Connect with us

Terkini

Calon wanita masih jauh sasaran 30 peratus

Banyak sejarah tercipta pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, antaranya ialah jumlah calon wanita. Berjumlah 187 orang – 127 untuk kerusi Parlimen dan 60 di peringkat Dewan Undangan Negeri -, ia adalah paling ramai dalam sejarah pilihan raya negara setakat ini.

Wartawan TMT

Published

on

Calon wanita masih jauh sasaran 30 peratus
  • 127 kerusi Parlimen dan 60 di peringkat DUN , ia adalah paling ramai dalam sejarah pilihan raya negara setakat ini tetapi peringkat Persekutuan 127 hanya 13.4 peratus daripada 945 calon bertanding merebut kerusi Dewan Rakyat.
  • “Jumlah pemimpin politik wanita yang terlalu kecil itu tidak beri imej elok kepada Malaysia kerana pemimpin politik wanita paling sedikit di Asia Tenggara” kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh.
  • Menurut pakar adalah penting wanita menjadi sebahagian barisan kepimpinan politik, bukan hanya kerana golongan ini mewakili kira-kira 50 peratus pengundi dan populasi Malaysia, tetapi faedah dari segi ekonomi dan masyarakat sekiranya negara mempunyai jumlah pembuat keputusan wanita mencukupi.
  • “Apabila ada kepelbagaian dalam kalangan penggubal dasar kaum lelaki dan wanita  sudah tentu akan wujud perspektif berbeza” kata pensyarah kanan dari Universiti Malaya, Dr Lai Suat Yan.

KUALA LUMPUR – Banyak sejarah tercipta pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, antaranya ialah jumlah calon wanita.

Berjumlah 187 orang – 127 untuk kerusi Parlimen dan 60 di peringkat Dewan Undangan Negeri -, ia adalah paling ramai dalam sejarah pilihan raya negara setakat ini.

Namun, di peringkat Persekutuan, angka 127 itu hanyalah 13.4 peratus daripada keseluruhan 945 calon yang bertanding merebut kerusi Dewan Rakyat.

Jelas, ia jauh daripada sasaran 30 peratus wakil wanita yang dijanjikan oleh pemimpin politik kira-kira sedekad lalu.

Sekalipun jumlah calon wanita bagi kerusi Parlimen lebih ramai kali ini berbanding PRU14 yang hanya merekodkan 72 orang, kumpulan pejuang hak wanita, aktivis serta pemerhati politik kecewa kerana bilangannya tidak sampai 20 peratus.

Gabungan politik yang mencalonkan paling ramai wanita ialah Pakatan Harapan (PH) dengan 40 orang atau 18 peratus, diikuti BN 22 orang atau 11 peratus dan Perikatan Nasional (PN) dengan 16 wanita atau 9.3 peratus.

Keseluruhannya, calon wanita bertanding di 103 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

“Pilihan raya umum kali ini tidak membawa perubahan yang kami harapkan untuk wanita,” kata Dr Zaireeni Azmi, pensyarah kanan di Unit Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), Universiti Sains Malaysia.

Keadaan ini amat mengecewakan kerana pemimpin parti-parti utama berjanji pada 2 Oktober lalu untuk meletakkan calon wanita di 30 peratus daripada kerusi yang ditandingi.

Sasaran 30 peratus itu merujuk kepada peringkat di mana terdapat wakil subkumpulan yang mencukupi, iaitu mencapai jumlah yang diperlukan untuk subkumpulan tersebut menonjol dan mempunyai pengaruh.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh memberitahu Bernama, jumlah pemimpin politik wanita yang terlalu kecil itu tidak memberikan imej yang elok kepada Malaysia.

“Kita antara (yang mempunyai pemimpin politik wanita) paling sedikit di Asia Tenggara dan ini tidak sepatutnya berlaku.

“Kita tidak sepatutnya berada di kedudukan ini kerana kita bukan negara mundur, kita adalah negara membangun dan sedang ke arah negara maju,” katanya.

Malaysia berada di tangga 103 daripada 146 negara dalam Laporan Forum Ekonomi Dunia 2022 dan merupakan antara negara yang mempunyai kadar penyertaan wanita paling rendah di ASEAN selain Brunei dan Myanmar.

Berdasarkan statistik 2022 Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pemerkasaan politik wanita Malaysia hanyalah 10 peratus.

