Terkini
Umat Islam perlu pertahan institusi masjid daripada jadi gelanggang politik – Agong
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar umat Islam terus mempertahankan institusi masjid daripada menjadi gelanggang politik mana-mana pihak.
- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar umat Islam terus mempertahankan institusi masjid daripada menjadi gelanggang politik mana-mana pihak.
- Seri Paduka bertitah masjid perlu menjadi satu institusi yang cukup suci, mulia dan dihormati sekali gus menjadi contoh kepada agama-agama lain.
- “Kita tak mahu adanya institusi masjid ini tempat kita berpecah belah… Nauzubillah. Kita semua harus menentukan keharmonian masjid ini dipelihara oleh kita umat Islam, bukan pemimpin semata-mata tetapi kariah masjid berkenaan.
- “Saya akan sentiasa ingatkan khususnya di Pahang masjid tak boleh dicampuri unsur-unsur politik waima siapa sekali pun,” titah baginda pada majlis Pemasyhuran Masjid Ar-Razzaq dan Majlis Berbuka Puasa di Bachang di sini pada Rabu.
MELAKA — Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar umat Islam terus mempertahankan institusi masjid daripada menjadi gelanggang politik mana-mana pihak.
Seri Paduka bertitah masjid perlu menjadi satu institusi yang cukup suci, mulia dan dihormati sekali gus menjadi contoh kepada agama-agama lain.
“Kita tak mahu adanya institusi masjid ini tempat kita berpecah belah… Nauzubillah. Kita semua harus menentukan keharmonian masjid ini dipelihara oleh kita umat Islam, bukan pemimpin semata-mata tetapi kariah masjid berkenaan.
“Saya akan sentiasa ingatkan khususnya di Pahang masjid tak boleh dicampuri unsur-unsur politik waima siapa sekali pun,” titah baginda pada majlis Pemasyhuran Masjid Ar-Razzaq dan Majlis Berbuka Puasa di Bachang, di sini, semalam.
Hadir sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan turut diiringi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengucapkan tahniah Atas pelantikan Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menguruskan lawatan Seri Paduka ke negeri berkenaan sebelum ini.
“Semalam saya mengucapkan terima kasih di atas setiap persiapan (untuk menyambut keberangkatan tiba). Saya menghargai usaha dicurahkan Sulaiman.
“Semalam begitu besar erti kepada saya dan keluarga dapat hadir (ke Melaka). Kali ketiga sejak 2019. Dalam masa tiga, empat tahun ini saya dapat kenal tiga Ketua Menteri seperti mana saya berpengalaman di Kuala Lumpur dengan empat Perdana Menteri.
“Ini adalah satu sejarah bagi saya dan keluarga dan sudah tentu ini akan tercatit dalam sanubari dan ingatan saya selepas saya pulang ke Pahang nanti,” titah Seri Paduka.
Pada majlis berkenaan, Seri Paduka berkenan menandatangani plak pemasyhuran masjid itu serta mengurniakan sumbangan kepada 100 penerima.
Seri Paduka berdua juga berkenan solat Maghrib berjemaah bersama rakyat jelata.
Terdahulu, Seri Paduka berdua berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam dengan pesawat khas pada jam 11.56 pagi bagi memulakan lawatan dua hari ke Melaka.
Seri Paduka berdua kemudiannya berkenan melawat Bazar Ramadan Peringgit pada jam 4.45 petang semalam.
Hari ini, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual menerima mengadap ahli-ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).