Terkini
MHS sokong India tidak iktiraf kahwin sejenis, homoseks perlakuan songsang dilarang ajaran Hindu
Persatuan Hindu Sanggam Malaysia (MHS) menyokong keputusan Kerajaan India tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis di negara dengan majoriti penganut Hindu itu.

- Persatuan Hindu Sanggam Malaysia (MHS) menyokong keputusan Kerajaan India tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis di negara majoriti penganut Hindu itu.
- Ini kerana perlakuan homoseksual atau seks songsang sememangnya dilarang dalam agama Hindu.
- Timbalan Presiden Hindu Sanggam Malaysia, Ganesh Babu Rao berkata homoseksual adalah bertentangan dengan prinsip dan ajaran Hindu.
- Penganut Hindu sepatutnya menolak perlakuan songsang itu yang diharamkan dalam kitab-kitab suci Hindu, termasuk kitab Veda. – Ganesh Babu Rao.
- Kerajaan India tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis di negara itu dalam pemfailan kepada Mahkamah Agung pada Ahad lalu.
PETALING JAYA – Persatuan Hindu Sanggam Malaysia (MHS) menyokong keputusan Kerajaan India tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis di negara dengan majoriti penganut Hindu itu.
Ini kerana perlakuan homoseksual atau seks songsang sememangnya dilarang dalam agama Hindu.
Timbalan Presiden Hindu Sanggam Malaysia, Ganesh Babu Rao berkata homoseksual adalah bertentangan dengan prinsip dan ajaran Hindu.
Katanya, penganut Hindu sepatutnya menolak perlakuan songsang itu yang jelas diharamkan dalam kitab-kitab suci Hindu.
“Dalam kitab Manusmriti, undang-undang Dharma 11.67 mengatakan bahawa dilarang dan dikenakan tindakan sewajarnya. Kita tak terima perkahwinan homoseksual.
“Lagi satu dalam kitab Veda, homoseksual dianggap sebagai ‘unnatural’ yang bermaksud ia bertentangan dengan sistem yang telah diatur oleh Sang Pencipta, Tuhan Yang Maha Kuasa,” katanya ketika ditemubual The Merdeka Times di pejabatnya di sini semalam.
Beliau diminta mengulas keputusan kerajaan India menentang pengiktirafan perkahwinan sejenis di negara itu dalam pemfailan kepada Mahkamah Agungnya pada Ahad lalu.
Agensi berita Reuters memetik Kementerian Undang-Undang India sebagai berkata pengiktirafan sah perkahwinan dari sudut undang-undang adalah untuk hubungan heteroseksual dan kerajaan mempunyai kepentingan sah untuk mengekalkannya.
“Hidup bersama sebagai pasangan dan melakukan hubungan seksual dengan individu sama jantina… tidak selari dengan konsep unit keluarga India iaitu suami, isteri dan anak-anak,” kata kementerian terbabit.
Baru-baru ini, empat pasangan LGBT di New Delhi mengemukakan permohonan pengiktirafan perkahwinan sejenis kepada Mahkamah Agung negara itu yang membawa kepada tindak balas Kerajaan India.
Mengulas lanjut, Ganesh berkata pihaknya berpegang kepada pendirian bahawa perkahwinan adalah antara lelaki dan perempuan.
“Kami 100 peratus belief di mana keluarga, lelaki kahwin dengan perempuan dan dia ada keturunan,” katanya.
Katanya, perkahwinan homoseksual tidak membolehkan pasangan songsang melahirkan zuriat.
“Di mananya natural? Sekarang kalau kahwin homoseksual dalam zaman moden ini mungkin okey tapi pandangan kami memang tak boleh.
“Sebab dia bukan ikut agama dan macam mana nak konsep keluarga campuran,” katanya.
Ditanya apakah tindakannya jika situasi sama berlaku di Malaysia, Ganesh berkata Hindu Sanggam Malaysia akan membantah pengiktirafan perkahwinan sejenis dan perlakuan homoseksual itu.
“I rasa keputusan yang Kerajaan India buat tu betul lah. Kita jangan pandang ke barat. Kebudayaan mereka dengan cara hidup mereka, luar biasa,” katanya. – The Merdeka Times
