Terkini
RM448.87 juta subsidi, insentif pesawah tidak dibelanjakan
Sebanyak RM448.87 juta pemberian subsidi dan insentif kepada pesawah yang disalurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), dilaporkan tidak dibelanjakan.
- RM448.87 juta pemberian subsidi dan insentif kepada pesawah disalurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), dilaporkan tidak dibelanjakan.
- Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2022 yang dikeluarkan hari ini, jumlah RM448.87 adalah baki peruntukan terkumpul setakat tahun 2022.
- Menurutnya, pengurusan saluran peruntukan kurang memuaskan berikutan KPKM tidak semak baki peruntukan di LPP sebelum saluran peruntukan tahunan dibuat manakala baki peruntukan bagi program ‘Entry Point Project’ (EPP) 11 yang ditamatkan tidak dikembalikan agensi terbabit.
- “Ia menyebabkan LPP masih mempunyai baki terkumpul yang tidak dibelanjakan secara optimum bagi membantu golongan sasar mengurangkan kos pengeluaran padi.
- “Semakan audit mendapati sejumlah RM3.673 bilion disalurkan KPKM kepada LPP bagi tempoh tahun 2019 hingga 2022 untuk pelaksanaan pelbagai skim bantuan subsidi dan insentif penanaman padi,” katanya.
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM448.87 juta pemberian subsidi dan insentif kepada pesawah yang disalurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), dilaporkan tidak dibelanjakan.
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2022 yang dikeluarkan hari ini, jumlah RM448.87 itu adalah baki peruntukan terkumpul setakat tahun 2022.
Menurutnya, pengurusan penyaluran peruntukan adalah kurang memuaskan berikutan KPKM tidak menyemak baki peruntukan di LPP sebelum penyaluran peruntukan tahunan dibuat manakala baki peruntukan bagi program ‘Entry Point Project’ (EPP) 11 yang ditamatkan tidak dikembalikan agensi terbabit.
“Ia menyebabkan LPP masih mempunyai baki terkumpul yang tidak dibelanjakan secara optimum bagi membantu golongan sasar mengurangkan kos pengeluaran padi.
“Semakan audit mendapati sejumlah RM3.673 bilion disalurkan KPKM kepada LPP bagi tempoh tahun 2019 hingga 2022 untuk pelaksanaan pelbagai skim bantuan subsidi dan insentif penanaman padi.
“Laporan prestasi tuntutan pembekal bagi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan Insentif Benih Padi Sah (IBPS), mendapati jumlah perbelanjaan LPP bagi tempoh itu adalah sebanyak RM3.224 bilion dengan baki peruntukan terkumpul berjumlah RM448.87 juta,” katanya.
Pada masa sama, rumusan LKAN 2022 mendapati pencapaian program penanaman padi adalah tidak memuaskan dengan sasaran hasil pengeluaran padi dan produktiviti padi bagi setiap hektar tidak tercapai.
Selain itu, katanya pencapaian objektif dan keberhasilan bagi pengeluaran beras dan Kadar Sara Diri (SSL) beras serta pendapatan pesawah juga tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Pengurusan program juga tidak memuaskan kerana terdapat kawasan penanaman padi masih belum diwartakan menyebabkan penyusutan kawasan penanaman padi di empat kawasan jelapang.
“Selain itu, bekalan benih padi asas yang tidak mencukupi membuka ruang kepada penggunaan benih padi yang tidak diiktiraf Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), kelewatan penghantaran baja kepada pesawah serta kebergantungan kepada perkhidmatan jentera pihak swasta,” katanya.
Menurut LKAN 2022, penyelenggaraan pengairan dan saliran juga tidak dapat dilaksanakan mengikut perancangan disebabkan kekangan peruntukan dan memberi kesan kepada produktiviti padi.
KPKM juga didapati tidak menjaga kepentingan kerajaan apabila meluluskan secara keseluruhan pengecualian denda kelewatan penghantaran baja berjumlah RM211.27 juta kepada pihak pembekal.
Selain itu, katanya terdapat kelemahan dalam pemantauan baki peruntukan yang berada di LPP dan agensi yang terbabit dengan program EPP 11.
Dalam perkembangan sama, audit mengesyorkan antaranya supaya KPKM mewujudkan pangkalan data bersepadu dan menyeluruh membabitkan maklumat berkaitan pesawah.
Selain itu, pangkalan data itu juga perlu membabitkan pihak dalam rantaian pengeluaran padi seperti pengilang, pemborong dan peruncit, keluasan kawasan penanaman padi, hasil pengeluaran padi dan beras, pendapatan pesawah serta maklumat lain yang berkaitan.
“Maklumat yang komprehensif ini adalah bagi memastikan pemantauan dan pengurusan berkaitan industri padi dan beras dapat dijalankan secara sistematik, cekap dan berkesan.
“Mengkaji semula setiap kontrak yang terlibat di dalam industri padi dan beras supaya ia bersifat melindungi serta tidak merugikan kerajaan,” katanya.
Sumber: Berita Harian