Terkini
PRU 15: Undi calon atau undi parti?
Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata pemilihan calon adalah faktor penting yang perlu diambil kira berbanding parti ketika mengundi Pilihan Raya Umum (PRU) ekoran calon menggalas peranan lebih besar bagi membela nasib rakyat.
- Mujibu Abd Muis berkata pemilihan calon adalah faktor penting yang perlu dilihat berbanding parti ketika mengundi Pilihan Raya Umum (PRU).
- Pengundi perlu memikirkan calon yang bertanggungjawab untuk mewakili rakyat kerana individu itu akan memperjuangkan hak rakyat.
- “Saya sebagai pemerhati politik sering melihat keperluan pengundi mestilah melihat calon berbanding parti kerana calon itu haruslah seseorang yang boleh bekerja walaupun dia mewakili parti-parti tertentu.
KUALA LUMPUR – Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata pemilihan calon adalah faktor penting yang perlu diambil kira berbanding parti ketika mengundi Pilihan Raya Umum (PRU) ekoran calon menggalas peranan lebih besar bagi membela nasib rakyat.
Beliau berkata, pengundi perlu memikirkan calon yang bertanggungjawab untuk mewakili rakyat kerana individu tersebut akan membuat dasar dan undang-undang bagi membantu memperjuangkan hak rakyat.
“Saya sebagai pemerhati politik sering melihat keperluan pengundi mestilah melihat calon berbanding parti kerana calon itu haruslah seseorang yang boleh bekerja walaupun dia mewakili parti-parti tertentu.
“Tapi kalau calon menang di kawasan itu, kita boleh katakan sedikit sebanyak parti itu akan terlibat tetapi dia sebagai calon harus lakukan kerjanya sebagai wakil rakyat,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times (TMT).
Tambahnya, pengundi perlu melihat beberapa sudut pertimbangan seperti dalam aspek agama, budaya dan kehidupan sebelum membuat keputusan untuk mengundi ketika Pilihan Raya Umum-15 (PRU-15).
“Tetapi kalau pilih calon yang tidak berkebolehan, mungkin calon itu tidak boleh membuat kerja maka akan memberi kesan kepada mereka yang mengundi calon tersebut dan orang yang tinggal di kawasan itu, ini antara pertimbangan utama yang perlu dilihat.
“Kalau kita lihat kerangka yang lebih luas dalam konteks kestabilan politik sebagai contoh calon ini baik tapi parti yang diwakili itu tidak baik kerana membawa isu-isu yang tidak betul sebagai contoh terlibat dengan kes-kes mahkamah dan rasuah maka ini juga perlu diambil pertimbangan tetapi seperti mana yang saya katakan tadi kita harus lihat calon dahulu baru parti,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa calon adalah wakil rakyat yang lebih rapat dengan penduduk dalam melakukan kerja-kerja melibatkan komuniti setempat.
“Kenapa kita perlu memilih calon adalah kerana mereka menjadi wakil rakyat di kawasan kita jadi dia lebih rapat dengan kita berbanding parti yang diwakili kerana calon merupakan suara dan wakil komuniti setempat kawasan kita, jadi seelok-eloknya kita undi calon,” katanya.
Ketika ditanya mengenai sama ada pengundi perlu memilih calon atau parti, Mujibu memaklumkan bahawa calon mempunyai kekuatan dan perwatakan tersendiri yang mampu memberi kemenangan kepada parti untuk memenangi lebih kerusi.
“Sudah tentu calon, kalau kita tengok kebanyakan parti-parti politik dia lebih melihat kepada calon, kerana calon yang kuat pendidikan, berketerampilan dan ada auda tersendiri maka parti akan senang menang,” katanya.
Dalam pada itu, Mujibu berkata bahawa ada sesetengah pengundi yang memilih parti kerana kekuatan parti itu sendiri.
“Mungkin kawasan itu memang dominan dengan parti, kalau letak siapa sahaja calon, parti tersebut tidak kisah kerana parti itu dah rasa kuat dan yakin jadi boleh letak siapa sesiapa sebagai calon, walaupun mungkin calon itu dia tidak berketerampilan maka kawasan itu dapat calon tak bagus.
“Bagaimanapun saya merasakan setiap parti politik semakin matang dan persaingan pilihan raya semakin sengit maka saya rasa mereka semua akan cuba sedaya upaya untuk meletakkan calon yang terbaik dengan melihat pendidikan dan kebolehannya,” katanya.
Beliau berkata sukar untuk melihat kecenderungan pengundi sama ada pengundi memilih parti atau calon kerana lazimnya pengundi mengikut beberapa pertimbangan sebelum membuat pilihan.
“Kalau kita perhatikan pengundi yang memilih parti adalah kerana mereka melihat parti itu sebagai suatu kolektif yang lebih meyakinkan mereka dan boleh membentuk kerajaan, atau pakatan yang lebih stabil, namun ada juga yang memilih individu kerana mungkin ada aura, karisma dan ‘personal touch’, atau perwatakan yang dibawa membuat pengundi lebih suka.
“Ada juga pengundi yang memilih berdasarkan isu, seperti tengok keadaan semasa dan senario pada ketika itu, dia tidak kira parti mana dan calon siapa, namun secara keseluruhan tidak ada satu set yang menunjukkan sama ada pengundi memilih calon atau parti kerana itu variasi pengundi.
“Namun, dalam keadaan ketidakstabilan politik, maka set pegundi itu tidak lagi statik dia menjadi dinamik ekoran pelbagai faktor mempengaruhi pengundi ditambah lagi dengan set pertambahan pengundi baru yang lebih taktikal dan kritikal dalam memilih calon,” katanya.