Terkini
Pemain industri komited laksana PKBPT jamin kestabilan beras di pasaran
Pengilang padi, pemborong beras dan peruncit memberikan komitmen melaksanakan Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) di seluruh negara bagi menjamin kestabilan bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.
- Pengilang padi, pemborong beras dan peruncit memberikan komitmen melaksanakan Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) di seluruh negara bagi menjamin kestabilan bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.
- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata persetujuan itu dinyatakan pada sesi libat urus KPKM bersama pemain industri beras negara di Putrajaya semalam bagi membincangkan secara terperinci berkenaan BPT dan kenaikan harga Beras Putih Import (BPI).
- PKBPT dilaksanakan dua fasa bermula pada 8 Sep dan 15 Sep ini, dan melalui PKBPT, pengilang meningkatkan pengeluaran 20 peratus bekalan BPT (23,000 tan metrik sebulan) pasaran dalam negara bagi tempoh satu tahun.
- “Langkah intervensi ini bertujuan bagi memastikan bekalan BPT dapat memenuhi keperluan pengguna dan menjamin kestabilan bekalan BPT di pasaran,” kata KPKM dalam kenyataan pada Rabu sempena sesi libat urus dipengerusikan Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali.
- KPKM berkata FAMA dan LPP dilibatkan bagi tujuan pengedaran BPT kumpulan sasar terutama di kawasan tidak mempunyai kemudahan pasar raya.
PUTRAJAYA: Pengilang padi, pemborong beras dan peruncit memberikan komitmen melaksanakan Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) di seluruh negara bagi menjamin kestabilan bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata persetujuan itu dinyatakan pada sesi libat urus KPKM bersama pemain industri beras negara di Putrajaya semalam bagi membincangkan secara terperinci berkenaan BPT dan kenaikan harga Beras Putih Import (BPI).
PKBPT sedang dilaksanakan dalam dua fasa bermula pada 8 Sep dan 15 Sep ini, dan melalui PKBPT, pengilang akan meningkatkan pengeluaran sebanyak 20 peratus bekalan BPT (23,000 tan metrik sebulan) untuk pasaran dalam negara bagi tempoh satu tahun.
“Langkah intervensi ini bertujuan bagi memastikan bekalan BPT dapat memenuhi keperluan pengguna dan menjamin kestabilan bekalan BPT di pasaran,” kata KPKM dalam kenyataan pada Rabu sempena sesi libat urus yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali.
Sesi libat urus itu turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dan lima pemborong beras utama serta 11 pasar raya besar.
Menerusi PKBPT itu, KPKM berkata FAMA dan LPP turut dilibatkan bagi tujuan pengedaran BPT kepada kumpulan sasar terutama di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan pasar raya.
Pemantauan dan penguatkuasaan keseluruhan rantaian PKBPT itu akan dilakukan oleh KPKM melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) dengan kolaborasi strategik bersama Bahagian Penguat kuasa, KPDN dalam Op JAMIN, katanya.
Sebelum ini, KPKM telah mengadakan sesi libat urus melibatkan pasar raya pada 20 Julai lepas, pengilang padi dan pemborong beras pada 28 Ogos lepas serta Sesi Dialog Belanjawan 2024 Subsektor Padi dan Beras Negara pada 7 Sept lepas.
Isu kekurangan bekalan beras negara dan kenaikan harga beras import mendapat perhatian Ahli Parlimen pada sesi perbahasan hari kedua usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur semalam.
Mereka berpendapat masalah itu perlu ditangani dengan kadar segera bagi meredakan keresahan dalam kalangan rakyat memandangkan beras ialah makanan ruji di negara ini.
Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan segera bagi menampung kekurangan 38 peratus bekalan beras untuk kegunaan tempatan.
Sumber: Astro Awani