Connect with us

Terkini

Anak muda pilih kerajaan yang sediakan peluang pekerjaan, kadar gaji berpatutan

Anak muda mahukan sebuah kerajaan stabil, pemimpin bersih tanpa berebut kuasa, selain memberi tumpuan tadbir urus negara bagi menangani isu ekonomi, pembangunan dan kesejahteraan hidup rakyat.

Wartawan TMT

Published

on

Anak muda pilih kerajaan yang sediakan peluang pekerjaan, kadar gaji berpatutan
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Anak muda mahukan kerajaan stabil, pemimpin bersih tanpa berebut kuasa dan kesejahteraan hidup rakyat.
  • Tempoh pemerintahan sepenggal kerajaan dengan tiga PM berbeza sudah cukup memberi pengajaran kepada semua betapa pentingnya kestabilan kepada sesebuah negara.
  • Golongan muda tidak mahu manifesto mana-mana parti politik, sebaliknya mahu penekanan diberi kepada mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka. -Pemimpin Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Amirul Hamzah
  • Sediakan peluang pekerjaan kepada anak muda dan skim perumahan untuk anak muda juga perkara penting, kos sara hidup rendah, kadar gaji berpatutan. -(MAYC) Amirul Hamzah
  • Anak muda sekarang lebih terdidik dan tidak mudah mengikut telunjuk pihak lain untuk mengundi parti tertentu.
  • Anak muda mahu pemimpin bersih, tidak menyalahgunakan kuasa, bukan bersifat retorik parti, tetapi memilih pemimpin yang jujur memimpin kawasannya dan membawa suara rakyat ke Parlimen.

PUCHONG: Anak muda mahukan sebuah kerajaan stabil, pemimpin bersih tanpa berebut kuasa, selain memberi tumpuan tadbir urus negara bagi menangani isu ekonomi, pembangunan dan kesejahteraan hidup rakyat.

Bagi mereka, melalui tempoh pemerintahan sepenggal kerajaan dengan tiga Perdana Menteri yang berbeza sudah cukup memberi pengajaran kepada semua betapa pentingnya kestabilan kepada sesebuah negara.

Pemimpin Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) cawangan Pahang, Amirul Hamzah, 25, berkata golongan muda kini tidak mahukan berbagai janji dan tawaran dalam manifesto mana-mana parti politik, sebaliknya mahu penekanan diberi kepada mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka.

“Kalau tidak mampu sediakan peluang pekerjaan kepada anak muda, macam mana hendak bangunkan negara.

“Skim perumahan untuk anak muda juga perkara penting, kami mahukan kos sara hidup rendah, kadar gaji berpatutan, perkara ini yang perlu dititikberatkan kerajaan,” katanya kepada BH hari ini.

Beliau berkata, anak muda tidak mahu lagi mendengar janji kosong dan tawaran manifesto yang kedengaran ‘gempak’, namun hanya membuka ruang kepada serangan pihak lain jika gagal dilaksanakan sehingga menggugat kestabilan sesebuah kerajaan.

“Anak muda tidak mahu lagi manifesto janji kosong seperti dulu, kita hendak ia dibuktikan pelaksanaannya. Melalui tempoh tiga perdana menteri dalam satu penggal cukup memberi pengajaran kepada semua bukan saja anak muda.

“Kita melalui pentadbiran 22 bulan, 17 bulan dan sebagainya, ini memberi pengajaran bahawa kestabilan negara adalah penting, kita tidak mahu lagi perdana menteri bertukar-tukar dan menteri silih berganti sehingga menjejaskan pelaksanaan dasar kerajaan,” katanya.

Amirul berkata, anak muda sekarang lebih terdidik dan tidak mudah mengikut telunjuk pihak lain untuk mengundi parti tertentu.

“Anak muda mahu pemimpin bersih, tidak menyalahguna kuasa, bukan bersifat retorik parti, tetapi memilih pemimpin yang jujur memimpin kawasannya dan membawa suara rakyat ke Parlimen,” katanya.

Bagi pemimpin MAYC Kelantan, Osama Laden Mohd Zaidi, 21, walaupun undi golongan berusia 18 hingga 21 tahun hanya sekitar 16 peratus daripada 6.9 juta pengundi baharu, ia tetap mampu menjadi penentu kemenangan calon bertanding.

“Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan banyak parti bertanding, jadi lebih banyak penjuru pertandingan, jadi undi golongan muda juga sangat penting.

“Saya percaya belia mampu menilai sendiri parti yang mampu membawa pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat.

“Kriteria calon pasti menjadi keutamaan dalam memberi undi kerana mereka yang akan membawa suara rakyat dalam menentukan dasar negara,” katanya.

Pemimpin MAYC Wilayah Persekutuan, Syed Muhammad Azmi Syed Mohamed Buhari, 22, pula berkata beliau antara belia kali pertama mengundi yang harus membuat penilaian terbaik dalam memilih calon dan parti yang boleh melaksanakan janji untuk meningkatkan ekonomi serta pendapatan golongan belia.

“Dalam keadaan negara berdepan kemelesetan ekonomi dunia dan peningkatan inflasi, kita hendak tahu apa persediaan dan perancangan bakal pentadbir urus kerajaan ini.

“Adakah mereka akan terus bercakaran demi kuasa atau benar-benar ikhlas memikirkan nasib anak bangsa dalam berdepan kos sara hidup.

“Apakah rancangan mereka untuk pembangunan dan manfaat golongan belia atau sekadar ‘bermulut manis’ untuk mendapatkan undi semata-mata,” katanya.

Pada 2019, Malaysia meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan usia layak mengundi dan menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun, selain mendaftarkan golongan berusia 18 tahun ke atas sebagai pemilih secara automatik.

Pindaan itu yang diluluskan Parlimen diwartakan dan berkuat kuasa pada Disember 2021.

Sumber: Berita Harian

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending