Connect with us

Terkini

“Jika mahu undi Melayu, perkasa ekonomi Bumiputera dalam manifesto” – tuntutan 50 NGO

Gabungan lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyenaraikan tujuh tuntutan dan mahu sasaran ekonomi Bumiputera dijadikan manifesto wajib parti politik yang bertanding jika mahu mendapatkan undi orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Wartawan TMT

Published

on

“Jika mahu undi Melayu, perkasa ekonomi Bumiputera dalam manifesto” - tuntutan 50 NGO
  • Lebih 50 NGO senaraikan tujuh tuntutan dan mahu sasaran ekonomi Bumiputera jadi manifesto wajib parti politik yang bertanding.
  • Mereka tidak mahu agenda Melayu dan Bumiputera jadi alat politik malah muak janji manis sering dilupakan apabila sudah menang.
  • Tidak mahu kemiskinan ummah merebak jadi bencana lebih besar antara sebab tuntutan dibuat.
  • Mereka tuntut Dasar Ekonomi Baru 2.0 dilaksanakan bagi capai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,rapatkan jurang telekomunikasi antara bandar dan desa, maksimumkan potensi sumber tenaga Melayu.
  • Bina rantaian bekalan Melayu dalam sektor strategik babitkan keselamatan makanan, pembinaan, telekomunikasi, ekosistem halal, peruncitan.
  • Antara tuntutan lain; tolak pemimpin rasuah dan salah guna kuasa, wujudkan Kementerian Hal Ehwal Melayu dan memperkasa sistem ekonomi Islam.

KUALA LUMPUR – Gabungan lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyenaraikan tujuh tuntutan dan mahu sasaran ekonomi Bumiputera dijadikan manifesto wajib parti politik yang bertanding jika mahu mendapatkan undi orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Tuntutan itu disenaraikan menjelang PRU-15 ini, kerana tidak mahu lagi agenda Melayu dan Bumiputera dijadikan alat politik yang dipertaruhkan setiap kali pilihan raya umum, selain muak dengan janji manis, kononnya mahu memartabat, memperkasa, menyantuni serta membela tetapi apabila sudah menang, ia hanya tinggal janji.

Pengerusi gabungan NGO itu, Abdul Halim Husin, berkata tidak mahu kemiskinan ummah merebak menjadi bencana yang lebih besar, mendorong mereka bersepakat untuk terus mendesak agar tuntutan yang disenaraikan mereka dijadikan manifesto pilihan raya sehingga ia dipenuhi.

Beliau berkata, pihaknya mengajak pengundi Melayu khususnya serta rakyat Malaysia amnya untuk hanya menyokong calon-calon yang tidak akan berkompromi dalam hal-ehwal mempertahan serta memperjuangkan nasib anak bangsa, selagi hayat dikandung badan.

Katanya, menolak pemimpin rasuah dan salah guna kuasa menjadi tuntutan utama NGO itu, selain mahu mana-mana parti yang menang kelak akan mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Pribumi supaya agenda merancang dan memperkasa ekonomi Melayu akan lebih tersusun.

“Kementerian ini juga dapat memastikan kepentingan orang Melayu terus diutamakan, termasuklah dengan sistem penyampaian yang lebih berkesan, agar agensi-agensi berkaitan tidak lagi bergerak secara ‘silo’ atau membiarkan tanggungjawab besar ini digalas unit tertentu sahaja.

“Maka kami menuntut agar Kementerian Hal Ehwal Melayu (Ministry of Malay Affairs) ditubuhkan dengan memperuntukkan Perdana Menteri Malaysia sebagai Menteri bertanggungjawab. Ia juga memperjuangkan dan memperkasakan Artikel 153 dan 160 berkaitan Tanah Rizab Melayu,” katanya.

Abdul Halim yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), berkata tuntutan lain adalah melaksanakan Dasar Ekonomi Baru 2.0 bagi mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, merapatkan jurang telekomunikasi antara bandar dan desa, memaksimumkan potensi sumber tenaga Melayu.

“Pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat berada di tahap 16.2 peratus sahaja berbanding bukan Bumiputera sebanyak 30.7 peratus dan pegangan asing sebanyak 45.3 peratus. Begitu juga dengan purata pendapatan isi rumah kasar Bumiputera pula ialah RM7,093 masih jauh ketinggalan.

“Atas dasar itu, maka gabungan ini menuntut agar DEB2.0 dirangka dan dilaksanakan. Jika DEB1.0 berkisar soal membasmi kemiskinan tegar, DEB2.0 harus mengambil kira sasaran-sasaran yang lebih mampan seperti kriteria syarikat berstatus Bumiputera menyertai perolehan Kerajaan Pusat, negeri-negeri dan GLC harus dinaik taraf daripada 51 peratus kepada 100 peratus. Ini bagi memastikan peruntukan besar Bumiputera sampai kepada sasaran sekaligus membanteras kegiatan Alibaba.

“Selain itu, membina rantaian bekalan Melayu terutamanya dalam sektor strategik membabitkan keselamatan makanan, pembinaan, telekomunikasi, ekosistem halal, peruncitan dengan sasaran minimum 50 peratus daripada keseluruhan pasaran pengguna domestik.

“Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) adalah tulang belakang ekonomi negara yang memayungi sejuta perniagaan, mampu mewujudkan ratusan ribu pekerjaan, menyumbang kepada 45 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25 peratus nilai eksport pada 2025. Memahami kepentingan menjayakan sektor PMKS, kami menuntut agar tanggungjawab ini turut digalas oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM),” katanya.

