalah wilayah terjejas teruk akibat banjir monsun sejak akhir Jun lalu, setakat ini mengorbankan lebih 1,400 mangsa dan menyebabkan 33 juta populasi Pakistan terjejas.
KUALA LUMPUR: Terkesan dengan bencana banjir dahsyat di Pakistan, Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) menyalurkan dana kecemasan USD20,000 (RM90,650) kepada mangsa banjir di negara itu.
IMARET dalam kenyataannya berkata bantuan fasa pertama itu disalurkan kepada rakan badan bukan kerajaan (NGO) di Pakistan, Al-Khidmat Foundation Pakistan (AKFP) pada Jumaat lalu.
Sebahagian bantuan disumbangkan rakyat Malaysia melalui Kempen Rayuan Kecemasan untuk Pakistan IMARET dilancarkan selama dua minggu sejak 31 Ogos lalu itu, digunakan untuk mengagihkan bantuan makanan kepada kelompok terjejas di Matiari, Sindh, Pakistan.
Sindh adalah wilayah terjejas teruk akibat banjir monsun sejak akhir Jun lalu yang setakat ini mengorbankan lebih 1,400 mangsa dan menyebabkan 33 juta populasi Pakistan terjejas serta lebih sejuta rumah musnah/separa rosak.
The Merdeka Times semalam melaporkan Pihak berkuasa Pakistan menganggarkan kawasan terjejas teruk banjir mungkin mengambil tempoh sehingga enam bulan untuk surut dan kembali pulih sepenuhnya.
Keseluruhan dana dikumpul IMARET sehingga tarikh akhir kempen semalam adalah RM138,141 dengan bakinya akan disalurkan kemudian kepada rakan kerjasama di Pakistan untuk keperluan kecemasan, termasuk keperluan perubatan, di wilayah terjejas banjir.
Individu atau korporat yang ingin menyalurkan sumbangan bagi menyokong kerja-kerja kemanusiaan IMARET di dalam dan luar negara boleh terus berbuat demikian dengan menyalurkan dana melalui akaun Persatuan Perubatan Islam Malaysia (CIMB: 8600 703 709). – The Merdeka Times