Namun pada masa sama, kaum hawa mengatasi lelaki dari segi pencapaian akademik iaitu 105 peratus, hampir mencapai kesetaraan gender dari segi kesihatan dan survival iaitu 93 peratus, serta kadar penyertaan dan peluang ekonomi yang lebih rendah pada 73 peratus.

Menurut pakar, amat penting bagi wanita menjadi sebahagian daripada barisan kepimpinan politik, bukan hanya kerana golongan ini mewakili kira-kira 50 peratus pengundi dan populasi Malaysia, tetapi faedah dari segi ekonomi dan masyarakat sekiranya negara mempunyai jumlah pembuat keputusan wanita yang mencukupi.

Malah, kaji selidik yang dijalankan oleh firma perundingan antarabangsa McKinsey juga mendapati kerajaan yang mempunyai lebih ramai wanita sebagai pembuat keputusan dapat mengurangkan penyelewengan.

“Apabila ada kepelbagaian dalam kalangan penggubal dasar – kaum lelaki dan wanita – sudah tentu akan wujud perspektif berbeza.

Malah dalam perniagaan sekalipun, mereka mengakui bahawa syarikat yang terangkum didapati berprestasi lebih baik,” kata Dr Lai Suat Yan, pensyarah kanan daripada Rancangan Pengajian Gender, Universiti Malaya.

Tambah beliau, wanita juga mampu mengetengahkan dan memperjuangkan pelbagai isu seperti pendidikan, penjagaan anak, warga emas serta keganasan berasaskan gender, bagi menambah baik masyarakat dan membantu rakyat.

Namun di sebalik laba yang bakal diraih, kemajuan usaha bagi menembusi halangan yang tidak kelihatan itu amat perlahan, disebabkan oleh budaya patriarki dan juga rasa takut.

Politik

Di Malaysia, laluan biasa dalam kerjaya politik ialah melalui parti politik.

Umumnya kerana modal besar diperlukan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Parti sediakan dana, kemudahan serta sokongan bagi membantu calon – yang dipilih jika dia bertuah dapat menarik perhatian pemimpin setelah bertungkus-lumus untuk parti – memenangi pilihan raya.

Persaingan adalah sengit dan tidak semua orang akan berjaya.

Dicampur pula budaya patriarki – majoriti pemimpin parti adalah lelaki – menyukarkan lagi wanita untuk sampai di puncak walaupun mereka telah bekerja keras dalam parti selama bertahun-tahun.

Sharifah Syahirah yang juga Penolong Setiausaha Kehormat Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita berkata, pemimpin politik cenderung memilih dan mengiktiraf seseorang berdasarkan standard mereka sendiri serta keperibadian, dan jika kebanyakan pemimpin adalah lelaki, maka mereka juga berkecenderungan melihat kaum sejenis sebagai pemimpin.

“Atas sebab itulah, maka apa yang dipanggil merit dan standard kepimpinan mereka lebih bersifat maskulin.

“Ada istilah untuk merujuk keadaan ini, kita panggi ‘homosociality’, yang mana pemimpin menganggap seseorang itu layak apabila dia melihat ada persamaan keperibadian dengan dirinya,” kata beliau.

Ini menyebabkan kebanyakan wanita dipinggirkan daripada kumpulan yang rapat dengan kepimpinan parti, sekali gus menghalang mereka daripada mempunyai peluang yang sama.

Menurut Zaireeni pula, halangan besar yang sukar diatasi bagi memperkukuh kedudukan dalam parti ialah menembusi mentaliti “old boys club” (dominasi lelaki).

“Semua parti politik ini yang diketuai lelaki, mereka berebut kuasa, jadi mereka pastinya mahu meletakkan orang-orang mereka di jawatan-jawatan tertentu, di Parlimen khususnya, kerana mereka mahu mentadbir negara.

“Dalam hal ini, pastinya wanita atau sebilangan besar wanita, tidak akan dipilih menjadi calon,” katanya.

Tambah beliau, kepercayaan bahawa wanita tidak boleh menjadi pemimpin yang bagus serta tidak boleh memenangi pilihan raya turut menyumbang kepada keputusan pemimpin parti.