Beliau berkata, memperkasa sistem ekonomi Islam juga menjadi antara tuntutan mereka, selain memartabatkan sejarah dan warisan Melayu, memimpin komuniti niaga Melayu nusantara dan memberi ruang kepada pemimpin NGO di dalam Kabinet atau Dewan Negara.

“Dalam beberapa siri PRU sebelum ini, kita sudah menyaksikan begitu banyak manifesto oleh pakatan serta parti politik, malangnya hampir tidak ada komitmen bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pegangan ekonomi Bumiputera supaya setara dengan saudara yang lain,” katanya.

“Kita juga sudah muak dengan janji manis kononnya mahu memartabat, memperkasa, menyantuni dan membela tetapi apabila sudah menang, janji hanya tinggal janji. 

“Oleh itu, kami menuntut calon pilihan raya supaya menanam semangat dan keberanian melaksanakan agenda ekonomi Melayu dan Bumiputera seperti dilakukan Allahyarham Tun Abdul Razak dan hulubalang beliau dahulu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Terkini

(VIDEO) Pengharmonian undang-undang syariah-sivil, apa langkah kerajaan boleh lakukan?

Malaysia dari segi ilmu dan substantif mempunyai bahan-bahan yang mencukupi untuk melaksanakan pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di negara ini.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz.
  • Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata semua agensi kerajaan perlu digerakkan untuk menjayakan usaha tersebut sebagaimana ia dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dalam Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia.
  • Ini kerana semua pihak yang terlibat dalam undang-undang itu akan terkesan, sekiranya penambahbaikan undang-undang dilakukan termasuk, pindaan Perlembagaan Persekutuan.
  • “…Usaha (pengharmonian undang-undang) yang berlangsung hampir 40 tahun ini perlu diselaraskan dan cara untuk melaksanakan pengharmonian ini, perlu disusun dengan rapi dan ini memerlukan usaha kerajaan yang berterusan dengan melantik mereka atau agensi yang bertanggungjawab dalam usaha pengharmonian ini.
  • “Kalau ini tidak dilakukan, kita akan bercakap tentang perkara sama walaupun pada 40 tahun akan datang,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times di Putrajaya hari ini.
  • Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang langkah atau strategi yang boleh dilakukan kerajaan, khususnya agensi agama, untuk menjayakan usaha pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di negara ini .

KUALA LUMPUR — Malaysia dari segi ilmu dan substantif mempunyai bahan-bahan yang mencukupi untuk melaksanakan pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di negara ini.

Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata untuk itu semua agensi kerajaan perlu digerakkan untuk menjayakan usaha tersebut sebagaimana ia dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dalam Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia.

Shamrahayu berkata ini kerana semua pihak yang terlibat dalam undang-undang berkenaan akan terkesan sekiranya penambahbaikan undang-undang dilakukan termasuk, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berpendapat bahawa seperti dinyatakan Yang Berhormat Perdana Menteri dalam ucapan perasmian beliau sekejap tadi bahawa pengharmonian undang-undang ini ataupun pelaksanaan keadilan dalam bidang undang-undang ini bukan sesuatu yang mudah.

“Jadi antara perkara saya sering bicarakan sebelum ini pun ialah bagaimana agensi-agensi kerajaan terutamanya perlu menyatupadukan gerak kerja mereka dan meletakkan agenda yang jelas tentang pengharmonian undang-undang.

“…Usaha (pengharmonian undang-undang) yang berlangsung hampir 40 tahun ini perlu diselaraskan dan cara untuk melaksanakan pengharmonian ini, perlu disusun dengan rapi dan ini memerlukan usaha kerajaan yang berterusan dengan melantik mereka atau agensi yang bertanggungjawab dalam usaha pengharmonian ini.

“Kalau ini tidak dilakukan, kita akan bercakap tentang perkara sama walaupun pada 40 tahun akan datang,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang langkah atau strategi yang boleh dilakukan kerajaan, khususnya agensi agama, untuk menjayakan usaha pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di negara ini.

Ia susulan pembentangan pertama di Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia yang bertajuk, “Mendasari Pengharmonian Syariah-Sivil Ke Arah Pemartabatan Undang-Undang Syariah di Malaysia”, yang telah disampaikan Timbalan Ketua Bahagian, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-undang, Jabatan Peguam Negara, Ramzi Osman.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata langkah lain yang penting dilaksanakan adalah memahamkan para hakim yang bertugas di mahkamah pada peringkat Persekutuan, bukan hanya hakim mahkamah syariah.

“Satu lagi yang saya fikir tidak disebut ialah untuk memperkasakan institusi-institusi atau personnel yang menyumbang kepada pelaksanaan perundangan di mahkamah syariah terutamanya mereka yang menguatkuasakan undang-undang iaitu pengawai penguatkuasa agama dari segi penyiasatannya dan pendakwaannya. 

“Dan saya fikir jika kedua jawatan ini, penguatkuasa dan pendakwaan ini tidak diperkasakan selaras mahkamah syariah maka ia juga tidak akan mendatangkan keharmonian sepatutnya atau yang terbaiknya dalam penguatkuasaan undang-undang syariah,” katanya.

Shamrahayu berkata pelaksanaan pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di negara ini penting kerana ia adalah untuk mencapai keadilan dan supaya negara ini mempunyai identiti perundangannya sendiri.

“Pengharmonian (undang-undang syariah dan sivil) bermaksud untuk kita mencari sesuatu yang sama dan adil, sekarang ini terdapat perbezaan. 

“Contohnya suatu perkara itu dijenayahkan dalam perundangan syariah, tetapi tidak dijenayahkan dalam perundangan yang diamalkan di peringkat Persekutuan… Jadi untuk mencari kebaikan dalam sesuatu undang-undang itu, maka pengharmonian ini perlu dilakukan,” katanya. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending