Connect with us

Terkini

Sosma zalim dan menindas, Gobind sifatkan pendirian Saifuddin bertentangan dengan PH

Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertimbangkan semula pendiriannya terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang menafikan jaminan kepada mereka yang didakwa mengikut undang-undang itu. 

Wartawan TMT

Published

on

Sosma zalim dan menindas, Gobind sifatkan pendirian Saifuddin bertentangan dengan PH
Foto: Gobind Singh Deo(kiri), Saifuddin Nasution Ismail (kanan).
  • Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu melabelkan pendirian Menteri Dalam Negeri bertentangan dengan pendirian PH yang mengakui ia “bermasalah”.
  • “Walaupun terdapat keperluan undang-undang untuk menangani keselamatan negara, kita tidak boleh menafikan hakikat Sosma bersifat menindas,” kata Gobind.
  • PH tidak berjanji bagi mengkaji semula atau memansuhkan Sosma menjelang pilihan raya 19 Nov, begitu juga dengan mana-mana gabungan lain. 
  • “Sudah tentu banyak yang perlu dilakukan untuk menghapuskan aspek zalim Sosma ini,” katanya. 
  • Dia juga membangkitkan keperluan untuk mengkaji semula peruntukan lain Sosma termasuk Seksyen 6, 14, 20, 22, 23, 24 dan 25.

Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertimbangkan semula pendiriannya terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang menafikan jaminan kepada mereka yang didakwa mengikut undang-undang itu. 

Bekas menteri komunikasi dan multimedia itu melabelkan pendirian menteri dalam isu berkenaan sebagai bertentangan dengan pendirian PH yang mengakui ia “bermasalah”. 

“Walaupun kita menerima bahawa terdapat keperluan untuk undang-undang untuk menangani keselamatan negara, kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa Sosma bersifat menindas,” kata Gobind pada hantaran di media sosial hari ini. 

Jelasnya, pada 2019, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan menyifatkan beberapa bahagian Sosma memerlukan pindaan kerana sifatnya yang keras.

Pada Januari 2020, peguam negara ketika itu Tommy Thomas berkata Putrajaya berhasrat untuk meminda Seksyen 13(1) pada Mac tahun itu. 

Bagaimanapun, berlaku pertukaran kerajaan tidak lama kemudian. Dalam sidang media pada 13 Dis, Saifuddin Nasution menyatakan dia tidak berhasrat untuk menyemak semula Sosma. 

Saifuddin menyatakan bahawa undang-undang itu bukanlah undang-undang penahanan tanpa bicara tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1967 (ISA) yang sudah dimansuhkan. 

Dia berhujah bahawa undang-undang itu hanya membenarkan penahanan selama 28 hari dan suspek akan mendapat akses kepada perkhidmatan guaman jika kes itu dibawa ke mahkamah.

Pakatan Harapan tidak berjanji untuk mengkaji semula atau memansuhkan Sosma menjelang pilihan raya 19 Nov, begitu juga dengan mana-mana gabungan lain. 

“Sudah tentu banyak yang perlu dilakukan untuk menghapuskan aspek drakonian Sosma ini. Kami dalam PH konsisten dalam seruan untuk reformasi. 

“Apabila berhadapan dengan perundangan yang bersifat menindas, perbincangan mesti diadakan dan pandangan diambil perlu bergerak ke hadapan selaras dengan desakan kami untuk pembaharuan,” kata Gobind lagi. 

Selanjutnya, ahli parlimen Damansara itu merujuk kepada Seksyen 4 Sosma – yang membenarkan seseorang individu ditahan sehingga 28 hari dan ditahan tanpa akses ke mahkamah.

“Oleh itu, tiada semak dan imbang kuasa pihak berkuasa penyiasat dalam tempoh masa ini. Ini membolehkan penderaan bukan sahaja dalam tangkapan salah tetapi juga semasa menjalankan siasatan yang tidak boleh dibenarkan. 

“Sepatutnya ada proses yang membolehkan seseorang ditahan dibawa ke mahkamah pada masa itu. Inilah sebabnya kami dalam PH mengundi menentang usul yang dibawa oleh menteri dalam negeri sebelum ini untuk melanjutkan Seksyen 4(5) Sosma di parlimen pada 23 Mac,” katanya. 

Gobind juga menekankan bahawa isu-isu lain yang boleh melibatkan masa “bertahun-tahun di mahkamah”. 

“Proses perbicaraan dan rayuan adalah panjang, bermakna tertuduh dalam kes seperti ini akan ditahan dalam tempoh yang tidak ditentukan walaupun selepas pembebasan, suatu yang pastinya keras dan menindas.

“Sudah tentu banyak yang perlu dilakukan untuk menghapuskan aspek zalim Sosma ini,” katanya. 

Dia juga membangkitkan keperluan untuk mengkaji semula peruntukan lain Sosma. 

Ini termasuk Seksyen 6 (peruntukan untuk memintas komunikasi), Seksyen 14 (mengambil keterangan saksi dalam cara yang tidak dilihat atau didengar oleh tertuduh atau peguam mereka), serta Seksyen 20, 22, 23, 24 dan 25 (perjanjian mengenai kebolehterimaan dokumen dan bukti).

Sumber: Malaysiakini

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending