Terkini
Pengikut ‘Si Hulk’ cuba ke New Zealand jumpa pengasas
Seorang lelaki disyaki pengikut ajaran sesat Suhaini Bin Mohammad atau ‘Si Hulk’ ditahan di rumahnya di Jasin di sini, selepas dipercayai cuba bergabung dengan pengasas kumpulan itu di New Zealand.
- Seorang lelaki disyaki pengikut ajaran sesat Suhaini Bin Mohammad atau ‘Si Hulk’ ditahan di rumahnya di Jasin, selepas dipercayai cuba bergabung dengan pengasas kumpulan itu di New Zealand.
- Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan bersama isteri dan tiga anak mereka, oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) turut merampas risalah ajaran sesat.
- Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata, penahanan dibuat hasil siasatan berterusan JAIM.
- Selepas tular video di media sosial pada 20 Mac lalu mengenai dua lelaki Islam membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dengan mendakwa Baginda sebagai Allah.
MELAKA: Seorang lelaki disyaki pengikut ajaran sesat Suhaini Bin Mohammad atau ‘Si Hulk’ ditahan di rumahnya di Jasin di sini, selepas dipercayai cuba bergabung dengan pengasas kumpulan itu di New Zealand.
Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan bersama isteri dan tiga anak mereka kira-kira jam 8.30 malam Ahad lalu, oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang turut merampas risalah ajaran sesat.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata, penahanan dibuat hasil siasatan berterusan JAIM.
Katanya, ia selepas tular video di media sosial pada 20 Mac lalu mengenai dua lelaki Islam membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dengan mendakwa Baginda sebagai Allah.
“Soal siasat awal mendapati, lelaki itu mengaku sepatutnya berangkat ke New Zealand bersama isteri dan tiga anak pada Selasa lalu untuk bersama pengasas ajaran sesat itu dan ahli kumpulan yang sudah berada di sana.
“Malah, lelaki berasal dari Jasin itu sanggup berhenti kerja untuk berhijrah dan mencari pekerjaan baharu di New Zealand.
“Sebaik tular video berkenaan, JAIM membuka kertas siasatan terhadap kumpulan ini dan dipercayai ada lagi individu dari negeri lain akan berhijrah ke sana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Guru peringkat JAIM di sini, hari ini.
Rahmad berkata, penahanan itu menunjukkan ajaran sesat Si Hulk masih mempunyai pengikut yang sanggup meninggalkan tanah air untuk berhijrah semata-mata mahu mengikut pengasas kumpulan itu yang juga pengusaha minuman kesihatan.
“Ajaran sesat ini bermula tahun lalu dan mempunyai antara 10 hingga 20 pengikut di Melaka.
“Kumpulan ini tiada markas khusus dan sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat lain.
“Ia susulan fahaman Suhaini Bin Mohamad diputuskan sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam berasaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Berikutan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Melaka pada 30 Mei lalu itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhenti mengikuti ajaran sesat itu dan merujuk JAIM jika berlaku kekeliruan.
Katanya, umat Islam yang terbabit menyebar ajaran sesat boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu Seksyen 60 (Ajaran Salah), Seksyen 61 (Mempermainkan Ayat Quran atau Hadis), Seksyen 62 (Mempersendakan Agama Islam) dan Seksyen 63 (Menghina Agama Islam).
Sumber: Berita Harian