Connect with us

Terkini

Agong mahu perhatian dan peruntukan saksama di semua negeri, kawal penghijrahan ke ibu kota

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan harapan agar perhatian dan peruntukan dibahagikan secara saksama kepada semua bandar di 13 negeri seluruh Malaysia.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
  • Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan harapan agar perhatian dan peruntukan dibahagikan secara saksama kepada semua bandar di 13 negeri seluruh Malaysia.
  • “Pembangunan ekonomi di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah membuka banyak peluang pekerjaan dan menyebabkan penghijrahan penduduk dari negeri-negeri lain ke kawasan Wilayah Persekutuan.
  • “Oleh sebab itu kerajaan terpaksa membangunkan infrastruktur awam yang lebih cekap untuk mengatasi kesesakan jalan raya dan memenuhi keperluan penduduk bandar raya ini yang semakin padat.
  • “Persoalannya adakah kerana wilayah ini ditadbir secara terus oleh kerajaan Persekutuan, banyak peruntukan pembangunan ditumpukan kepada tiga wilayah ini sahaja?” titah Seri Paduka Baginda.
  • Baginda bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2024 di Istana Negara di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan harapan agar perhatian dan peruntukan dibahagikan secara saksama kepada semua bandar di 13 negeri seluruh Malaysia.

Seri Paduka Baginda bertitah sekiranya semua negeri dapat dibangunkan bersama, penghijrahan penduduk ke pusat bandar raya dapat dikurangkan dan kesesakan akan lebih terkawal.

“Pembangunan ekonomi di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah membuka banyak peluang pekerjaan dan menyebabkan penghijrahan penduduk dari negeri-negeri lain ke kawasan Wilayah Persekutuan.

“Oleh sebab itu kerajaan terpaksa membangunkan infrastruktur awam yang lebih cekap untuk mengatasi kesesakan jalan raya dan memenuhi keperluan penduduk bandar raya ini yang semakin padat.

“Persoalannya adakah kerana wilayah ini ditadbir secara terus oleh kerajaan Persekutuan, banyak peruntukan pembangunan ditumpukan kepada tiga wilayah ini sahaja?” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2024 di Istana Negara di sini, hari ini.

Turut berangkat pada istiadat itu adalah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Sultan Ibrahim turut menyeru Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar sentiasa memantau kebersihan selain turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak sesuka hati membuang sampah merata-rata.

“Semua orang tahu yang saya suka memandu sendiri kereta saya, jadi saya dapat melihat dengan jelas keadaan jalan raya dan kawasan sekitarnya. Apa yang saya nampak masih ada beberapa tempat di Kuala Lumpur ini yang kebersihannya kurang memuaskan.

“Kerajaan saya bukan kerajaan pungut sampah. Kepada penguat kuasa, jalankanlah tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah,” titah Seri Paduka Baginda.

Pada istiadat berkenaan, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 33 individu, termasuk Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Istiadat itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Bersempena bulan Ramadan, Seri Paduka Baginda turut berpesan kepada seluruh umat Islam di negara ini supaya tidak membazir apabila berbelanja untuk juadah berbuka puasa dan ketika membuat persiapan untuk Hari Raya Aidilfitri kelak.

“Bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam.

“Janganlah membazir kerana pembaziran itu adalah sifat keji yang akan mencacatkan keberkatan dalam bulan Ramadan,” titah Seri Paduka Baginda. — BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending