Connect with us

Terkini

Fokus kebaikan parti sendiri, bukan fitnah parti lain ketika berkempen – Ustaz Ahmad Dusuki

Perbuatan memfitnah dan mengata parti lain semasa berkempen demi meraih undi perlu dielak kerana ia mencerminkan akhlak dan peribadi parti itu sendiri.

Wartawan TMT

Published

on

Fokus kebaikan parti sendiri, bukan fitnah parti lain ketika berkempen - Ustaz Ahmad Dusuki
Foto: Penasihat Kompleks Darul Thibbunnabawi, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani.
  • Perbuatan memfitnah dan mengata parti lain semasa berkempen mencerminkan akhlak dan peribadi parti itu sendiri.
  • Individu yang menggunakan kata kesat ketika berkempen tidak layak diundi sebagai pemimpin.
  • Parti politik perlu lebih fokus menyebut tentang kebaikan partinya menggunakan bahasa baik seterusnya menunjukkan komitmen berterusan untuk membantu rakyat.

KUALA LUMPUR – Perbuatan memfitnah dan mengata parti lain semasa berkempen demi meraih undi perlu dielak kerana ia mencerminkan akhlak dan peribadi parti itu sendiri.

Penasihat Kompleks Darul Thibbunnabawi Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani berkata, individu yang menyebarkan fitnah tentang parti lain dan mengeluarkan kata-kata kesat semasa berkempen tidak layak diundi sebagai pemimpin.

Sebaliknya beliau berkata, parti politik perlu lebih fokus menyebut tentang kebaikan partinya menggunakan bahasa yang baik seterusnya menunjukkan komitmen yang berterusan untuk membantu rakyat.

“Semua pengundi sekarang berpelajaran, jadi siapa yang suka memaki dan mencaci, tidak perlulah pilih parti tersebut. Demikian juga parti yang membawa fitnah dan tuduhan serta penipuan kepada masyarakat contohnya manifesto yang menipu,” katanya kepada Bernama.

Ketika ditanya mengenai panduan berpolitik secara Islam, beliau berkata Rasulullah SAW merupakan panduan yang jelas iaitu ajaran al-Quran dan hadis perlu diterapkan dalam peribadi seorang pemimpin selain perlu belajar tentang siyasah syar’iyah (cara mentadbir kerajaan berasaskan undang-undang Islam).

Turut senada, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia Prof Madya Dr Nik Rahim Nik Wajis berkata, secara umumnya mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan bahasa kesat dilarang dalam Islam, bukan hanya semasa berkempen.

“Orang yang menggunakan kata-kata kesat adalah orang yang tidak berakhlak… orang yang mempunyai sifat sedemikian tidak layak menjadi pemimpin.

“Kita tahu politik ini sebahagian daripada agama, memilih pemimpin ini bukan satu benda yang remeh, ia membawa kesan yang sangat besar kepada negara. Kalau kita tengok negara maju adalah sebab pemimpin yang bagus dan amanah,” katanya.

Beliau berkata, seorang pemimpin negara perlu memiliki ciri-ciri amanah terhadap kepercayaan yang diberi rakyat, memberikan layanan yang adil kepada rakyat, mengelak perkara yang membawa kepada permusuhan, sanggup berkorban demi rakyat serta mempunyai niat yang betul dalam menyertai politik negara.

Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, fitnah adalah sekeji-keji bentuk kempen dan permainan politik sekali gus berupaya menaikkan seseorang yang jahat dan menjatuhkan seseorang yang baik.

Beliau menyeru semua parti politik supaya memperbaharui niat bagi menghadapi kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sambil menekankan bahawa dua tunjang utama politik negara adalah rakyat dan agama.

“Kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa ‘janji Puteri Gunung Ledang’ oleh pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab. Apatah lagi kita tidak mahu soal agama Islam selaku agama Persekutuan dikesampingkan oleh mana-mana parti yang memerintah kelak.

“Isu moral dan akhlak adalah asas pembinaan negara yang stabil, maju dan seimbang. Justeru, tidak ada kompromi bagi pihak yang memandang ringan soal agama,” katanya.

Zulkifli berkata, biarpun usik-mengusik merupakan perkara biasa semasa berkempen, adab dan akhlak perlu dipelihara supaya tidak keterlaluan membenci dan memusuhi kerana hakikatnya kempen cuma perlawanan kebijaksanaan dalam mengatur strategi mempromosi parti masing-masing di lapangan dan media sosial.

Di samping itu, menurutnya, beliau tertarik dengan sebahagian anak muda di aplikasi TikTok yang akan mengundi buat pertama kali, yang berusaha membuat penelitian menerusi Internet untuk menilai calon dan parti mana yang perlu diundi.

“Selain carian di alam maya, saya sarankan supaya hadir ke rapat umum semua calon yang bertanding. Dapatkan maklumat sebanyak mungkin melalui pertanyaan, perbualan dengan pengundi yang lebih senior daripada pelbagai parti. Akhirnya, mohonlah petunjuk daripada Allah melalui solat istikharah,” katanya.

Menurut Zulkifli, rakyat mahukan pemimpin terbaik untuk negara dan masa depan generasi muda, bagaimanapun, secara realistiknya ia umpama memilih antara dua kelemahan.

“Pilihlah yang lebih ringan atau kurang kelemahannya, asalkan mereka berjaya membuktikan kesungguhan mereka mengutamakan memperkukuh ekonomi, mensejahterakan rakyat dan memelihara agama. Selamat berkempen dan selamat mengundi. Dirgahayu Malaysiaku tercinta!,” katanya.

