Connect with us

Terkini

AirAsia Filipina berisiko henti operasi jika gagal lunas hutang RM21 juta

Published

on

Foto: AirAsia Philippines.
  • Menurut surat perintah henti operasi dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP), AirAsia masih berhutang 271.94 juta peso (RM21.7 juta) setakat 20 Mei, walaupun syarikat berkenaan telah membuat beberapa bayaran sejak beberapa bulan lalu.
  • “Sehingga tarikh perintah ini dikeluarkan, CAAP masih belum menerima sebarang pembayaran, cadangan penyelesaian yang boleh diterima atau sebarang pengaturan memuaskan yang membolehkan tindakan penguatkuasaan ditangguhkan,” jelas surat itu.

MANILA – AirAsia Philippines, syarikat penerbangan domestik yang disokong taikun Malaysia, Tony Fernandes, mempunyai tempoh tiga hari untuk mengelakkan kemungkinan operasi mereka dihentikan selepas gagal memenuhi tarikh akhir pembayaran pada 29 Mei lalu, sekali gus mendorong pihak pengawal selia penerbangan mengeluarkan perintah henti operasi (cease-and-desist order) terhadap syarikat itu.

Perintah bertarikh 2 Jun yang ditujukan kepada Presiden syarikat penerbangan tersebut, Anna Lu, akan menghalang syarikat tambang rendah itu daripada beroperasi di lapangan terbang yang dikawal dan ditadbir Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) sekiranya baki tunggakan mereka masih belum dijelaskan.

Menurut perintah itu, AirAsia masih berhutang sebanyak 271.94 juta peso (RM21.7 juta) setakat 20 Mei, walaupun syarikat berkenaan telah membuat beberapa bayaran sejak beberapa bulan lalu yang berjaya mengurangkan liabiliti daripada 833.7 juta peso (RM66.6 juta) seperti yang dinyatakan dalam surat tuntutan akhir CAAP.

“Sehingga tarikh perintah ini dikeluarkan, CAAP masih belum menerima sebarang pembayaran, cadangan penyelesaian yang boleh diterima atau sebarang pengaturan memuaskan yang membolehkan tindakan penguatkuasaan ditangguhkan. 

“Oleh itu, pengendali tersebut masih gagal memenuhi obligasi kewangannya kepada kerajaan,” menurut sebahagian kandungan surat berkenaan yang dilaporkan InsiderPH.

Hutang AirAsia Philippines merangkumi caj navigasi udara yang belum dibayar, yuran pendaratan dan parkir pesawat, caj perkhidmatan penumpang serta pelbagai bayaran berkaitan operasi lapangan terbang.

Sebelum ini, syarikat penerbangan itu memberi bayangan bahawa baki hutang tersebut akan dijelaskan dalam minggu ini.

Terdahulu, InsiderPH melaporkan bahawa pihak berkuasa sedang mempertimbangkan pelbagai bentuk sekatan dan menyediakan pelan kecemasan bersama syarikat penerbangan lain bagi membantu penumpang yang terjejas selepas tempoh akhir pembayaran tamat.

Pada 23 Mac lalu, CAAP mengeluarkan surat tuntutan akhir kepada AirAsia Philippines berhubung tunggakan yang meningkat kepada kira-kira 833.7 juta peso, yang turut dilaporkan terlebih dahulu oleh InsiderPH. Namun laporan itu pada awalnya dipandang ringan oleh pihak AirAsia.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, AirAsia Philippines tidak menjawab secara langsung isu obligasi kewangan yang didakwa oleh CAAP, sebaliknya menegaskan bahawa operasi syarikat masih berjalan seperti biasa.

“AirAsia Philippines memberi jaminan kepada orang ramai bahawa syarikat kekal beroperasi sepenuhnya, dengan semua penerbangan dan perkhidmatan diteruskan mengikut jadual di seluruh rangkaian operasi kami, tertakluk kepada pertimbangan operasi biasa seperti cuaca dan faktor standard lain yang mempengaruhi operasi syarikat penerbangan,” menurut kenyataan itu.

CAAP dan pegawai industri penerbangan turut membincangkan langkah-langkah kecemasan bagi mengurangkan gangguan sekiranya perintah tersebut dikuatkuasakan.

Menurut sumber dalaman, perbincangan awal telah diadakan antara CAAP dan beberapa syarikat penerbangan domestik lain bagi mengambil alih perkhidmatan sekiranya AirAsia terpaksa menggantung operasi di lapangan terbang yang terlibat.

Antara cadangan yang dibincangkan ialah meminta syarikat penerbangan utama seperti Cebu Pacific dan Philippine Airlines membantu menampung penumpang AirAsia yang terkandas melalui penerbangan khas.

Kaedah seperti ini lazim digunakan apabila sesebuah syarikat penerbangan menggantung operasi secara mengejut, membolehkan penumpang dipindahkan ke syarikat penerbangan alternatif.

Bagaimanapun, sekiranya arahan itu berkuat kuasa, AirAsia akan kehilangan akses kepada kemudahan lapangan terbang, perkhidmatan, kelulusan operasi serta pelbagai keistimewaan yang berada di bawah bidang kuasa CAAP. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author