Connect with us

Terkini

‘Istanbul milik Turki, ia akan kekal bandar Turki dan Islam sehingga Kiamat.’ – Recep Tayyip Erdoğan.

Published

on

Foto: Presiden Turki,  Recep Tayyip Erdoğan.
  • Presiden Turki,  Recep Tayyip Erdoğan menegaskan semula komitmen kerajaannya untuk memelihara identiti bersejarah Istanbul.
  • Erdoğan berkata sesetengah pengkritik terus menentang kepentingan sejarah penaklukan Uthmaniyyah ke atas Istanbul, namun menegaskan identiti bandar itu tidak akan berubah.
  • Presiden itu juga berikrar mempertahankan semangat Uthmaniyyah, terus melabur dalam pembangunan Istanbul dan melaksanakan projek-projek yang layak untuk bandar itu.

ISTANBUL – Presiden Turki,  Recep Tayyip Erdoğan menegaskan semula komitmen kerajaannya untuk memelihara identiti bersejarah Istanbul, dengan menyatakan bahawa bandar itu akan kekal sebagai bandar Turki dan Islam “sehingga akhir zaman.”

Beliau mengkritik pihak yang menulis bahawa “penindasan bermula pada tahun 1453” pada tembok-tembok bandar itu dan menyifatkan mereka sebagai “sisa-sisa Byzantium,” lapor Yeni Safak.

Berucap selepas mesyuarat Kabinet, Erdoğan berkata sesetengah pengkritik terus menentang kepentingan sejarah penaklukan Uthmaniyyah ke atas Istanbul, namun menegaskan identiti bandar itu tidak akan berubah.

Erdoğan berkata penaklukan tersebut telah mengubah sebuah kota Byzantium yang sedang merosot menjadi ibu kota Uthmaniyyah yang berkembang maju melalui usaha Sultan Muhammad Al-Fatih (Fatih Sultan Mehmed). 

Beliau turut merujuk kepada Hagia Sophia sebagai simbol kekal warisan tersebut, sambil menekankan pembukaannya semula untuk ibadah serta kembalinya bacaan al-Quran dan laungan azan di dalam monumen bersejarah itu.

Presiden itu juga berikrar untuk mempertahankan semangat Uthmaniyyah, terus melabur dalam pembangunan Istanbul dan melaksanakan projek-projek yang menurutnya layak untuk bandar itu. 

Beliau menegaskan bahawa Istanbul akan terus berkait rapat dengan warisan Sultan Muhammad Al-Fatih serta asas-asas sejarahnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author