Antarabangsa
Pengendali KFC dan Pizza Hut di Turkiye failkan kebankrapan

- Is Gida, bekas pengendali KFC dan Pizza Hut di Turkiye, telah memfailkan kebankrapan dengan hutang sebanyak 214 juta Dolar atau 7.7 bilion Lira Turkiye.
- Kebankrapan ini mengakibatkan penutupan 537 restoran dan kehilangan sekitar 7,000 pekerjaan. Daily Sabah melaporkan bahawa ramai pekerja telah diberhentikan tanpa menerima gaji mereka yang menyebabkan protes di Istanbul, Ankara, dan Izmir.
Is Gida, bekas pengendali KFC dan Pizza Hut di Turkiye, telah memfailkan kebankrapan dengan hutang sebanyak 214 juta Dolar atau 7.7 bilion Lira Turkiye.
Langkah ini diambil selepas Yum! Brands menamatkan perjanjian francais dengan syarikat itu pada 8 Januari lalu.
Kebankrapan ini mengakibatkan penutupan 537 restoran dan kehilangan sekitar 7,000 pekerjaan. Daily Sabah melaporkan bahawa ramai pekerja telah diberhentikan tanpa menerima gaji mereka yang menyebabkan protes di Istanbul, Ankara, dan Izmir.
Menerusi satu catatan di LinkedIn, Abdurrahim Seven, seorang pengurus di salah satu daripada 283 restoran KFC di negara itu, menggesa Ketua Pegawai Eksekutif Yum! Brands, David Gibbs dan Ketua Pegawai Eksekutif KFC yang baharu, Scott Mezvinsky, untuk menangani isu ini.
“Kami, ribuan pekerja, masih berharap mendapat berita positif dari Yum! Brands. Mengenai operasi di Turkiye, kami tidak mengarahkan anda untuk datang atau pergi. Kami hanya mahukan kenyataan yang jelas supaya kami dapat merancang kehidupan kami dengan sewajarnya,” tulis Seven.
Sebaik perkara tersebut dilaporkan media, Ketua Pegawai Eksekutif Is Gida, Ilkem Sahin akhirnya membuat kenyataan rasmi.
“Memandangkan ia telah dilaporkan dalam berita, maka saya boleh jelaskan realiti yang kami hadapi hari ini adalah hutang berbilion lira Turkiye, harta syarikat yang disita oleh bank dan institusi negara, termasuk kilang kami, serta semua simpanan saya yang telah dijadikan cagaran,” jelas Is Gida.
Yum! Brands menyatakan, penamatan perjanjian itu dilakukan kerana ketidakpatuhan terhadap perjanjian francais.
Menurut Ketua Pegawai Kewangan dan Francais, Chris Turner, sebelum penamatan, Yum! Brands telah berunding dengan Is Gida selama beberapa bulan untuk memberi bantuan dan menyelesaikan isu utama namun Is Gida masih gagal untuk mematuhi piawaian syarikat.
Penutupan restoran ini berlaku di tengah-tengah boikot besar-besaran terhadap jenama Barat di Turkiye berikutan kaitan mereka dengan Israel, yang telah menyebabkan lebih 47,000 kematian di Gaza sejak 7 Oktober 2023. -The Merdeka Times
