Terkini
Jangan eksploitasi platform kesihatan untuk promosi LGBTQ – Peguam
- Ia merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan negara.
- Peringatan itu disuarakan Nur Farihah Meor Mazli merujuk berkenaan satu acara di Kelantan yang didakwa sebagai ‘kempen kesedaran kesihatan’, tetapi menurut siasatan pihak polis, ia sebenarnya satu perhimpunan berkait rapat aktiviti homoseksual.
- “Cubaan untuk menggambarkan perhimpunan itu sebagai inisiatif kesihatan awam adalah tidak bertanggungjawab dan mengelirukan, khususnya apabila pihak berkuasa telah menemui ratusan kondom sebagai bukti yang membangkitkan kebimbangan berkenaan tujuan sebenar acara tersebut diadakan,” katanya.
KUALA LUMPUR — Seorang peguam mengingatkan bahawa sebarang percubaan untuk mengeksploitasi platform kesihatan bagi mempromosikan gaya hidup LGBTQ secara terselindung merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan negara.
Peringatan itu disuarakan Nur Farihah Meor Mazli yang juga Setiausaha Kehormat Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) ketika mengulas berkenaan satu acara di Kelantan yang didakwa sebagai ‘kempen kesedaran kesihatan’, tetapi menurut siasatan pihak polis, ia sebenarnya satu perhimpunan berkait rapat aktiviti homoseksual.
Perhimpunan itu, kata Farihah adalah jelas merupakan satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang sivil dan Syariah di Malaysia.
“Cubaan untuk menggambarkan perhimpunan itu sebagai inisiatif kesihatan awam adalah tidak bertanggungjawab dan mengelirukan, khususnya apabila pihak berkuasa telah menemui ratusan kondom sebagai bukti yang membangkitkan kebimbangan berkenaan tujuan sebenar acara tersebut diadakan,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Merdeka Times pada Sabtu lalu.
Justeru, pihaknya menolak keras naratif yang cuba menormalisasikan atau melindungi acara sedemikian atas alasan kononnya sebagai usaha kesedaran kesihatan.
Tegasnya lagi, Majlis AIDS Malaysia (MAC) serta mana-mana penganjur terlibat tidak sepatutnya menyalahgunakan mandat kesihatan awam untuk mengabsahkan aktiviti yang secara nyata bercanggah undang-undang dan norma masyarakat Malaysia yang beragama.
Beliau turut mempersoalkan kesahihan pengagihan atau preskripsi ubat antiretroviral seperti PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) di luar premis kesihatan yang berdaftar.
Ini kerana di Malaysia, ubat preskripsi hanya boleh dikeluarkan pengamal perubatan berlesen dan bertugas di fasiliti kesihatan yang diluluskan seperti klinik atau hospital.
“Sebarang pengedaran ubat di tempat awam, lebih-lebih lagi dalam acara yang tidak mendapat kelulusan polis berpotensi melanggar Akta Racun 1952 dan Akta Perubatan 1971.
“Jika pengedaran ini benar berlaku, maka pihak yang terlibat harus disiasat dan didakwa,” katanya yang difahamkan merujuk kepada penemuan ratusan kondom dan ubat HIV dalam acara terbabit.
Justeru, beliau menggesa MAC agar segera memberi penjelasan dan menghentikan sebarang kerjasama atau aktiviti berisiko mempromosikan perlakuan seksual yang menyalahi undang-undang.
Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut diminta menjelaskan secara rasmi tentang status pengedaran ubat seperti PrEP di luar fasiliti kesihatan berdaftar dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat pelanggaran.
“Kami menggesa semua NGO kesihatan, khususnya MAC, dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar menjalankan kempen kesihatan mereka secara telus, mematuhi undang-undang, dan selaras dengan nilai agama dan moral negara ini,” katanya.— The Merdeka Times