Terkini
“Artis masuk politik lebih dipandang hina berbanding penjenayah,” – Herman Tino
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini turut menyaksikan beberapa penggiat seni diumum menjadi calon selepas dinilai pucuk pimpinan parti sebagai individu berkaliber memikul tugas wakil rakyat.
- Herman Tino atau nama sebenar Masrun Tamsi, 67 tidak pernah bercita-cita menyertai dunia politik pada mulanya.
- Berkongsi pengalamannya, artis yang menyertai politik lebih hina daripada penjenayah.
- “Keputusan untuk bertanding kerusi Parlimen Tanjung Karang dibuat kerana mahu membuktikan kepada seorang individu yang secara terang-terangan memperlekehkan saya. Selain itu, keputusan itu didorong rasa kecewa terhadap penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam parti politik yang saya sertai ketika itu,” kata Herman Tino yang merupakan bekas calon bebas.
- Tidak sanggup lagi berdepan sepak terajang politik yang memualkan, Herman memutuskan tidak mahu bertanding pada PRU14 pada 2018, tambahan turut dimaki sahabat baiknya dan digelar ‘binatang’, selain penduduk Tanjung Karang mencemuhnya hingga ke hari ini walaupun peristiwa itu sudah sembilan tahun berlalu.
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini turut menyaksikan beberapa penggiat seni diumum menjadi calon selepas dinilai pucuk pimpinan parti sebagai individu berkaliber memikul tugas wakil rakyat.
Dengan pengaruh dimiliki, selebriti yang petah dan bijak berpolitik, tentunya mempunyai peluang menambat hati pengundi yang rata-ratanya tahu menilai calon yang difikirkan sesuai memperjuangkan nasib masyarakat.
Dalam senario politik Malaysia, pembabitan anak seni dalam dunia politik bukanlah baharu. Sama dengan golongan profesional lain, selebriti tidak terkecuali mempunyai kesedaran berpolitik terutama bagi mereka yang selama ini banyak terbabit dalam aktiviti persatuan yang mengangkat isu pekerja seni.
BH menemuramah bintang veteran iaitu penyanyi terkenal era 1980-an, Herman Tino yang pernah bergelar calon pada PRU13, hampir sedekad lalu iaitu pada 2013.
Bertanya Herman atau nama sebenar, Masrun Tamsi, 67, yang bertanding atas tiket calon bebas menggunakan lambang bunga raya, penyanyi lagu popular, Mengapa Dikenang Mengapa Difikir ini mengakui berdepan cabaran merebut kerusi Parlimen Tanjung Karang, Selangor.
“Artis yang menceburi bidang politik lebih dipandang hina berbanding penjenayah,” katanya sebaik berkongsi pengalaman berdepan penyandang kerusi iaitu sahabat baiknya daripada Barisan Nasional (BN), Tan Sri Noh Omar, ketika itu.
Herman berkata, beliau tidak pernah bercita-cita menyertai dunia politik, pada mulanya.
“Keputusan untuk bertanding kerusi Parlimen Tanjung Karang dibuat kerana mahu membuktikan kepada seorang individu yang secara terang-terangan memperlekehkan saya. Selain itu, keputusan itu didorong rasa kecewa terhadap penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam parti politik yang saya sertai ketika itu.
“Apabila saya memutuskan untuk bertanding sebagai calon bebas, ramai tidak boleh terima dan hina saya. Saya pernah digelar ‘binatang’.
“Malah, kawan baik saya sanggup memaki hamun hanya kerana disebabkan keputusan saya itu. Mungkin bagi mereka, artis tidak layak sertai politik, apatah lagi bergelar calon. Bagi mereka adalah menjadi suatu kesalahan besar jika artis berada di pentas politik,” katanya kepada BH Online.
Tidak sanggup lagi berdepan sepak terajang politik yang memualkan, Herman memutuskan tidak mahu bertanding pada PRU14 pada 2018.
“Cukuplah dengan pengalaman yang dilalui pada 2013. Biarlah menjadi kenangan sepanjang zaman. Bagi mereka, golongan artis memang tiada tempat di pentas politik.
“Walaupun sudah sembilan tahun berlalu, sampai hari ini, seluruh Tanjung Karang masih mencemuh saya. Itu yang saya dapat hasil tindakan berani yang dilakukan itu.
“Apa-apa pun, saya tidak pernah menyesal dengan keputusan yang dibuat. Sekurang-kurangnya, apabila saya sudah tiada nanti, ada juga meninggalkan sesuatu yang boleh dianggap sejarah dalam senarai pencapaian peribadi sepanjang bergelar anak seni,” katanya.
Kelmarin, pada majlis pengumuman calon PRU15 Gerakan Tanah Air (GTA)-Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), pelakon dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri serta teman seangkatan dunia seni, Datuk Seri Eizlan Yusof, diumumkan calon GTA bagi PRU15.
Ahmad Idham dan Eizlan daripada badan bukan kerajaan (NGO), Gagasan Bangsa, masing-masing akan bertanding di Parlimen Port Dickson dan Sabak Bernam, atas tiket PEJUANG.
Selain dua selebriti itu, pelakon Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando dilaporkan turut dicalonkan bagi Parlimen Tanjung Karang.
Sumber : Berita Harian