Connect with us

Terkini

KPKT peruntuk RM200 juta selenggara RIBI sejak 2023 – Nga

Published

on

Foto: Menterinya Nga Kor Ming.
  • Menterinya Nga Kor Ming berkata inisiatif itu meliputi kerja-kerja penyelenggaraan gereja, gurdwara, kuil Hindu, tokong dan juga persatuan lain, yang menjadi bukti nyata komitmen kerajaan MADANI berlaku adil kepada semua lapisan masyarakat.
  • Beliau berkata setakat ini, sebanyak 1,478 permohonan telah diterima melalui Sistem e-RIBI dengan nilai keseluruhan melebihi RM279 juta, sekali gus mencerminkan keperluan berterusan komuniti terhadap penyelenggaraan dan penambahbaikan premis keagamaan terbabit.

KLUANG — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperuntukkan RM200 juta bagi melaksanakan Inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di seluruh negara untuk tempoh empat tahun sejak 2023.

Menterinya Nga Kor Ming berkata inisiatif itu meliputi kerja-kerja penyelenggaraan gereja, gurdwara, kuil Hindu, tokong dan juga persatuan lain, yang menjadi bukti nyata komitmen kerajaan MADANI berlaku adil kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 1,478 permohonan telah diterima melalui Sistem e-RIBI dengan nilai keseluruhan melebihi RM279 juta, sekali gus mencerminkan keperluan berterusan komuniti terhadap penyelenggaraan dan penambahbaikan premis keagamaan terbabit.

“Dengan semangat tiada yang tertinggal, tiada yang terpinggir, kita mahu pastikan supaya dalam usaha kita membina semula negara kita (tidak kira) Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan-Dusun, kita sebagai sebuah keluarga bersifat penyayang, saling hormat-menghormati, saling sayang-menyayangi.

“Apabila ada pihak yang cuba membina tembok, kita bina jambatan. Ada pihak yang memupuk perpecahan, kita memupuk perpaduan. Ini adalah mesej yang penting supaya kita kekalkan kestabilan negara kita supaya ringgit boleh terus mengukuh, pelabur boleh masuk, dan peluang pekerjaan dapat diwujud demi manfaat kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Peruntukan Inisiatif Penyelenggaraan RIBI Negeri Johor di Persatuan Memperbaiki Akhlak Che Luan Khor, di sini sempena siri jelajah Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 Tahun 2026 di negeri ini.

Pada majlis itu, Nga turut mengumumkan penyaluran peruntukan berjumlah RM3.14 juta khusus bagi memanfaatkan 27 RIBI di Johor bagi tahun ini demi memastikan keselesaan dan keselamatan institusi tersebut.

Peruntukan yang disalurkan itu, katanya akan dimanfaatkan bagi melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian, penyelenggaraan, pembinaan baharu serta pembaikan keemasan RIBI di seluruh Johor bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat terus berfungsi dengan baik demi manfaat masyarakat.

“Kerajaan MADANI tidak melihat pembangunan melalui lensa kaum atau agama semata-mata, sebaliknya memastikan setiap komuniti mendapat manfaat secara adil dan saksama demi memperkukuh perpaduan negara.

Kepelbagaian yang menjadi identiti Malaysia perlu terus dipelihara dan diraikan sebagai kekuatan yang menyatukan rakyat,” katanya.

Bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan inisiatif itu, beliau berkata KPKT akan terus memantau setiap projek yang diluluskan secara profesional, cekap dan telus agar peruntukan kerajaan disalurkan kepada organisasi yang benar-benar layak.

Dalam pada itu, Nga memaklumkan Johor telah menerima peruntukan keseluruhan bernilai RM18.75 juta sejak 2023 hingga 20 Mei lepas yang memberikan manfaat langsung kepada 154 RIBI.– BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author