Ketika mempertahankan keputusan BN meletakkan hanya 22 orang wanita sekalipun janjinya lain, Pengerusi parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran di Facebook beliau pada 4 November berkata, ramai penyandang enggan menyerahkan kerusi masing-masing kepada wanita.

Beliau juga membayangkan keputusan untuk tidak mencalonkan lebih ramai wanita sebagai “keputusan taktikal” bagi memenangi PRU.

Berdasarkan tinjauan oleh Merdeka Centre setakat 28 Oktober, rata-rata pengundi memilih faktor “calon” dalam menentukan siapa yang akan diundi.

Tinjauan itu bagaimanapun tidak menyelami sama ada gender akan mempengaruhi pilihan pengundi.

Kesetiaan kepada parti menjadi faktor kedua.

Perubahan

Di sebalik kekecewaan mereka, kalangan pakar mengakui situasi bertambah baik pada setiap PRU.

Trend dewasa ini memberikan harapan kepada mereka bahawa mempunyai lebih ramai pemimpin wanita di negara ini akan menjadi satu kelaziman tidak lama lagi.

PRU12 pada 2008 menyaksikan wanita mewakili 8.8 peratus daripada keseluruhan calon, sementara wakil wanita pada PRU13 bertambah sedikit kepada 8.98 peratus.

Pada PRU14, jumlah calon wanita ialah 10.48 peratus dan PRU15 merekodkan 13.4 peratus.

Sharifah Syahirah berkata beliau mendapati wanita juga semakin lantang dalam menyuarakan hasrat dilantik sebagai pemimpin parti atas kekuatan mereka.

“Dulu mereka cuma akur dengan keputusan pemimpin.

Mereka sekadar cakap ‘Ok. Walaupun tidak memadai, kami akan sentiasa setia kepada parti.

“Namun pada PRU15 ini, kita dapat lihat beberapa pemimpin wanita bersuara dalam nada mengkritik.

Malah, ada yang mempersoal keputusan pemimpin parti mereka,” ujarnya.

Lai bersetuju namun berkata wanita dan sekutu mereka tidak boleh sekadar menunggu dan mengharapkan ada kemajuan dalam usaha mereka tanpa membuat sebarang desakan.

Saran beliau, sebaiknya adakan pemilihan calon secara langsung tanpa libatkan kepimpinan parti.

“Melalui cara ini, wanita dan ahli yang lain boleh bertanding untuk menjadi calon di kawasan pilihan raya tertentu tanpa menunggu pemimpin parti mengiktiraf mereka.

Sebaliknya, ahli biasa berpeluang memilih siapa yang mereka anggap terbaik untuk mewakili sesebuah kawasan pilihan raya.

“Kita sudah tahu amalan sedia ada tidak berhasil. Jadi, semestinya kita perlu mencuba perkara dan idea baharu,” tegasnya.

Kalangan pakar bersetuju perubahan seharusnya berlaku dari atas ke bawah. Satu caranya ialah parti dan kerajaan menetapkan kuota, iaitu memperuntukkan 30 peratus daripada calon Parlimen atau kerusi menteri kepada wanita.

Penganalisis pilihan raya, Dr Manimaran Govindasamy memberitahu Bernama, idea itu antara syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya 2018 kepada kerajaan.

“Kami juga mencadangkan 30 peratus kerusi diperuntukkan kepada wanita.

“Setiap parti politik mesti mempertandingkan 30 peratus calon wanita,” katanya, menambah bagaimanapun tidak ada maklum balas daripada kerajaan berhubung saranan itu.

Penyertaan wanita dalam proses politik merupakan sesuatu yang harus diambil berat oleh parti dan kerajaan.

Ini kerana jumlah pengundi wanita yang keluar mengundi semakin merosot berbanding lelaki.

Menurut penganalisis politik Bridget Welsh, jumlah pemilih wanita merosot daripada sembilan peratus lebih rendah berbanding lelaki pada PRU13 kepada 11 peratus pada PRU14.

Justeru, kalangan pakar berkata parti politik serta badan bukan kerajaan harus melibatkan orang ramai, menggalakkan wanita mengambil bahagian dalam proses politik serta memupuk pemimpin masa depan.

“Semakin ramai wanita yang berkata ‘saya percaya saya boleh menang, saya yakin saya boleh menjadi pemimpin yang bagus. Cuma saya tidak diberikan peluang,’” kata Lai.

Sumber : Sinar Harian

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending