Terkini
Ragbi Malaysia digegarkan 4 kematian dalam 45 hari
- Gesaan itu dibuat portal penulisan sukan bebas, NZB Sports Malaysia susulan insiden terbaru yang meragut nyawa Allahyarham Muhammad Raiyan Nufael Mohd Aswandi, pelajar dan pemain ragbi akar umbi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas yang mewakili Akademi Ragbi Melaka (AKRAM).
- Portal itu turut berpandangan empat kematian melibatkan pemain ragbi dalam tempoh yang begitu singkat tidak boleh dianggap sekadar satu kebetulan.
- “Ketika ini, suara pucuk pimpinan tertinggi daripada badan induk sukan ragbi amat ditagih bagi menjernihkan keadaan dan memulihkan keyakinan semua pihak, selain menunjukkan komitmen yang tinggi serta serius untuk menangani isu besar ini,” menurut kenyataan itu.
KUALA LUMPUR– Portal penulisan sukan bebas, NZB Sports Malaysia menggesa kepimpinan tertinggi badan induk ragbi negara tampil memberikan penjelasan berhubung empat kes kematian melibatkan pemain ragbi dalam tempoh kira-kira 45 hari, sekaligus memulihkan keyakinan komuniti terhadap aspek keselamatan sukan itu.
Gesaan itu dibuat susulan insiden terbaru yang meragut nyawa Allahyarham Muhammad Raiyan Nufael Mohd Aswandi, pelajar dan pemain ragbi akar umbi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas yang mewakili Akademi Ragbi Melaka (AKRAM).
Menurut NZB Sports Malaysia, Allahyarham dilaporkan rebah dan mengalami sesak nafas selepas menjalani sesi latihan sebelum disahkan meninggal dunia pada petang semalam.
Portal itu bagaimanapun menegaskan bahawa mereka tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan berhubung kes berkenaan, namun berpandangan empat kematian melibatkan pemain ragbi dalam tempoh yang begitu singkat tidak boleh dianggap sekadar satu kebetulan.
Sehubungan itu, NZB Sports Malaysia menggesa semua pihak berkepentingan dalam sukan ragbi supaya duduk semeja bagi membincangkan secara menyeluruh pelaksanaan protokol keselamatan sukan berkenaan, termasuk dari aspek persediaan perubatan, pengurusan latihan serta perlindungan pemain di semua peringkat.
Menurut portal itu lagi, sehingga kini masih belum kelihatan satu kenyataan rasmi yang menyeluruh kepada orang ramai daripada badan induk ragbi negara berhubung siri tragedi yang berlaku sebelum ini, sekaligus membuka ruang kepada pelbagai spekulasi tanpa penjelasan yang jelas.
“Ketika ini, suara pucuk pimpinan tertinggi daripada badan induk sukan ragbi amat ditagih bagi menjernihkan keadaan dan memulihkan keyakinan semua pihak, selain menunjukkan komitmen yang tinggi serta serius untuk menangani isu besar ini,” menurut kenyataan itu.
NZB Sports Malaysia turut mengakui bahawa setiap kejadian adalah ketentuan Tuhan, namun menegaskan semua pihak tetap mempunyai tanggungjawab untuk bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing.
“Benar, semua yang terjadi adalah ketentuan Tuhan, namun semua pihak masih perlu bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing bagi mengelakkan sebarang tragedi yang tidak diingini berlaku sekali lagi. Al – Fatihah untuk semua. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” tambah kenyataan itu lagi.-The Merdeka Times