Terkini
(VIDEO) Cabaran Kerajaan Madani tambah baik kualiti sekolah kebangsaan – Pensyarah
KUALA LUMPUR — Cabaran Kerajaan Madani hari ini adalah untuk memastikan sekolah kebangsaan mempunyai tahap kualiti baik yang bukan sahaja berupaya menarik pelajar Bumiputera, tapi juga pelajar pelbagai kaum, termasuk Cina dan India.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad berkata kerajaan perlu menjadikan sekolah kebangsaan itu sebagai sekolah Malaysia yang sebenar-benarnya.
Beliau berkata usaha untuk merealisasikan perkara itu adalah antara cabaran besar dihadapi kerajaan hari ini.
“Saya harap satu hari nanti, sekolah-sekolah kebangsaan kita mendapat dana-dana, tajaan-tajaan daripada semua syarikat yang ada di negara kita tanpa mengira syarikat itu milik siapa (sama ada) milik Bumiputera ataupun (bukan Bumiputera)… mereka bersedia untuk belajar di sekolah-sekolah kebangsaan, (menyediakan) kemudahan-kemudahan sebaiknya.
“Itu benar-benar menjadikan sekolah kita satu Malaysia,” katanya menerusi program Analisis bersama Finaz Yunus bertajuk ‘Prestasi 2 tahun Kerajaan Madani, corot @ cemerlang?’ yang bersiaran di Youtube The Merdeka Times di sini pada Isnin.
Program terbitan Studio Merdeka itu turut menampilkan Dekan Institut Pengajian Siswazah, Malaysia University of Science and Technology (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dan Ketua Penerangan Pemuda MCA Nasional, Neow Choo Seong.
Mengulas lanjut, Anuar berkata kebimbangan beliau terhadap sistem pendidikan kebangsaan adalah berkenaan kepercayaan masyarakat kepada kepimpinan pendidikan sama ada tindakan segera boleh diambil atau tidak untuk mengembalikan sistem pendidikan kebangsaan kepada aras lebih baik.
“Kerana ibu bapa tidak boleh menunggu bertahun-tahun untuk melihat anak mereka tidak boleh membaca, tidak boleh menulis, tidak ada bahan-bahan pembelajaran yang baik di sekolah, keadaan sekolah yang daif dan sebagainya.
“Jadi, sejauh mana tindakan kerajaan pada waktu ini menunjukkan bahawa komitmen yang diberikan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dari segi bajet yang besar dan semua itu telah dilaksanakan… Itu yang saya mahu lihat.
“Itu yang masyarakat sekarang ini (mahu lihat), mereka tidak mempertikaikan apa yang sedang berlaku dari segi peruntukan… Semua saya rasa gembira dengan peruntukkan untuk diberikan.
“Tetapi ramai yang berkata… jadi bagaimana dengan keadaan di sekolah? Bagaimana dengan guru-guru yang tidak mencukupi? Bagaimana dengan keadaan kemudahan internet dan sebagainya? Jadi, ibu bapa mahu perkara pelaksanaan, bukan lagi soal-soal yang merancang dan sebagainya itu,” katanya.
Anuar berkata ketika ini semuanya bergantung di peringkat pelaksanaan tentang bagaimana mereka ingin menyakinkan rakyat bahawa tindakan sedang dilakukan, memandangkan Anwar telah melaksanakan tugasnya dengan menyediakan peruntukan yang besar.
Beliau berkata sistem penyampaian Kementerian Pendidikan (KPM) kepada rakyat juga perlu lebih efisien, termasuk berkongsikan perkembangan usaha dilakukan untuk menambah baik sistem pendidikan negara ini.
“Misalnya hari ini, tahun 2023, kita buat 11 sekolah baru. Sampai hari ini, kalau kita tanya berapa daripada 11 buah sekolah itu sudah dah siap? Berapa yang sedang dalam pembinaan? Tahun 2024, ada 26 sekolah baru yang dibina. Berapa yang dah dah dibuat, dah diratakan tanah ataupun dinaikkan tiang sebagainya?
“Jadi, saya rasa hubungan komunikasi, sistem penyampaian kementerian kepada rakyat itu kena lebih efisien… Saya rasa semua kementerian pun harus menunjukkan komitmen yang telah diberikan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri itu mesti diterjemahkan supaya rakyat nampak.
“Yang sebut dua tahun ini, kita tak boleh lihat pencapaian akhir. Tetapi… progress. Apa yang telah berlaku dalam tempoh dua tahun ini? Itu yang saya rasa perlu dilakukan,” kata Anuar. — The Merdeka Times