Bulan lepas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melancarkan kempen kesedaran hentikan fitnah di media sosial bagi membendung berita tidak benar yang semakin berleluasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad ketika melancarkan kempen itu berkata ramai individu ingin menjadi wartawan seterusnya menyebarkan berita menerusi media sosial tanpa mematuhi etika kewartawanan demi mensasikan isu tersebut.

Sumber: Bernama

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Terkini

Ridhuan Tee persoal NGO Islam hanya membisu ketika Firdaus Wong ‘diserang’

Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mempersoalkan tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, termasuk berkaitan mualaf, yang dilihat hanya ‘diam’ ketika pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung ‘diserang’ atas kenyataannya tentang anak bukan Islam bawah umur boleh memeluk Islam.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
  • Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mempersoalkan tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, termasuk berkaitan mualaf, yang dilihat hanya ‘diam’ ketika pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung ‘diserang’ atas kenyataannya tentang anak bukan Islam bawah umur boleh memeluk Islam.
  • Tindakan NGO Islam yang tidak tampil membela Firdaus Wong memperlihatkan seolah-olah kenyataan pendakwah bebas itu salah, tidak betul atau bertentangan dengan Islam.
  • “Persoalan saya, sampai bila kita harus begini? Sampai bila mahu berdiam diri? Ini bumi siapa? Menyokong perjuangan hanya dari hati, mulut? Mulut, tangan kaki, letak mana? Takkan semua nak diam? Nak cerita pasal kesucian Islam, kena minta kebenaran?
  • “Sebenarnya, itulah yang saya hadapi selama ini. Sangat keseorangan. Mempertahankan kemuliaan Islam, tetapi orang pandang sebelah mata. Cari makan. Ada aku kisah?,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.
  • Mengulas isu pendaftaran mualaf, Ridhuan Tee berkata ia adalah prosedur dan boleh dilakukan kemudian apabila individu tersebut sudah cukup usia, namun keinginan atau niat individu itu mahu memeluk Islam mesti ditunaikan terlebih dahulu meskipun masih di bawah umur atau masih di bawah jagaan ibu bapa.

KUALA LUMPUR — Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mempersoalkan tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, termasuk berkaitan mualaf, yang dilihat hanya ‘diam’ ketika pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung ‘diserang’ atas kenyataannya tentang anak bukan Islam bawah umur boleh memeluk Islam.

Ridhuan Tee berkata tindakan NGO Islam yang tidak tampil membela Firdaus Wong memperlihatkan seolah-olah kenyataan pendakwah bebas itu salah, tidak betul atau bertentangan dengan Islam.

“Beliau nampak begitu keseorangannya. Kita hanya melihat dan menyokong dalam hati sahaja.  Golongan asatizah pun senyap, NGO-NGO Islam senyap. Bila berjumpa atau terserempak, baharulah berkata, “berani sungguh kamu, dan bagus sungguh kamu”. 

“Persoalan saya, sampai bila kita harus begini? Sampai bila mahu berdiam diri? Ini bumi siapa? Menyokong perjuangan hanya dari hati, mulut? Mulut, tangan kaki, letak mana? Takkan semua nak diam? Nak cerita pasal kesucian Islam, kena minta kebenaran?

“Sebenarnya, itulah yang saya hadapi selama ini. Sangat keseorangan. Mempertahankan kemuliaan Islam, tetapi orang pandang sebelah mata. Cari makan. Ada aku kisah?,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak bukan Islam, termasuk Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) menggesa kerajaan bertindak terhadap pempengaruh dan pendakwah bebas itu.

Ini susulan tindakan Firdaus Wong memuat naik video di TikTok yang memaparkan beliau menjawab pertanyaan seorang penulis, Adnin Roslan tentang cara menangani permintaan remaja bawah umur yang bukan beragama Islam ingin memeluk Islam.

Firdaus Wong antaranya menjelaskan dari sudut Islam tiada masalah untuk individu tersebut ingin memeluk agama Islam tidak kira berapa umurnya kerana beliau boleh diislamkan. 

Mengulas isu pendaftaran mualaf, Ridhuan Tee berkata ia adalah prosedur dan boleh dilakukan kemudian apabila individu tersebut sudah cukup usia, namun keinginan atau niat individu itu mahu memeluk Islam mesti ditunaikan terlebih dahulu meskipun masih di bawah umur atau masih di bawah jagaan ibu bapa.

Beliau mempersoalkan dalam Islam siapa yang boleh menahan atau mahu menahan sekiranya ada individu, termasuk kanak-kanak bawah umur atau pelajar sekolah rendah mahupun menengah yang ingin memeluk Islam.

Katanya, hanya undang-undang Malaysia atau perlembagaan sahaja tidak membenarkan kelompok bawah umur memeluk Islam tanpa kebenaran ibu bapa melainkan mereka sudah mencapai umur 18 tahun dan ke atas.

“Proses pengIslaman tidak perlu kepada pendaftaran. Syahadahkan dia dahulu. Takkan strategi sebegini pun kita takut. Ini bumi siapa asal usulnya? Agama Islam berada dalam kedudukan di mana mengikut perlembagaan Persekutuan? 

“Apakah selepas ini kita menjadi tidak berani untuk berdakwah kepada pelajar bukan Islam di bawah umur? 

“Orang Kristian atau misionari Kristian relaks sahaja berdakwah kepada pelajar bawah umur, boleh pula. 

“Bila kena pada kita, berkaitan dengan Islam, semua tidak boleh, termasuk berdakwah kepada mereka di bawah umur,” katanya. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending