Kolumnis
Kes Ebit Lew: pendakwaan di mahkamah hanya berlaku jika cukup elemen bagi setiap pertuduhan – peguam
Minggu lalu berlangsung perbicaraan Ebit Lew di mahkamah. Sudah tentu terdapat pelbagai pandangan yang berbeza dari orang awam.

Minggu lalu berlangsung perbicaraan Ebit Lew di mahkamah.
Sudah tentu terdapat pelbagai pandangan yang berbeza dari orang awam. Terdapat pihak yang mendakwa, tuduhan terhadap Ebit Lew adalah fitnah dan segala prosiding di mahkamah ini adalah merupakan satu penganiayaan.
Proses mahkamah bukanlah suatu penganiayaan tetapi untuk membuktikan sesuatu kes melalui sistem perundangan. Medannya tidak sama seperti perdebatan dalam kalangan netizen yang berlandaskan kepercayaan, logik atau minat tetapi perbicaraan di mahkamah berdasarkan dokumen dan keterangan saksi-saksi.
Bagi kes jenayah terhadap tertuduh, dimulakan dari siasatan oleh pihak polis, pertuduhan di mahkamah, perbicaraan dan diikuti dengan keputusan sama ada denda, penjara, sebatan atau gabungan kepada mana-mana hukuman (tertakluk kepada jenis kesalahan).
Dalam kes terhadap Ebit Lew ini, mangsa juga turut menuntut secara tuntutan sivil bagi gangguan seksual. Bagi tuntutan sivil, dimulakan dengan tindakan saman dan pembelaan iaitu, peringkat pliding dan diikuti dengan perbicaraan dan seterusnya keputusan.
Bagi kes sivil, keputusan ini tidak dipanggil hukuman tetapi jika Plaintif berjaya membuktikan kesnya mahkamah boleh mengarahkan perintah bayaran ganti rugi dan perintah-perintah lain seperti injunksi, permohonan maaf atau lain-lain (tertakluk kepada perintah).
Ebit Lew dituduh dengan 11 pertuduhan gangguan seksual di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Untuk memulakan sesuatu tindakan di mahkamah bagi satu kes jenayah, perlu dimulakan dengan laporan polis oleh mangsa. Sewaktu laporan polis dibuat, pihak polis akan meneliti sama ada terdapat elemen kesalahan jenayah berdasarkan laporan polis. Sekiranya wujud elemen kesalahan jenayah berdasarkan laporan polis, siasatan kes akan dimulakan bagi membuktikan setiap elemen jenayah.
Diperingkat siasatan, biasanya pelaku dipanggil suspek dan sekiranya diteruskan pertuduhan di mahkamah, suspek dipanggil sebagai tertuduh.
Misalnya, terdapat dakwaan bahawa suspek melakukan kesalahan bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang atau menggangu kesantunan seseorang.
Bagi kesalahan bawah Seksyen ini, misalnya suspek telah menghantar mesej berbentuk lucah kepada pengadu tanpa kemahuan dan kerelaan mangsa sehingga mengaibkan kehormatan pengadu atau mengganggu kesantunan pengadu.
Apakah kebiasaannya hasil siasatan yang dilakukan bagi membolehkan pendakwaan di mahkamah? Jika dakwaan pengadu terdapat mesej lucah yang dihantar secara Whatsapp atau Telegram, pihak polis akan memeriksa telefon mudah alih milik pengadu dan meneliti setiap mesej yang dihantar sama ada terdapat kelucahan yang melampau yang bersesuaian dengan elemen bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Jika terdapat bukti tersebut, telefon milik pengadu kebiasaannya akan ditahan sementara oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes. Pihak polis akan mengenalpasti dan menyiasat sama ada benar suspek yang telah menghantar segala mesej berbentuk lucah tersebut atau pun individu lain.
Bagi tujuan ini, semakan nombor dan akaun yang digunakan suspek untuk menghantar mesej kepada pengadu adalah amat penting. Perlu dibuktikan bahawa suspek menggunakan telefon mudah alihnya dan akaun atau telefon nombornya untuk menghantar mesej berbaur kelucahan kepada pengadu. Bagi tujuan ini juga, kebiasaannya telefon suspek akan ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
Jika tidak dapat dibuktikan bahawa suspek yang menghantar mesej berbaur lucah ini dan sebenarnya individu lain yang menghantar, kebarangkalian untuk meneruskan dakwaan di mahkamah sangat tipis atau boleh dikatakan tidak akan berlaku kerana elemen utama iaitu suspek telah mengaibkan kehormatan pengadu secara menghantar mesej lucah tidak dapat dibuktikan.
Sekiranya dalam sesuatu kes, terdapat video yang dihantar oleh Pengadu berbentuk kelucahan, pihak polis menyiasat sama ada suspek yang menghantar video tersebut dari telefon suspek kepada pengadu. Sama ada kes, video tersebut telah diubah atau disunting, juga perlu dibuktikan (tertakluk kepada pembuktian pertuduhan jenayah).
