Antarabangsa
Tiada sebab kukuh untuk pindah kedutaan UK ke Baitulmaqdis – Ketua Bishop Westminster
Ketua Bishop Westminster, Kardinal Vincent Nichols meminta Perdana Menteri Britain Liz Truss mempertimbangkan semula hasratnya untuk memindahkan kedutaan United Kingdom (UK) dari Tel Aviv, Israel ke Baitulmaqdis.

- Kardinal Vincent Nichols meminta Perdana Menteri Britain mempertimbangkan semula hasratnya untuk memindahkan kedutaan UK ke Baitulmaqdis.
- Beliau mengutus surat menyatakan “kebimbangan yang mendalam” terhadap semakan lokasi kedutaan itu.
- Penempatan semula kedutaan UK menjejaskan usaha mencapai penyelesaian konflik keamanan di rantau itu.
- “Saya tidak jumpa sebarang sebab kukuh mengapa langkah itu perlu dilakukan sekarang,” – Kardinal.
Ketua Bishop Westminster, Kardinal Vincent Nichols meminta Perdana Menteri Britain Liz Truss mempertimbangkan semula hasratnya untuk memindahkan kedutaan United Kingdom (UK) dari Tel Aviv, Israel ke Baitulmaqdis.
Nichols yang merupakan Ketua Gereja Katolik di England dan Wales berkata, beliau telah menulis surat kepada Perdana Menteri untuk menyatakan “kebimbangan yang mendalam” terhadap semakan lokasi kedutaan itu, lapor Middle East Eye.
Ia berlaku sehari selepas Parti Buruh UK, Liberal Demokrat dan Parti Kebangsaan Scotland memberitahu Middle East Eye bahawa mereka menentang langkah itu dan akan berkempen menentangnya.
“Penempatan semula kedutaan UK akan menjejaskan sebarang usaha untuk mencapai penyelesaian konflik keamanan di rantau ini dan merosakkan reputasi antarabangsa UK,” kata Nicholas dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kardinal itu berkata bahawa Pope Francis dan para pemimpin gereja di Israel dan Palestin telah lama menyeru agar status quo antarabangsa di Baitulmaqdis ditegakkan, selaras dengan resolusi PBB yang berkaitan.
“Bandar itu mesti dikongsi sebagai warisan bersama, bukan monopoli eksklusif mana-mana pihak,” tambahnya.
“Saya tidak nampak sebab kukuh mengapa langkah itu perlu dilakukan sekarang. Saya minta Perdana Menteri mempertimbangkan semula hasrat beliau dan tumpukan semua usaha untuk mencari penyelesaian dua negara, di mana Baitulmaqdis akan mendapat jaminan statusnya.
Sumber: Middle East Eye
