Ekonomi
Zakat faktor 1228 asnaf kini bergelar usahawan berjaya – Pengerusi MAIS
Seramai 1,228 asnaf fakir dan miskin di Selangor kini menjadi usahawan berjaya, memiliki perniagaan sendiri dan sudah menjadi pengeluar zakat.
- 1,228 asnaf fakir dan miskin di Selangor kini menjadi usahawan berjaya, memiliki perniagaan sendiri dan sudah menjadi pengeluar zakat.
- “Inilah antara bukti manfaat zakat yang tuan-tuan dan puan-puan keluarkan. Zakat bukan hanya menjadi umpan, malahan joran untuk dijadikan pancing untuk asnaf hidup berdikari dan berjaya dengan sendirinya,” – Pengerusi MAIS.
- Kira-kira 1,000 usahawan asnaf diberikan latihan perniagaan melalui Program Pembangunan Usahawan Asnaf yang diuruskan oleh TERAS setiap tahun.
SHAH ALAM: Seramai 1,228 asnaf fakir dan miskin di Selangor kini menjadi usahawan berjaya, memiliki perniagaan sendiri dan sudah menjadi pengeluar zakat.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata kejayaan yang ditunjukkan oleh asnaf dengan bantuan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) itu membuktikan manfaat besar zakat kepada umat Islam.
“Apa yang membanggakan, bermula tahun 2013 hingga 2021, seramai 1,228 orang berjaya bebas daripada asnaf dan kini, berjaya pula menjadi pengeluar zakat. Alhamdulillah.
“Inilah antara bukti manfaat zakat yang tuan-tuan dan puan-puan keluarkan. Zakat bukan hanya menjadi umpan, malahan joran untuk dijadikan pancing untuk asnaf hidup berdikari dan berjaya dengan sendirinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Transformasi Usahawan Asnaf Selangor (TUAS) di Wisma PKPS, di sini, hari ini.
Pada program itu, 170 usahawan asnaf dan bekas asnaf dihimpunkan dengan pelbagai agensi pembiayaan perniagaan, selain 10 usahawan menerima Anugerah Ikon Usahawan Asnaf 2022.
Abdul Aziz berkata, kira-kira 1,000 usahawan asnaf diberikan latihan perniagaan melalui Program Pembangunan Usahawan Asnaf yang diuruskan oleh TERAS setiap tahun.
“Syabas dan tahniah kepada TERAS kerana sepanjang sembilan tahun ini, ini ramai usahawan asnaf yang berjaya dibantu melalui program usahawan ini,” katanya.
Sementara itu Pengurus Besar TERAS, Mohd Hasnul Redza Abdul Rahim, berkata berdasarkan rekod TERAS, kira-kira 60 peratus usahawan yang berjaya itu terbabit dalam industri makanan.
“Secara purata, sekitar 150 hingga 160 asnaf berjaya keluar dari kepompong kemiskinan, setiap tahun. Cuma ketika pandemik COVID-19 melanda dunia, jumlahnya sedikit berkurang, dengan 96 orang pada tahun 2020 dan 58 orang pada 2021 berjaya keluar daripada kemiskinan.
“Antara contohnya, usahawan kita di Kuala Selangor menjalankan aktiviti peruncitan, dalam masa dua bulan ketika pandemik itu, pendapatan beliau mencecah RM100,000,” katanya.
Mohd Hasnul Redza berkata, TERAS yang juga anak syarikat MAIS membantu tujuh kategori industri perniagaan iaitu makanan, peruncitan, perkhidmatan, perikanan, pertanian, penternakan dan pembuatan.
Beliau berkata, tujuh industri itu selaras dengan bantuan awal yang diberi Lembaga Zakat Selangor.
Sumber : Berita Harian