Antarabangsa
(VIDEO) Enam maut, 81 cedera dalam insiden letupan di Turkiye
Seorang suspek wanita ditahan berkaitan insiden letupan yang membunuh sekurang-kurangnya enam individu dan mencederakan sekurang-kurangnya 81 yang lain di Istanbul pada Ahad, kata Kementerian Dalam Negeri Turkiye awal hari ini.
Seorang suspek wanita ditahan berkaitan insiden letupan yang membunuh sekurang-kurangnya enam individu dan mencederakan sekurang-kurangnya 81 yang lain di Istanbul pada Ahad, kata Kementerian Dalam Negeri Turkiye awal hari ini.
Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay menyifatkan insiden itu sebagai serangan pengganas.
“Kami menganggap ia sebagai tindakan pengganas, yang kami percaya dilakukan seorang wanita meletupkan bom itu,” kata Oktay kepada pemberita semalam dipetik agensi berita Anadolu dalam laporan CNN.
Menteri Kehakiman Turkiye, Bekir Bozdag berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang wanita duduk di bangku selama lebih 40 minit, kemudian beredar meninggalkan beg atau beg plastik kira-kira dua minit sebelum letupan.
Pasukan keselamatan Turkiye percaya wanita itu adalah suspek dan pegawai sedang menyiasatnya.
“Ada dua kemungkinan. Sama ada beg atau beg plastik itu mengandungi bahan letupan di dalamnya, ia meletup sendiri atau seseorang meletupkannya dari jauh. Semua ini sedang dalam siasatan,” katanya.
View this post on Instagram
Bagaimanapun, identiti wanita itu masih belum diketahui dan semua rekod serta data mengenainya sedang dianalisis.
Letupan berlaku ketika kesesakan hujung minggu semalam pada jam 4.20 petang waktu tempatan di Jalan Istiklal dekat Dataran Beyoglu, kata Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya.
Enam mangsa maut. Empat daripadanya maut di tempat kejadian, manakala dua lagi disahkan meninggal dunia di hospital, kata Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.
Mangsa yang maut termasuklah Yusuf Meydan, anggota Kementerian Keluarga dan Perkhidmatan Sosial Turkiye dan anak perempuannya Ecrin, menurut Derya Yanık, menteri agensi itu.
Menteri Kesihatan Turkiye, Fahrettin Koca mengumumkan di Twitter petang semalam, 39 daripada 81 orang cedera dalam letupan itu telah dibenarkan keluar dari hospital selepas dirawat.
“Daripada 42 pesakit yang masih dirawat di hospital, lima masih di unit rawatan rapi, dua daripadanya dalam keadaan serius. Kami melakukan yang terbaik untuk memastikan orang yang cedera pulih secepat mungkin,” kata Koca.
Sumber: CNN