Terkini
Tambah baik SOSMA, tidak perlu kaji semula
Keputusan untuk mengkaji semula peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak akan membawa apa-apa kebaikan dalam menangani ancaman keselamatan.

- Keputusan untuk mengkaji semula Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak membawa kebaikan dalam menangani ancaman keselamatan.
- Ketua Penerangan PN Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, selama ini akta itu berjaya membendung aktiviti gengsterisme dan elemen keganasan di negara ini.
- Menurutnya, pihak PDRM berjaya menggunakan akta ini untuk membendung aktiviti yang mengancam negara, membanteras kumpulan kongsi gelap dan berjaya mengekang pemerdagangan orang dan penyeludupan migrain.
- Mahathir juga berharap SOSMA ditambah baik bukan dilonggarkan sebagaimana usaha yang pernah dibuat oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
SHAH ALAM – Keputusan untuk mengkaji semula peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak akan membawa apa-apa kebaikan dalam menangani ancaman keselamatan.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, selama ini akta itu berjaya membendung aktiviti gengsterisme dan elemen keganasan di negara ini.
Menurutnya, malah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menggunakan akta itu untuk membendung aktiviti yang mengancam keselamatan negara.
“Ini termasuklah membanteras keganasan terancang (kumpulan kongsi gelap) dan berjaya mengekang pemerdagangan orang dan penyeludupan migrain,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkenaan peruntukan dalam SOSMA bakal dibincangkan dan dikaji semula berikutan terdapat pelbagai aspek dalam peruntukan tersebut menerima kritikan terutama dalam isu mengehadkan pemberian jaminan.
Mahathir berkata, SOSMA sebenarnya perlu ditambah baik bukan dilonggarkan sebagaimana usaha yang pernah dibuat oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengusulkan peruntukan subseksyen 4(5) akta itu perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan bagi memberi ruang masa yang cukup kepada pihak polis melengkapkan siasatan kes-kes kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks.
“Saya berharap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dapat membuat keputusan yang terbaik kerana beliau sebelum ini pernah dua kali menyuarakan untuk tidak meminda akta berkenaan,” katanya.
Jelas Mahathir, tumpuan sebenar terhadap akta berkenaan haruslah berpaksikan bagaimana ia boleh berfungsi untuk menjaga keamanan negara.
“Kita tiada akta yang digeruni dan SOSMA adalah satu-satunya undang-undang yang membolehkan seorang pegawai polis dengan tanpa waran boleh menangkap dan menahan mana-mana pihak yang dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan,” ujarnya.
Saifuddin sebelum ini dilaporkan memberi bayangan akta tersebut tidak akan disemak kembali dan menyatakan individu yang ditahan boleh mengambil khidmat peguam sekiranya dihadapkan ke mahkamah.
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo meminta Saifuddin mempertimbangkan keputusan tersebut kerana ia bertentangan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersetuju dengan mekanisme dalam akta berkenaan.
Sumber : Sinar Harian
Antarabangsa
Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang
Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.

- Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.
- Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan penderaan, termasuk buruh paksa, pengawasan besar-besaran dan menempatkan sejuta atau lebih etnik Uyghur yang kebanyakan Islam dalam rangkaian kem tahanan di Xinjiang.
- Keadaan di Xinjiang ‘sepatutnya memberi amaran kepada dunia mengenai kepimpinan di bawah PKC’.
- Panel Dewan mendengar pengalaman diceritakan seorang wanita Uyghur, Gulbahar Haitiwaji yang berkongsi dia menghadapi penderaan dan pendidikan patriotik yang dipaksa sepanjang berada di dalam kem tersebut.
WASHINGTON: Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.
Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan penderaan, termasuk buruh paksa, pengawasan besar-besaran dan menempatkan sejuta atau lebih etnik Uyghur yang kebanyakan Islam dalam rangkaian kem tahanan di Xinjiang.
