Terkini
Hentikan beri PrEP kepada pelaku maksiat, semak dasar kesihatan bercanggah prinsip Islam
- Menurut Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi, tindakan dasar kerajaan mengizinkan pemberian ubat PrEP kepada golongan berisiko tinggi, termasuk mereka yang terlibat dalam aktiviti homoseksual dan seks bebas bukan sahaja melibatkan isu kesihatan awam, tetapi juga satu bentuk normalisasi maksiat secara institusi.
- Kerajaan tidak boleh ambil jalan mudah dengan menyediakan perlindungan kepada pelaku maksiat bagi menyelesaikan masalah penyakit seksual kerana ia hanya akan menambah keberanian dan rasa selamat untuk terus melanggar hukum Allah.
- “Islam menolak diskriminasi terhadap pesakit, tetapi Islam tidak mengiktiraf gaya hidup maksiat sebagai norma,” katanya.
KUALA LUMPUR — Pemberian ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) kepada individu yang hidup dalam perbuatan maksiat terbuka, termasuk kelompok homoseksual dan seks bebas perlu dihentikan, tegas Ketua Lajnah Kesihatan Pemuda PAS Terengganu.
Menurut Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi, tindakan dasar kerajaan yang mengizinkan pemberian ubat PrEP kepada golongan berisiko tinggi, termasuk mereka yang terlibat dalam aktiviti homoseksual dan seks bebas bukan sahaja melibatkan isu kesihatan awam, tetapi juga satu bentuk normalisasi maksiat secara institusi.
“Ia seolah-olah memberi isyarat bahawa perbuatan yang bercanggah dengan nilai agama dan fitrah manusia boleh dilindungi asalkan tidak mengundang penyakit fizikal,” katanya dalam kenyataan dikongsikan kepada The Merdeka Times pada Isnin.
Tindakan itu katanya berpunca daripada pengaruh media, budaya hidup hedonisme dipromosikan oleh hiburan dan selebriti, serta kempen halus gerakan LGBTQ antarabangsa yang menyalurkan dana kepada NGO tempatan untuk melaksanakan agenda songsang di negara ini, kononnya atas nama kesihatan dan hak asasi.
Justeru, beliau menegaskan bahawa Kerajaan tidak boleh mengambil jalan mudah dengan menyediakan perlindungan kepada pelaku maksiat bagi menyelesaikan masalah penyakit seksual kerana ia hanya akan menambah keberanian dan rasa selamat untuk terus melanggar hukum Allah.
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura itu berkata langkah utama pencegahan yang patut diambil adalah dengan memperkukuhkan pendidikan moral dan agama.
“Kerajaan juga perlu tolak campur tangan asing dan dana luar yang membawa agenda songsang dan perlu semak semula semua dasar kesihatan yang bercanggah dengan prinsip Islam dan budaya tempatan.
“Islam menolak diskriminasi terhadap pesakit, tetapi Islam tidak mengiktiraf gaya hidup maksiat sebagai norma,” katanya.
Dr Tengku Muhammad Fakhruddin mengakhiri kenyataan beliau dengan menyeru umat Islam, para ibu bapa, pendidik dan semua pihak berautoriti agar kembali kepada jalan Allah dan bertindak menyelamatkan negara daripada gelombang kebinasaan nilai.
Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-122 yang bersidang pada 18 hingga 20 Oktober 2023 berpandangan pemberian dan pengambilan PrEP untuk tujuan maksiat adalah dilarang dan diharamkan.
Muzakarah juga menyatakan bahawa penekanan kepada pendekatan abstinence, program kerohanian, psikospiritual, advokasi dan sebagainya perlu disinergikan oleh agensi kerajaan serta NGO dalam hal ini.
Ia bagi memberikan pengetahuan, kesedaran, perubahan sikap dan amalan kepada masyarakat untuk menjauhi larangan dalam ajaran Islam serta norma bertentangan budaya masyarakat. — The Merdeka Times