Connect with us

Kolumnis

Anak lahir di luar negara oleh wanita Malaysia, ibu berhak cabar keputusan mahkamah – Peguam

Baru-baru ini diputuskan oleh Mahkamah Rayuan bahawa anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang merupakan warganegara Malaysia dan berkahwin bukan warga asing tidak berhak mendapat kewarganegaraan secara automatik atau melalui kuat kuasa undang-undang.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Nor Zabetha

Published

on

gavel
Foto: Gambar sekadar hiasan.

Baru-baru ini diputuskan oleh Mahkamah Rayuan bahawa anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang merupakan warganegara Malaysia dan berkahwin bukan warga asing tidak berhak mendapat kewarganegaraan secara automatik atau melalui kuat kuasa undang-undang.

Keputusan di Mahkamah Rayuan ini, sekaligus mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes SURIANI KEMPE & ORS v. KERAJAAN MALAYSIA & ORS [2021] 8 CLJ 666 yang membenarkan kewarganegaraan automatik melalui kuat kuasa undang-undang diberikan kepada anak-anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Sedikit latar belakang, kes ini di peringkat Mahkamah Tinggi. Plaintif-Plaintif yang memulakan tindakan ini adalah Presiden Persatuan Family Frontiers dan sekumpulan ibu-ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak-anak di luar negara. Tindakan ini dimulakan secara saman pemula terhadap Defendan-Defendan iaitu Kerajaan Malaysia, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia

Plaintif-Plaintif memohon satu deklarasi dari Mahkamah bahawa anak-anak yang dilahirkan di luar Malaysia oleh ibu warganegara Malaysia berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang. Plaintif-Plaintif berhujah antaranya bahawa  Perkara 14(1)(b) yang dibaca bersama dengan Seksyen 1(c), Bahagian II Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan adalah merupakan satu bentuk diskriminasi kepada ibu-ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing untuk mendapatkan kewarganegaraan anak mereka walhal Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mana-mana bapa kepada anak-anak yang berkahwin dengan warga asing yang melahirkan ada di luar negara, berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang selaras dengan Seksyen 1(c) ini.

Merujuk kepada Seksyen 1(c), Bahagian II Jadual Kedua seperti yang berikut:-

1. Tertakluk kepada peruntukan Bahagian III Perlembagaan ini, orang yang berikut yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:

“(c) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan yang bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara dan dalam masa satu tahun selepas kelahiran itu berlaku atau dalam masa apa-apa tempoh yang lebih lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam mana-mana hal tertentu, kelahiran itu didaftarkan di suatu konsulat Persekutuan atau, jika kelahiran itu berlaku di Brunei atau di sesuatu wilayah yang ditetapkan bagi maksud ini melalui perintah Yang di-Pertuan Agong, didaftarkan dengan Kerajaan Persekutuan; dan”

Jelas bahawa berdasarkan Seksyen 1(c), Bahagian II Jadual Kedua bahawa mana-mana lelaki yang berkahwin dengan warga asing dan anaknya dilahirkan di luar negara ini berhak mendapat kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang. Hal ini, telah menjadi pertikaian Plaintif-Plaintif bahawa perkara yang sama perlu juga diaplikasikan kepada ibu-ibu yang mempunyai situasi yang sama dan berhak mendapat kesamarataan seperti yang terkandung dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, Plaintif-Plaintif memohon agar Seksyen 1(c), Bahagian II Jadual Kedua dibaca secara bersama dengan Perkara 8.

Perkara 8, Perlembagaan memperuntukkan seperti yang berikut:

  1. Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
  2. Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apaapa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.

Plaintif-Plaintif menegaskan bahawa Perkara 14(1)(b) yang dibaca bersama dengan Seksyen 1(c), Bahagian II Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan perlu diberi hak kesamarataan terhadap golongan ibu kerana mereka mengalami diskriminasi akibat peruntukan ini.  Antara alasan-alasan permohonan Plaintif-Plaintif adalah antaranya mereka terpaksa melalui proses permohonan kewarganeraan yang lama dan panjang dan kemudian bakal ditolak, kesukaran mendaftarkan sekolah anak-anak dan bil perubatan yang tinggi, risiko kehilangan hak penjagaan sekiranya mereka berpisah dengan suami warga asing. Oleh yang demikian, mereka memulakan tindakan ini di peringkat Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan satu deklarasi kesamarataan dari segi undang-undang.

Namun di peringat Mahkamah Tinggi ini, Defendan-Defendan telah mencabar tuntutan mereka dengan alasan-alasan antaranya bahawa Mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar tindakan ini kerana kuasa untuk memberikan kewarganegaraan adalah pada Kerajaan Persekutuan

Pada 9 September 2021, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan Plaintif-Plaintif dan memutuskan bahawa perkataan ‘bapa’ dalam Jadual kedua Perlembagaan mesti bermaksud dan merangkumi ibu. Oleh yang demikian, membenarkan kewarganegaraan automatik diberikan kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Tidak berpuas hati dengan keputusan ini, Kerajaan Malaysia telah memfailkan Rayuan di Mahkamah dan pada 10 Ogos 2022, Mahkamah Rayuan telah mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan membenarkan Rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Keputusan oleh tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan ini dengan majoriti 2-1, berpendapat bahawa perkataan ‘bapa’ dalam Perkara 14(1)(b) dan peruntukan berkaitan dengannya dalam Jadual Kedua adalah jelas dan tidak boleh ditafsirkan untuk memasukkan ‘ibu’ dan hanya Parlimen yang boleh meminda perlembagaan, bukan mahkamah, untuk meminda perlembagaan. Mahkamah tidak boleh sesuka hati mengubah perlembagaan.

Oleh yang demikian, setakat keputusan ini Perkara 14(1)(b) yang dibaca bersama dengan Seksyen 1(c), Bahagian II Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan adalah kekal iaitu hanya anak-anak kepada bapa yang merupakan warganegara yang berkahwin dengan warga asing sahaja berhak mendapat kewarganegaraan berdasarkan kuat kuasa undang-undang. Peruntukkan ini tidak terpakai kepada anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang warganegara. 

Namun, ibu-ibu dalam kes ini masih berhak untuk membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar terhadap keputusan ini. 

 

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

  • Nor Zabetha

    Nor Zabetha Muhamad Nor merupakan peguambela dan peguamcara yang mempunyai pengalaman selama 14 tahun dalam dunia perundangan. Banyak berkongsi tentang topik undang-undang dan isu semasa di platform seperti Televisyen, Radio, Media Massa serta memberikan ceramah berkaitan hak individu dari sudut undang-undang.

    View all posts