Seterusnya pihak polis perlu menyiasat bahawa segala mesej atau video yang berbentuk lucah dihantar tersebut tanpa kerelaan dan keinginan pengadu sehingga mengaibkan kehormatan pengadu atau mengganggu kesantunan pengadu. Cukup segala elemen siasatan bagi sesuatu pertuduhan, pihak polis akan menghantar kertas siasatan kepada pendakwaraya untuk izin pendakwaan di mahkamah.
Sekiranya pendakwaraya berpendapat cukup elemen bagi sesuatu pertuduhan, maka pendakwaan akan diteruskan ke mahkamah. Ada keadaan bahawa bukti yang dikemukakan oleh pihak siasatan tidak mencukupi dan pendakwaan akan mengarahkan pihak siasatan untuk mendapatkan bukti-bukti tambahan. Sekiranya hasil siasatan adalah kuat dan kukuh, pendakwaan akan diteruskan.
Sekiranya kes adalah sangat lemah dan pembuktian tidak mencukupi, maka ada kebarangkalian kes dikategorikan sebagai ‘No futher action’ (NFA) bermakna tiada pendakwaan atau pertuduhan akan diteruskan ke mahkamah. Tiada tindakan lanjut bagi prosiding jenayah akan diambil.
Ini baru peringkat siasatan, pendakwaan atau pertuduhan di mahkamah dan belum lagi perbicaraan di mahkamah lagi. Betapa setiap satu langkah dan prosedur perlu dipenuhi. Seperti saya katakan tadi, proses mendapatkan elemen keadilan di mahkamah tidak sama seperti medan perdebatan netizen di media sosial.
Seterusnya di peringkat mahkamah. Apabila pertuduhan dibacakan dan kes pendakwaan dimulakan, prosesnya juga tidak mudah. Pihak pendakwaan perlu memanggil semua saksi-saksi yang relevan bagi membuktikan kes. Saksi utama, sudah tentu pengadu untuk memberi keterangan tentang pertuduhan terhadap suspek.
Saksi-saksi lain turut dipanggil, tertakluk kepada sama ada relevan berdasarkan jenis pertuduhan jenayah. Misalnya, bagi kes-kes melibatkan telco dan komunikasi, antara yang dipanggil adalah pakar forensik siber, syarikat telco dan lain-lain. Bagi kes pembunuhan antara saksi yang relevan dipanggil adalah pakar forensik patalogi, saksi-saksi pakar yang terlibat dalam proses bedah siasat mayat dan lain-lain. Pemilihan saksi adalah berdasarkan penelitian dan strategi pendakwaraya.
Setiap saksi-saksi yang dipanggil perlu memberi keterangan melalui sesi soal balas secara tiga peringkat iaitu pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula. Sewaktu ini, saksi-saksi akan diuji dari segi pengetahuan fakta, pengetahuan bidang, kredibiliti semuanya tertakluk mengikut kesesuaian saksi.
Selesai semua saksi-saksi diperingkat pendakwaan, pendakwaraya dan pasukan pembelaan tertuduh perlu berhujah sama ada elemen jenayah telah dibuktikan dan tertuduh telah melakukan perbuatan jenayah atau terdapat keraguan munasabah bahawa tertuduh ada melakukan kesalahan jenayah.
Jika pendakwaraya berjaya membuktikan kes prima facie, bahawa tanpa keraguan munasabah tertuduh telah melakukan perbuatan jenayah, tertuduh akan diberi peluang untuk memasukkan pembelaan.
Diperingkat ini, peguam pembela akan memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan yang menyokong kes tertuduh. Sekiranya pembelaan tertuduh berjaya membangkitkan keraguan munasabah, misalnya bukan tertuduh yang menghantar mesej berbaur lucah atau sebenarnya pengadu memberikan kerelaan, maka tidak lengkap elemen jenayah yang dilakukan oleh tertuduh. Oleh itu, tertuduh boleh dilepaskan dan dibebaskan bagi tuduhan jenayah tersebut.
Pun begitu, proses-proses ini masih boleh dirayu diperingkat seterusnya oleh pendakwaraya atau tertuduh sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah.
Proses yang bukan mudah untuk mendapatkan kebenaran. Pelbagai faktor yang boleh jadi penentu, kadangkala keterangan saksi yang tidak kuat atau bercanggah, kadangkala pembuktian secara dokumen dan pelbagai. Standard pembuktian yang cukup tinggi.
Kita nantikan keputusan oleh Mahkamah dan meletakkan kepercayaan kepada keputusan mahkamah kerana mahkamah lebih arif membuat sesuatu keputusan setelah mendengar keterangan saksi-saksi dan meneliti dokumen-dokumen serta bukti-bukti yang telah dikemukakan.
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

You must be logged in to post a comment Login