Terkini
Mentega Terbang: Filem menyentuh sensitiviti secara berlebihan menyusahkan pengkarya lain – Karyawan
Filem menyentuh isu sensitif masyarakat, jika tidak diadun dan dipersembahkan dengan bijak, sebenarnya menyusahkan pengkarya lain.
- Filem-filem indie (bebas) yang lain akan turut terjejas apabila terdapat salah satu daripadanya yang mencetuskan kontroversi
- “Dalam masa terdekat ni, kalau ada filem yang berbaur seperti ini, automatik akan di banned. Benda ni analogi macam mana yang kita pernah lalui dahulu.
- “Walaupun kita ada idea yang eccentric, idea yang brilliant, idea yang idealist, kita kena faham yang ada area yang boleh dilanggar dan ada area yang tak boleh langgar”. – Pengurus Persatuan Karyawan Malaysia, Ahmad Abdullah.
Filem menyentuh isu sensitif masyarakat, jika tidak diadun dan dipersembahkan dengan bijak, sebenarnya menyusahkan pengkarya lain.
Demikian pendapat Pengurus Persatuan Karyawan Malaysia, Ahmad Abdullah mengulas isu filem ‘Mentega Terbang’ yang dikritik kerana dilihat mempersenda agama, terutama agama Islam.
Ahmad menjelaskan bagaimana karya-karya indie (karya bebas) lain akan turut terjejas apabila salah satunya menimbulkan kontroversi.
“Dalam masa terdekat ni, kalau ada filem yang berbaur seperti ini, automatik akan di banned. Benda ni analogi macam mana yang kita pernah lalui dahulu.
“Untuk orang lain yang buat filem berunsur socio-critic ni juga akan terkesan. Orang lain mungkin sentuh sedikit sahaja, tak sehingga tahap itu. Tapi penonton akan label filem-filem yang lain itu sama.
“Ia menyusahkan orang lain yang ada socio-critic di dalam filem tetapi minimum. Tapi bila ada satu kes yang besar ni, ia membuatkan penonton jadi particular,” kata Ahmad ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Beliau berkata kontroversi filem Mentega Terbang sepatutnya menjadi pengajaran kepada pembikin filem yang lain agar tidak menghasilkan karya terlalu ekstrim bagi skala penonton Malaysia.
“Berkaryalah apa-apa idea, tapi dalam masa yang sama kita kena sedar yang kita berkongsi karya kita dengan masyarakat.
“Walaupun kita ada idea yang eccentric, idea yang brilliant, idea yang idealist, kita kena faham yang ada area yang boleh dilanggar dan ada area yang tak boleh langgar.
“Sebenarnya mereka (pembikin filem) tahu apa yang mereka buat dan mereka tahu akan jadi macam ni,” katanya.
Ahmad beranggapan pembikin filem perlu menerima dengan hati terbuka jika hasil karya mereka disekat pihak berkuasa, apatah lagi jika karya itu mampu mempengaruhi pemikiran awam yang belum cukup matang untuk memahaminya
“Mungkin kamu (pembikin filem) ada satu fahaman yang berlainan sikit dari orang lain. Tapi bila kamu nak ketengahkan perkara itu kepada masyarakat dan ianya di banned, itu salah kamu sendiri lah,” katanya.
Sebagai seorang penggiat seni bebas, Ahmad bagaimanapun merasakan tindakan menyekat karya ibarat membunuh kreativiti seseorang.
Namun dia bersetuju jika karya yang tidak wajar dan melampau perlu dipantau pihak kerajaan.
“Saya sokong jika kerajaan memantau apa-apa penerbitan yang improper dan melampau.
“Berat rasanya bila nak sekat karya orang. Karya itu ibarat kata hati seseorang. Tapi bila kata hati itu menyebabkan aftermath kepada orang lain, maka sekat sahaja lah. Disebabkan karya kamu seorang, karya undeground dan indie movie orang lain dah jadi satu isu,” katanya.
Ahmad berkata orang ramai akan memandang rendah terhadap bidang kreatif apabila timbul sesuatu kontroversi yang tidak sepatutnya berlaku.
Lebih memburukkan keadaan apabila ia menjejaskan minat anak-anak muda yang ingin menceburi bidang ini, kata pengkarya itu melahirkan kebimbangannya.
Filem Mentega Terbang arahan Khairi Anwar mencetuskan kontroversi sejak ia mula ditayangkan menerusi platform penstriman Viu pada 19 Januari lalu selepas dua tahun ditayangkan secara terhad.
Ia mengisahkan tentang Aisyah berusia 16 tahun yang mengkaji kitab suci pelbagai agama untuk mencari jawapan mengenai kehidupan selepas mati.
Antara kandungannya yang mencetuskan kritikan ialah apabila terdapat unsur mempercayai kelahiran semula yang menjadi kepercayaan agama lain, seorang ayah yang menerima jika anaknya memilih untuk murtad dan seorang Islam yang membandingkan pengharaman babi dalam Islam dengan pengharaman daging lembu dalam ajaran Hindu.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman semalam di Dewan Rakyat dilapor meminta filem itu diharamkan Kementerian Komunikasi dan Digital, walaupun ia sudah dialih keluar dari platform Viu pada hari yang sama. – The Merdeka Times