Ahli Kongres, Mike Gallagher yang juga Pengerusi Republikan Jawatankuasa Pilihan Dewan Perwakilan mengenai Parti Komunis China (PKC), memberitahu pemberita sebelum perbicaraan, keadaan di Xinjiang ‘sepatutnya memberi amaran kepada dunia mengenai kepimpinan di bawah PKC’.
China bersungguh-sungguh menafikan penderaan di Xinjiang dan berkata, ia menubuhkan ‘pusat latihan vokasional’ untuk membendung keganasan, pemisahan dan radikalisme agama.
Perbicaraan itu adalah yang terbaru dalam siri acara yang dirancang untuk dua tahun akan datang, manakala Republikan yang mengawal Dewan Perwakilan untuk meyakinkan rakyat Amerika, bahawa mereka perlu mengambil berat untuk menyaingi China dan untuk ‘memisahkan secara terpilih’ ekonomi negara.
Panel Dewan mendengar pengalaman yang diceritakan seorang wanita Uyghur, Gulbahar Haitiwaji yang bercakap melalui penterjemah, apa yang dikatakannya selama bertahun-tahun di kem di mana dia menghadapi penderaan dan pendidikan patriotik yang dipaksa.
Etnik Uzbekistan, Qelbinur Sidik yang ditugaskan sebagai guru di kem sedemikian melalui penterjemah, turut menggambarkan keadaan seperti penjara yang menurutnya tahanan menghadapi penyeksaan dan soal siasat.
Kedua-dua wanita itu berjaya melakukan perjalanan ke Eropah dan kini mereka menetap di sana.
Keterangan juga didengar daripada peguam terkemuka Amerika Uyghur, Nury Turkel dan penyelidik Jerman, Adrian Zenz, yang berusaha mendokumentasikan tahap kem tahanan di Xinjiang dan Naomi Kikoler dari Muzium Memorial Holocaust AS.
Jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu, berkata saksi yang dirancang jawatankuasa itu telah ‘mencipta pembohongan berkaitan Xinjiang’ berdasarkan motif politik tersembunyi.
“Kami berharap rakyat Amerika dapat mengenali wajah sebenar pasukan anti-China ini dan tidak terpedaya dengan khabar angin dan pembohongan,” kata Liu sambil menambah, hak asasi manusia semua kumpulan etnik di Xinjiang sudah ‘dilindungi sepenuhnya’.
Kerajaan AS dan parlimen di Britain, Kanada dan negara lain menyifatkan pencegahan kelahiran dan dasar penahanan besar-besaran China di Xinjiang sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu menyatakan China mungkin sudah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan di rantau itu.
Jawatankuasa dwipartisan tidak akan menulis undang-undang tetapi akan membuat cadangan dasar, pada garis masa keras terhadap China adalah salah satu daripada beberapa dasar dengan sokongan dwipartisan dalam Kongres AS yang sangat berpecah belah.
Kikoler dari muzium holocaust berkata, kerajaan China menggunakan taktik halus untuk ‘memusnahkan orang Uyghur dengan sengaja’ termasuk pengawasan dan penahanan besar-besaran, penyeksaan, pemindahan kanak-kanak dan mengehadkan kelahiran.
Zenz berkata, walaupun kerajaan China mengatakan pihaknya menutup kem di Xinjiang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun ia adalah pusat ‘pendidikan semula’ keselamatan rendah, selain ada perluasan serentak penjara dengan keselamatan lebih tinggi atau kemudahan buruh paksa.
“Kita boleh mengandaikan ratusan ribu sudah dipindahkan ke kemudahan ini, yang telah diperluaskan secara dramatik,” katanya sambil menyatakan terdapat tanda-tanda tahanan beramai-ramai memuncak pada 2018. – REUTERS
Sumber: Berita Harian
-
Antarabangsa2 days ago
10 hakim berdepan hukuman mati di Arab Saudi
-
Terkini2 days ago
Larangan ke gereja adalah manifestasi disiplin Islam
-
Antarabangsa2 days ago
Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang
-
Antarabangsa2 days ago
Peguam nafi Zakir Naik diusir dari Oman