Connect with us

Terkini

Naikkan hukuman penjara 20 tahun pemandu mabuk sebabkan kematian

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong
  • Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) perlu dilakukan sekiranya hukuman dikenakan terhadap pesalah iaitu penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000 masih tidak meninggalkan sebarang kesan kepada orang ramai.
  • Choo Seong berkata dengan mengenakan hukuman penjara minima 15 tahun dan maksima 20 tahun, ia mungkin dapat memberi kesedaran kepada masyarakat.
  • Pemuda MCA juga bersedia untuk menghulurkan khidmat bantuan guaman kepada mana-mana mangsa atau keluarga mangsa yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu mabuk, termasuk dalam kejadian terbaru membabitkan suami isteri di Pasir Gudang, Johor, Sabtu lalu.
  • “Lebih menyayat hati, lima orang anak pasangan suami isteri tersebut kini bergelar yatim piatu sekelip mata. Justeru, persepsi awam yang merasakan kerajaan tidak serius menangani isu membabitkan pemandu mabuk ini wajar ditangani sebaik mungkin,” katanya menerusi hantaran di Facebook MCA hari ini.

KUALA LUMPUR —  Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) disarankan supaya meningkatkan hukuman penjara terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian kepada maksima 20 tahun dengan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata pindaan itu perlu dilakukan sekiranya hukuman dikenakan terhadap pesalah iaitu penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000 masih tidak meninggalkan sebarang kesan kepada orang ramai.

Choo Seong berkata dengan mengenakan hukuman penjara minima 15 tahun dan maksima 20 tahun, ia mungkin dapat memberi kesedaran kepada masyarakat.

Pemuda MCA juga menyatakan kesediaan untuk menghulurkan khidmat bantuan guaman kepada mana-mana mangsa atau keluarga mangsa yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu mabuk, termasuk dalam kejadian terbaru membabitkan suami isteri di Pasir Gudang, Johor, Sabtu lalu.

“Ini termasuk kes kemalangan terbaru yang mengorbankan sepasang suami isteri setelah motosikal dinaiki mereka dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta dipercayai dipandu seseorang yang di bawah pengaruh alkohol.

“Lebih menyayat hati, lima orang anak pasangan suami isteri tersebut kini bergelar yatim piatu sekelip mata. Justeru, persepsi awam yang merasakan kerajaan tidak serius menangani isu membabitkan pemandu mabuk ini wajar ditangani sebaik mungkin.

“Sebelum ini, di bawah menteri terdahulu, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) telah dipinda bagi tujuan memperketat dan mempertingkatkan hukuman terhadap mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah atau memandu secara melulu dan merbahaya.

“Sehubungan itu, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan Malaysia seharusnya meneruskan usaha terdahulu bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan jalan raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook MCA di sini hari ini.

 

Foto: Tangkap layar kenyataan Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong di muat naik di Facebook MCA.

Dalam insiden 4 pagi itu, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, maut di lokasi kejadian selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta dipandu suspek di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid, Pasir Gudang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata pemandu kereta Perodua Alza berkenaan ditahan kerana dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan.

Kemalangan itu menyebabkan lima anak pasangan terbabit yang masing-masing berusia 17, 15, 14, 12 dan tiga tahun menjadi yatim piatu.

Choo Seong turut memetik laporan media yang menyatakan dari Januari hingga Mei 2024, terdapat sembilan kemalangan maut direkodkan akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol, sekali gus menuntut tindakan proaktif dan tegas supaya insiden sama tidak berulang.

“Maka itu, pentingnya tindakan proaktif dan tegas agar kejadian sama tidak berulang, seterusnya dapat menyelamatkan nyawa manusia yang tidak berdosa.

“Pemuda MCA juga mengalu-alukan usaha MOT yang memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran keselamatan jalan raya melalui program komuniti seperti Klinik Penunggangan Selamat, khususnya untuk penunggang motosikal, kerana mereka menyumbang kepada 68% kematian dalam kemalangan jalan raya tahun ini. 

“Namun, dalam masa sama MOT haruslah meningkatkan promosi berkenaan kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol, dadah dan pemanduan secara melulu atau merbahaya.

“Pemuda MCA berharap Akta 333 yang telah dipinda pada tahun 2020 lalu dan diwartakan bagi meningkatkan hukuman terhadap pesalah dapat dimanfaatkan sebaiknya,” katanya. — The Merdeka Times

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *