Terkini
Laporan langsung perbicaraan kes gangguan seksual Ebit Lew dari Mahkamah Tenom, Sabah
Perbicaraan kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew yang sepatutnya berlangsung petang semalam, diteruskan pagi ini di Mahkamah Majistret Tenom.

TENOM – Perbicaraan kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew yang sepatutnya berlangsung petang semalam, diteruskan pagi ini di Mahkamah Majistret Tenom.
Perbicaraan pagi ini dijangka akan menampilkan saksi ketujuh untuk keseluruhan kes iaitu Inspektor Yip Chang Ching.
Ebit Lew, 38, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
PERBICARAAN BERMULA
10.24 pagi – Ebit Lew dan barisan peguamnya, Ram Singh, Kamarudin Mohamad Chinki, Timothy Daut tiba di Mahkamah Tenom pada jam berkenaan.
11.21 pagi – Perbicaraan bermula sebaik sahaja Majistret Nor Asyraf Zolhani tiba.
Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria memberitahu kedua-dua (pendakwaan dan pembelaan) telah memfailkan hujahan sebagaimana arahan mahkamah. Hari ini (perbicaraan) ditetapkan untuk keputusan terhadap bantahan pihak peguam tertuduh atas pemanggilan saksi pendakwaan ketujuh, Inspektor Yip Chang Ching.
Peguam Ram Singh juga bersedia menerima keputusan itu.
Majistret mengesahkan menerima e-mel permohonan dari pihak pendakwaan jam 4.58 petang semalam. Oleh itu, mahkamah membenarkan Inspektor Yip Chang Ching dipanggil sebagai saksi. Bagaimanapun, pihak pembelaan berhak mendapat tempoh masa sewajarnya untuk meneliti bahan bukti dan saksi yang terkait dengannya.
Ram Singh memberitahu mahkamah yang pihak pembelaan mahu membawa perkara ini untuk diteliti di Mahkamah Tinggi. Maka, dia memohon perbicaraan ditangguhkan dan Inspektor Yip tidak dipanggil sehinggalah penelitian pihak Mahkamah Tinggi selesai.
Di pihak pendakwaan, Zahida membantah permohonan tersebut dan memberitahu yang mereka bersedia memanggil Inspektor Yip memberi keterangan dalam perbicaraan hari ini dan esok.
Majistret kemudian mencadangkan mahkamah membenarkan penangguhan perbicaraan sehingga hasil penelitian dikemukakan terlebih dahulu demi keadilan semua pihak.
Zahida memaklumkan mereka bersetuju dengan cadangan mahkamah. Tiada bantahan dari pihak pendakwaan.
Majistret akhirnya memutuskan pihak pembelaan perlu mengemukakan hasil penelitian Mahkamah Tinggi menerusi e-mel sebelum jam 2 petang pada 2 Mac 2023.
Tarikh perbicaraan seterusnya ditetapkan pada 11 dan 12 Mei, serta 20 hingga 23 Jun 2023. Tiada sesi perbicaraan lagi akan berlangsung pada hari ini dan esok.
Majistret menangguhkan sesi perbicaraan hari ini pada jam 11.57 pagi.
Antarabangsa
(VIDEO) Tentera rejim zionis rogol kanak-kanak lelaki Palestin di Penjara Israel – Bekas pegawai kanan AS
Bekas Pengarah di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Josh Paul mendedahkan insiden tentera Israel merogol tahanan kanak-kanak lelaki di penjara Moscovia, Baitulmaqdis.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Josh Paul mendedahkan insiden tentera Israel merogol tahanan kanak-kanak lelaki di penjara Moscovia, Baitulmaqdis.
Perkara itu disebutnya dalam temu ramah dengan Christiane Amanpour di CNN hari ini ketika diajukan kenyataan mengenai sifat kemanusiaan di Gaza kini pada tahap yang tidak sepatutnya boleh diterima.
“Kamu menyebut tentang keganasan seksual, saya (merupakan) sebahagian dari proses pemeriksaan hak asasi manusia, menapis persenjataan diberikan kepada Israel.
“Organisasi kebajikan dengan nama Pertahanan Antarabangsa Kanak-kanak Palestin (DCIP) menarik perhatian kami, berkenaan satu serangan seksual atau sebenarnya satu (kes) rogol kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun yang berlaku di penjara Israel di Moscovia di Jerusalem (Baitulmaqdis).
“Kami menyiasat dakwaan ini, kami dapati ia boleh dipercayai dan kami mempertanggungjawabkan perkara itu ke atas kerajaan Israel,” katanya.
Paul turut menceritakan tindakan tentera zionis Israel pada keesokan harinya menyerbu organisasi yang menyimpan maklumat kanak-kanak Palestin dalam tahanan rejim Israel itu.
“Kamu tahu apa yang berlaku keesokan harinya?, IDF (tentera rejim zionis Israel) memasuki pejabat pegawai DCIP, rampas komputer mereka, dan isytiharkan mereka sebagai sebuah entiti pengganas,” katanya kepada Amanpour.
Paul berkata kekejaman tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa pun, samada kekejaman pencabulan seksual atau apa sahaja pencabulan melampau hak asasi manusia.
Statistik DCIP menunjukkan, setakat hari ini, 156 kanak-kanak ditahan atas sebab “keselamatan”, 23 kanak-kanak ditahan atas sebab undang-undang dengan catatan kemas kini terakhir pada September lalu.
Manakala jumlah kematian kanak-kanak pada 2023 disebabkan peluru hidup dilaporkan DCIP adalah 92 mangsa dengan kemas kini terakhir pada bulan ini. – The Merdeka Times
Sumber: Youtube – CNN, Defence for Children International Palestine
View this post on Instagram
-
Terkini2 days ago
Kredit e-Madani dilarang pindah atau tebus tunai, akaun boleh disekat
-
Terkini1 day ago
(VIDEO) Tular rakyat Malaysia gesa Kedutaan Israel dibuka di negara ini
-
Terkini2 days ago
Warganegara Malaysia wajib fasih Bahasa Melayu, tiada kompromi – Menteri KDN
-
Terkini2 days ago
DBKL tarik balik larangan jual arak