Connect with us

Terkini

Aktifkan ‘One Percent Club’ untuk basmi kemiskinan

Kerajaan disaran agar meneliti kembali cadangan untuk mewujudkan One Percent Club bagi tujuan mendapatkan pendanaan sebagai inisiatif untuk menoktahkan kemiskinan.

Wartawan TMT

Published

on

Aktifkan ‘One Percent Club’ untuk basmi kemiskinan
Foto: Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sakom (hujung kanan), ketika pemberian pakaian percuma anjuran YBK tahun lepas.
  • Kerajaan disaran meneliti kembali cadangan mewujudkan One Percent Club bagi tujuan mendapatkan pendanaan sebagai inisiatif untuk menoktahkan kemiskinan.
  • Saranan itu dibuat Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) bersama Benevolent Malaysia serta beberapa agensi yang terbabit dalam sidang meja bulat bertajuk Menoktahkan Kemiskinan: Peranan Sektor Ketiga, semalam.
  • “Kita memerlukan dana besar. Jadi, setiap pemain dalam GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan), syarikat luar negara yang bertanggungjawab di Malaysia, kita minta mereka meletakkan satu peratus daripada keuntungan mereka dalam satu tabung yang dijaga kerajaan.”
  • “Dengan itu semua NGO (badan bukan kerajaan) atau persatuan yang ingin berusaha membasmi kemiskinan, boleh beri dana. Kalau itu terjadi, YBK boleh basmi 100 orang miskin, Benevolent boleh basmi 100 orang miskin. Banyak boleh dibuat,” kata Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sakom pada sidang media semalam.

PETALING JAYA: Kerajaan disaran agar meneliti kembali cadangan untuk mewujudkan One Percent Club bagi tujuan mendapatkan pendanaan sebagai inisiatif untuk menoktahkan kemiskinan.

Saranan itu dibuat Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) bersama Benevolent Malaysia serta beberapa agensi yang terbabit dalam sidang meja bulat bertajuk Menoktahkan Kemiskinan: Peranan Sektor Ketiga, semalam.

Ahli persidangan tersebut sokong sebulat suara untuk mengaktifkan cadangan yang dipersetujui Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, namun tidak dapat direalisasikan susulan situasi politik ketika itu.

“Kita memerlukan dana besar. Jadi, setiap pemain dalam GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan), syarikat luar negara yang bertanggungjawab di Malaysia, kita minta mereka meletakkan satu peratus daripada keuntungan mereka dalam satu tabung yang dijaga kerajaan.

“Dengan itu semua NGO (badan bukan kerajaan) atau persatuan yang ingin berusaha membasmi kemiskinan, boleh beri dana. Kalau itu terjadi, YBK boleh basmi 100 orang miskin, Benevolent boleh basmi 100 orang miskin. Banyak boleh dibuat.

“Kalau tidak, kita tak tahu di mana yang ada buat program basmi kemiskinan. Mungkin hari ini basmi, esok ia muncul semula,” kata Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sakom pada sidang media semalam.

Katanya, One Percent Club merupakan satu pendekatan lebih sistematik dan terancang yang boleh dilaksanakan kerajaan bagi menunjukkan penyertaan usahawan dalam membasmi kemiskinan.

Lebih 40 peserta dari pelbagai agensi kerajaan, NGO, institusi pendidikan dan aktivis masyarakat hadir pada sesi sidang meja bulat kali ini, termasuk wakil Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Amanah Ikhtiar Malaysia, Lembaga Zakat Selangor.

Sidang meja bulat ini diadakan bertujuan mendapatkan pandangan serta pelan tindakan bagi mengaktifkan peranan agensi dalam membasmi kemiskinan, di samping menggalakkan perkongsian pintar antara agensi.

Dapatan dan rumusan sidang meja bulat ini akan dibawa ke Konvensyen Menoktah Kemiskinan yang akan diadakan Oktober depan.

Sumber: Astro Awani

Author

Kolumnis

Berhikmahkah baca ayat al-Quran di hadapan tempat ibadat agama lain?

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Tangkap layar video yang tular menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Dalam video berkenaan, lelaki itu membaca ayat khusus yang berkaitan teguran Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang menyembah berhala dalam Surah al-Anbiyaa’ 21:66-67

Nabi Ibrahim AS berkata: ‘Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?’” 

Tidak dinafikan apa yang dimaksudkan ayat ini adalah benar dan merupakan fakta dalam ajaran Islam. 

Malah, tiada masalah sekalipun jikalau seseorang Muslim ingin membaca al-Qur’an kerana sememangnya ia perkara yang digalakkan dan diimani setiap Muslim.  

Penulis percaya barangkali niat pempengaruh itu adalah untuk menyampaikan mesej Tawhid dengan membaca petikan ayat al-Qur’an yang khusus menceritakan tentang sindiran Nabi Ibrahim AS kepada pengamal berhala. 

Meskipun niat tersebut mungkin baik, tindakan membaca al-Qur’an di rumah ibadat agama lain adalah tidak sesuai apatah lagi di hadapan patung berhala yang dianggap Tuhan oleh penganut agama terbabit. 

Lebih-lebih lagi, jika tindakan ini bertujuan untuk, konten dan meraih views di media sosial, ia menambahkan lagi ketidak sensitiviti terhadap keagamaan. Tanpa mengetahui realiti setempat, jelas ini bukan dakwah, ini adalah tindakan provokasi yang tidak sepatutnya berlaku.  

Berdakwah biarlah berhikmah 

Setiap daripada kita pasti memiliki pendekatan berdakwah yang pelbagai dalam usaha menarik golongan yang diseru kepada Islam.  

Namun, setiap pendekatan itu juga perlu digariskan mengikut saranan Allah yang menyuruh umat Islam supaya berdakwah secara berhikmah atau bijaksana. 

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl 16:125).

Hikmah dalam konteks ayat ini adalah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya dengan panduan akal. 

Sebagaimana  yang dinyatakan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari (7/205), “Makna yang paling benar dari Al-Hikmah adalah bahwa Al-Hikmah adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya.” 

Sa’id Hawwa pula mengatakan, al-hikmah itu ialah maqalah (pendapat atau perkataan) yang sahih dan jitu, iaitu dalil yang menerangkan kebenaran yang menghilangkan syubhat (kesamaran), atau khitab (ucapan, perkataan atau perbicaraan) yang munasabah kepada setiap golongan manusia berdasarkan kedudukan mereka.

Sebagai contoh, sesuaikah sekiranya kita berdakwah kepada orang bukan Muslim yang asing dan baru pertama kali berjumpa dengan membaca petikan ayat al-Qur’an seperti: 

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu.” (Surah An-Nisa’ 4:56)  

Sememangnya petikan ayat al-Qur’an ini adalah dalil yang sahih. Namun mari kita fikirkan secara logik, adakah bukan Muslim terbabit akan semakin mendekati Islam atau sebaliknya, menjauhi Islam? 

Dan bolehkah pendekatan dakwah sebegini kita katakan sebagai dakwah secara bijaksana yang meletakkannya di tempat yang sepatutnya? 

Sedangkan, kita perlu menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan audiens mengikut konteks sosial dan realiti setempat. Bukan main terjah berdakwah tanpa mengambil tahu latar belakang kepercayaan setempat. 

Dalam usaha berdakwah, amat penting untuk kita sentiasa mempertimbangkan sensitiviti agama lain dan menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka. 

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah Al-An’am 6:108) 

Tetapi, apakah menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka bermaksud Muslim menerima kepercayaan mereka? Sudah tentu tidak. Sebabnya jelas, akidah yang berbeza dan prinsip Islam juga jelas iaitu ‘bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’. 

Pendekatan dakwah yang bijaksana dan penuh hikmah adalah pendekatan yang bukan sahaja mampu menyampaikan mesej Islam dengan lebih efektif, tetapi juga dapat mengukuhkan hubungan kewujudan bersama secara aman dengan penganut agama lain.

Kita harus sentiasa berhati-hati dan bijak dalam memilih cara berdakwah agar mesej yang disampaikan tidak menimbulkan salah faham mahupun ketegangan. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending